Ikuti Blog ini

 Kempen mesra rakyat PAS tarik pengundi


JASIN, 5 Mac: Masuk ke hari terakhir kempen pilihan raya kecil (PRK) Merlimau, PAS secara keseluruhannya berpuas hati dengan pendekatan calonnya, Yuhaizad Abdullah mendahului calon Umno BN.

Ketua Penerangannya, Idris Ahmad berkata, selain memberi tumpuan kepada kemenangan PAS di Dun ini, kejayaan besar adalah apabila PAS berjaya menyampaikan mesej perjuangan parti itu dan Pakatan Rakyat kepada pengundi-pengundi.

Menurutnya, ianya boleh disifatkan sebagai kejayaan kerana pelbagai halangan ditempuhi daripada Umno BN sepanjang berlangsungnya tempoh kempen.

"Sepanjang kempen PRK Merlimau ini, PAS berjaya menyampaikan mesej perjuangan PAS dan Pakatan Rakyat walaupun terdapat beberapa kekangan dan halangan.

Beliau juga berkata, calon PAS mendahului calon BN dalam pendekatan kempen mesra rakyat apabila beberapa cara kempen yang dilakukan PAS ditiru oleh Umno BN.

"Cara kempen PAS mendahului calon Umno. Pendekatan calon PAS ditiru pula oeh Umno seperti pemberian bunga kepada wanita.

"Calon PAS membangkitkan masalah pengangkutan awam, maka terus penduduk Merlimau mendapat khidmat MARA liner. Banyak rungutan yang sudah disampaikan kepada beliau sepanjang berkempen.

"Rupa-rupanya banyak masalah di Dun Merlimau yang masih terlindung di sebalik slogan yang indah.

Idris turut menyifatkan keputusan PAS menyertai PRK ini sebagai tindakan tepat memandangkan banyak tuntutan rakyat yang sebelum ini diabaikan, segera ditunaikan BN.

"Walaupun beberapa insiden yang tidak diingini berlaku seperti cermin kereta dipecah, poster dan risalah yang berunsur fitnah, tayar kereta dan motor dipancit, gangguan ceramah oleh budak-budak upahan, keputusan PR menyertai PRK ini adalah tepat, di mana banyak tuntutan rakyat dipenuhi oleh BN yang selama ini tidak ditunaikan," katanya.

Cina dan India beri sambutan

Menurut Idris juga, pengundi di Merlimau bersifat terbuka meskipun dari segi luarannya menunjukkan sokongan kepada BN.

"Alhamdulillah pengundi di Dun Merlimau merupakan masyarakat yang terbuka dan boleh berubah walaupun di luar nampak berwajah Umno.

"Peluang ini memberi kesempatan kepada PAS untuk menerangkan dasar PAS yang berteraskan Islam kepada penduduk Dun Merlimau secara dekat. Mungkin selama ini mereka menganggap PAS adalah parti yang pelik di kalangan mereka.

Katanya juga, PAS sangat gembira dengan sambutan yang diberikan pengundi Cina dan India kepada calon PAS sehingga menimbulkan keresahan kepada Umno BN.

"Orang bukan Islam sudah tidak gerun kepada PAS, waaupun pelbagai tohmahan dan fitnah kepada PAS disampaikan," katanya. -Hrkh

Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .