KUALA LUMPUR — Bekas mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata rakyat perlu menolak semua pemimpin politik yang “suka menyelak kain” orang lain dengan sanggup “menghalalkan apa sahaja” demi kepentingan politik mereka.
“Marilah kita bermufaraqah atau meninggalkan segala pelakon atau watak yang selekeh dan rela menghalalkan apa sahaja untuk kepentingan politik mereka.
“Tanpa mengira parti, mereka mesti diusir dari pemainan bodoh ini. Kita tentang semua pelakon politik yang suka menyelak kain orang,” kata beliau dalam tulisannya merujuk kepada perkembangan semasa skandal pendedahan rakaman video seks awal minggu ini.
Tokoh agama yang menjadi tumpuan Umno dan PAS sebelum ini berkata, tidak kira kerajaan atau pembangkang rakyat telah dijadikan “penonton bodoh” yang seakan merelakan apa sahaja watak yang mereka lakonkan.
Sehubungan itu katanya, politik kita memerlukan nafas baru dan dibersihkan daripada golongan yang jijik dan kotok.
“Kita perlukan politik idea, bagaimana dan cara membangunkan umat dan rakyat agar hidup berdisiplin, bermaruah dan bertamadun. Bukan cerita-cerita bodoh seperti ini,” kata Mohd Asri.
Negara dikejutkan dengan pendedahan rakaman video seks, yang dikaitkan dengan seorang pemimpin kanan Pakan Rakyat, di hotel Carcosa Seri Negara Isnin lalu oleh lelaki yang mengelar dirinya “Datuk T”.
Dua hari kemudian misteri di sebalik “Datuk T” yang mengemparkan negara dengan pendedahan sebuah klip video hitam putih yang memaparkan aksi seks itu terjawab apabila Datuk Shazryl Eskay Abdullah, seorang ahli perniagaan mengaku bahawa beliaulah yang menunjukkan video itu kepada media terpilih Isnin lalu.
Pendedahan itu dibuat pada satu sidang media bersama bekas ketua menteri Melaka Tan Sri Rahim Thamby Chik.
Shazryl juga mendedahkan bahawa “Datuk T” sebenarnya bermakna “trio” iaitu beliau sendiri, Rahim dan Bendahari Perkasa Datuk Shuib Lazim, yang tidak hadir pada persidangan akhbar Rabu lalu.
Shazryl dan Rahim mengulangi pendirian “Datuk T” bahawa mereka mahu sebuah suruhanjaya diraja ditubuhkan bagi menentukan kesahihan video tersebut untuk membuktikan pelaku seks dalam rakaman itu adalah seorang pemimpin kanan Pakatan Rakyat.
Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dinamakan sebagai lelaki dalam rakaman video seks menafikan penglibatannya, sebaliknya mendakwa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein ada kaitan dengan pendedahan tersebut.
Bagaimanapun Najib yang juga Presiden Umno menafikan dakwaan itu malam tadi.
Dalam tulisan kali ini, Mohd Asri berkata, Muslim hendaklah mengelakkan diri dari terlibat dalam kes-kes seperti ini dan isu semasa menjadi pengajaran kepada semua parti politik.
“Manusia-manusia yang rendah nilai dan maruah sanggup untuk terbabit dalam hal seperti ini sejak lama dahulu. Mereka ini ada dalam Umno, PKR dan PAS,” kata beliau sambil menambah, sedangkan Allah berfirman “wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mengintip mencari-cari kesalahan orang dan janganlah setengah kamu mengumpat antara satu sama lain.”
Kata beliau, dalam budaya manusia tiada nilai agama dan tamadun berakhlak, isu keaiban peribadi dijadikan mainan golongan yang selekeh.
Oleh itu katanya, maka muncullah kisah seks dan skandal peribadi tokoh politik itu dan ini sebagai senjata beracun membunuh musuh politik masing-masing.
“Dalam Islam, perbuatan mendedahkan keaiban peribadi sebagai senjata politik adalah perbuatan yang dilarang oleh Allah dan rasul-Nya. Ia haram.
“Hanya mereka yang jahil nas-nas agama sahaja yang menyangka itu adalah suruhan syarak. Malangnya praktik ini telah diamalkan oleh ramai tokoh dan penceramah politik sejak dahulu lagi di negara kita ini,” katanya.
Kata beliau, sama ada PAS, Umno dan PKR ramai individu dalam parti-parti itu telah terbabit dalam perkara yang diharamkan oleh syarak ini.
“Tuduhan seks, arak, kaki judi dan seumpamanya sudah menjadi ringan di lidah mereka. Bahkan kadangkala mereka menghina rupa ciptaan Allah yang ada musuh-musuh politik mereka seperti mengatakan si botak, gagap, hidung besar, mamak dan lain-lain. "Mereka melanggar pantang larang agama dalam berpolitik. Wabak inilah sedang memakan diri mereka sendiri. Mereka yang tiada etika dan akhlak telah dan akan terus terbabit dalam hal ini,” ujar beliau.
Mengenai desakan diadakan suruhanjaya, Mohd Asri berpendapat bahawa tiada keperluan menubuhkan suruhanjaya khas bagi kes-kes maksiat peribadi kerana pendekatan sedemikian hanya akan membazirkan harta rakyat