TG Nik Aziz: Tidak percaya kebaikan Islam, Umno sesatkan bangsa
Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata kegelishan atau dilema di kalangan rakyat pelbagai kaum negara ini termasuk orang Melayu sendiri berpunca daripada “Umno yang menolak perjuangan berasaskan bangsa.”
Sehubungan itu kata Mursyidul Am PAS, akhirnya Umno yang menyesatkan bangsa itu sendiri akibat tidak percayakan kepada kebaikan ajaran agamanya sendiri.
Menteri Besar Kelantan ini berkata, tidak timbul isu dilema Melayu atau dilema mana-mana kaum apabila persoalan bangsa dan perjuangan sesuatu kaum itu berteraskan kepada ajaran Islam.
Katanya, apa yang penting diamalkan ialah semua menjadi hamba abdi kepada Allah dan sebagaimana seruan azan memanggil solat , disebutkan “Allahu Akbar”, maka yang maha besar ialah Allah bukannya Melayu atau Cina atau India.
“Sementara dalam bacaan tahyat dan salam terangkum maksud memuliakan Nabi Ibrahim dan Nabi Muhammad serta ucapan selamat kepada seluruh bangsa di dunia ini.
“Maka inilah kehebatan faedah ibadat dan muamalat yang digabung dalam solat gunanya untuk dipraktikkan dalam kehidupan manusia,” kata beliau dalam tulisan terbaru blognya.
“Sekali lagi diulangi, tidak timbul langsung dilema Melayu di sisi Islam. Ini kerana Islam sudah menyediakan ramuan yang cukup untuk dijadikan panduan hidup bagi mencapai keamanan, kedamaian serta kemakmuran di dunai sampai ke akhirat,” katanya.
Pada hari yang sama semalam, bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sambil mengakui pengetahuan agama Nik Aziz lebih “dalam”, tetapi menggesa agar Menteri Besar Kelantan itu berhenti daripada menyalah guna dan menyalah tafsir Islam demi kepentingan politik diri sendiri.
“Saya akui pengetahuan agama Nik Aziz dalam tetapi alangkah baiknya jika Nik Aziz berhenti daripada menyalahguna dan menyalah tafsir Islam demi kepentingan politik diri sendiri.
“Tidak ada sesiapa yang dapat lari daripada hari pengadilan yang dijanjikan oleh Allah s.w.t.,” kata Dr Mahathir dalam jawapan panjang lebar menjawab tulisan Nik Aziz awal bulan ini.
Justeru kata bekas presiden Umno ini, “bertaqwalah kepada Allah s.w.t. dan hentikanlah mengeliru umat Islam di Malaysia kerana ingin menang pilihan raya.”
Awal bulan ini, Nik Aziz menjawab tuduhan Dr Mahathir ke atasnya dengan menegaskan, Umno yang selama ini “menzalimi orang-orang Melayu” dan menafikan beliau menjadi punca perpecahan orang Melayu Islam negara ini.
Dalam tulisan kali ini, Nik Aziz menambah, amatlah malang jika rakyat negara ini terus engkar dengan mengagung-agungkan bangsa sedangkan ia bukan ajaran Nabi.
Kata beliau, seharusnya rakyat tidak boleh melakukan suatu seruan perjuangan yang bercanggah dengan maksud surah Al-Fatihah (ayat 5-7).
“Caranya, kita tidak boleh menerima seruan perjuangan Melayu yang menolak Islam. Bila tolak Islam maknanya terima ajaran sekular.
“Atas sifat sekular, mereka itu akan terus berbelit-belit hinggalah sanggup duduk di atas prinsip agama lain (suku), politik lain (suku),” katanya lagi.
Lalu kata Nik Aziz, timbul ajaran yang asing dari Islam, antaranya mengajar umat Islam supaya “tidak bawa politik ke masjid kerana masjid itu tempat beribadat.”
“Apakah ajaran seperti ini pernah diajar oleh Nabi Muhammad s.a.w? Sebenarnya, Nabi sendiri tidak pernah ajar supaya perkara politik itu disebut di luar masjid,” katanya lagi.
“Demikian pula, khutbah Jumaat atau khutbah hari raya merupakan ceramah mingguan atau musim perayaan di atas mimbar masjid juga menyentuh semua perkara yang relevan dengan kehidupan manusia.
“Maknanya dalam masa berkhutbah, pihak khatib adalah penceramah yang menyampaikan seruan Islam demi kebaikan sistem hidup yang lengkap termasuk aspek sosial, ekonomi dan politik,” katanya.
Nik Aziz seterusnya menulis, maka terimalah perjuangan Islam dan tinggalkan perjuangan sekular, sekali gus “sudah tentu kita tidak akan berdilema dengan identiti siapa kita.”
Tulisan Nik Aziz kali ini bermula dengan isu Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang menurutnya, kegagalan polisi itu pada 1990 adalah tercatat dalam sejarah.
Kata beliau, hakikatnya pelaksanaan DEB menyebabkan Bumiputera tidak kemana, melainkan ada segolongan sahaja yang mengecapi nikmat.
“Tetap sasaran pemilikan kekayaan negara hanya 18 daripada 30 peratus yang disasarkan. Kenapaa gagal? Dr. Mahathir selaku perdana menteri masa itu ada jawapan sebenar. Habis kenapa Dr. Mahathir sembunyi punca?” katanya lagi.
Justeru kata Nik Aziz, sementara umat Islam menyambut Maulidur Rasul maka sepatutnya mengambil ajaran Nabi iaitu mengajar agar menjalin persaudaraan dan berkasih sayang.
“Nabi tidak ajar kita supaya mementingkan bangsa. Justeru tidak harus kita mengungkitkan soal dilema atau tidaknya bangsa kita,” katanya.
Kata Nik Aziz, apabila disebutkan kepentingan satu-satu bangsa, sudah tentu akan ada bangsa lain yang sensitif dan berdendam.
“Maknanya bila diutamakan kepentingan orang Melayu, sudah tentu orang Cina dan India akan berdendam kerana inginkan kepentingan yang sama.
“Atas dasar inilah Islam mengajar kita mengutamakan persaudaraan. Lantaran atas nama bangsa akan timbul apa sahaja tindak balas berupa dendam kesumat,” katanya lagi. -TMI