LABIS,  22 Jan – Calon PAS-Pakatan Rakyat, Normala Sudirman menyifatkan Umno  telah gagal membantu MCA memahami konsep Islam yang sebenar sehingga  menyebabkan parti komponen BN itu tidak dapat menghormati nilai dan  tertib orang Islam khususnya kaum wanita.
Merujuk kepada isu  tidak bersalam yang ditimbulkan Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek,  Normala meminta MCA memahami adat dan tatatertib orang Islam  terutamanya wanita Islam sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan yang  boleh menimbulkan kontroversi.
Menurut Normala, 38, sepatutnya setelah 53 tahun merdeka MCA yang dipimpin Dr Chua sudah memahami tertib seorang wanita Islam.
“Saya  secara peribadi berpendapat bahawa sudah tiba masa pihak lawan (BN)  matang setelah 53 tahun kita merdeka... apa yang paling penting adalah  dasar-dasar atau komitmen perkhidmatan yang mahu dibawa kepada rakyat  khususnya pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang.
“Bukan  menyentuh isu peribadi atau serangan peribadi yang saya kira ia satu  perkara yang sangat jauh daripada apa yang kita fokus.
“Saya kira  perkara yang paling penting adalah setelah 53 tahun merdeka, MCA  sepatutnya sudah lama memahami konsep sebagai individu Muslim yang perlu  kerana mereka berkawan dengan komponen BN iaitu Umno,” kata beliau  dalam temu bual ekslusif bersama The Malaysian Insider hari ini.
Exco  Dewan Muslimat PAS pusat ini berkata demikian ketika diminta mengulas  tindakan Dr Chua mengenai Islam apabila secara sindiran membuat  perbandingan cara Normala bersalaman dengan Presiden Parti Keadilan  Rakyat (PKR) Datuk Dr Wan Azizah Wan Ismail semasa berkempen di Tenang.
“Dia  tidak akan datang ke sini (tokong Cina), (dan) dia langsung tidak  bersalam dengan orang. Saya sudah terima aduan mengenai hal ini.
“Dia  seperti isteri Anwar Ibrahim. Dia memakai sarung tangan ketika  bersalam. Jika anda boleh menerima cara Islam sebegini, pergilah undi  PAS,” kata Dr Chua.
Dalam temu bual ringkas itu, Normala berkata,  Pakatan Rakyat yang turut dianggotai PKR dan DAP akan membantu  memberikan sokongan dan menjelaskan mengapa beliau tidak mahu bersalam  dengan lelaki sepanjang kempen pilihan raya kecil yang bermula hari ini.
Pakatan  Rakyat meletakkan Normala, Ketua Muslimat PAS Labis dan bekas guru  sebagai calon manakala BN pula diwakili bekas Penolong Pentadbir Tanah  Daerah Kecil Rengit, Mohd Azahar Ibrahim, 39.
Normala juga merupakan Pengerusi Lajnah Pendidikan Dewan Muslimat PAS pusat.
“Dari  segi strategi, cara dan kaedah untuk saya mendekati masyarakat seperti  ini saya kira rakan-rakan Pakatan Rakyat sudah bersedia untuk  memberitahu mereka kenapa dan mengapa.
“Apa yang paling penting  adalah akhirnya pengundi DUN Tenang akan memahami itu retorik yang tak  berasas untuk dibawa, sedangkan permasalahan yang paling besar adalah  fokus utama termasuk permasalahan kebajikan, sosioekonomi dan  sebagainya.
“Sudah seharusnya saya kira perkara itu tidak perlu timbul buat masa ini,” kata beliau.
Normala  juga berkata Umno-BN akan sentiasa membuat provokasi untuk memberikan  beliau imej yang buruk kepada pengundi di DUN Tenang.
“Apa pun  bagi saya Umno-BN tetap akan mencari isu-isu remeh, isu-isu yang sangat  berbentuk picisan kerana kalau apa yang kita lihat buat pun dikata tak  buat pun akan dikata.
“Yang paling penting adalah konsep kita  memahamkan rakan-rakan khususnya Tionghoa dan India untuk memahami  bahawa bagaimana sebenarnya apa yang kita bawa sebagai seorang individu  Muslim itu.
“Bukankah sudah termaktub dalam Perlembagaan  Persekutuan, Islam adalah agama rasmi. Sepatutnya mereka memahami  situasi ini,” katanya.
Normala bagaimanapun melahirkan rasa  simpati terhadap Dr Chua kerana gagal memahami konsep Islam selepas Umno  gagal memahamkan parti komponen BN itu.
“Secara peribadi saya  lebih fokus kepada perasaan simpati saya kepada beliau (Dr Chua) kerana  tidak memahami, seharusnya setelah lama berkawan dengan komponen BN,  menjadi tanggungjawab Umno untuk memahamkan rakan-rakan tentang hak yang  sebenar sebagai individu Muslim termasuk soal bersalaman dan  sebagainya.
“Umno gagal memahamkan rakan-rakan dalam BN setelah 53 tahun, seharusnya tidak berlaku.
“Kita  lihat dalam Perlembagaan Persekutuan, Islam adalah agama rasmi.  Seharusnya konsep memahami satu-satu kaum atau agama perlu difahami,”  katanya.
Bekas guru itu juga bersedia untuk menghadapi apa sahaja  serangan yang akan dibuat BN sepanjang kempen pilihan raya yang akan  berakhir 30 Januari ini.
“Saya bersedia berdepan apa sahaja  cabaran, tohmahan dan fitnah yang akan dilakukan pihak lawan kerana  itulah realiti setelah 14 kali pilihan raya kecil.
“Kita lihat  isu begitu dan mereka tetap gunakan strategi lama yang saya kira ia tak  seharusnya berlaku buat masa sekarang bagi pihak lawan buat perubahan  untuk memenangi hati rakyat bukan menyuluh kelemahan peribadi begitu.
“Saya  yakin kejutan besar akan berlaku dan saya bimbang itu akan menimbulkan  kebencian (pengundi) kepada pihak Umno-BN,” katanya.
Tambah  Normala, Pakatan Rakyat akan memainkan peranan penting dalam membantu  orang bukan Islam untuk memahami lebih dekat konsep yang dibawa PAS  selama ini.
“Seperti kaum lain, kami orang Islam memahami budaya dan agama Tionghoa dan India.
“Kami menghormati dan memahami, itulah cara mereka dan seharusnya perkara ini sudah lama difahami rakan-rakan BN,” katanya.
Ketika  ditanya mengenai keyakinan untuk memenangi pilihan raya kecil DUN  Tenang, Normala berkata, beliau optimis pengundi akan membuat keputusan  bijak dalam memilih wakil rakyat baru.
“Saya optimis dan  berkeyakinan tinggi pengundi kini telah bijak membuat keputusan untuk  menentukan perjuangan masa depan dengan membawa suara dan permasalahan  ke Dewan Undangan Negeri dengan memilih wakil rakyat yang berwibawa,  prihatin dan empati.
“Pada 30 Januari, saya percaya dan  berkeyakinan tinggi pengundi DUN Tenang mampu membuat kejutan dan  perubahan besar demi,” katanya.
Pilihan raya kecil DUN Tenang  diadakan berikutan kematian penyandangnya dari BN, Allahyarham Datuk  Sulaiman Taha pada 17 Disember tahun lepas akibat jangkitan kuman dalam  darah dan kencing manis.
Sulaiman menewaskan calon PAS, Mohd Saim Siran dengan majoriti 2,492 undi pada pilihan raya umum 2008. - TMI



 


 
 
 
 
 
 
 
 Catatan
Catatan
 
