Katanya, kes itu berbeza kerana Allahyarham Ahmad Sarbani tidak dipanggil untuk membantu siasatan tetapi datang sendiri ke pejabat SPRM.
"Apa yang saya diberitahu, dia datang secara sukarela ke pejabat SPRM hanya nak tukar statement (kenyataan) yang telah diberikan kepada SPRM sebelum ini. Dia mohon nak tukar statement.
"Dalam masa SPRM memanggil IO (Pegawai Penyiasat) kes berkenaan, sekelip mata sahaja kejadian itu berlaku. Ini berbeza dengan kes Teoh Beng Hock," kata Perdana Menteri kepada pemberita di Kuching hari ini.
Sehubungan itu, Najib berkata beliau telah mengarahkan polis dan SPRM melakukan siasatan secara rapi, telus dan profesional. Beliau juga berharap siasatan secara terperinci dapat dijalankan
segera kerana kerajaan tidak akan cuba melindungi apa-apa perkara.
Katanya, ini perlu bagi mengenal pasti apa sebenarnya yang berlaku dalam kejadian yang melibatkan Penolong Pengarah Kastam Selangor Ahmad Sarbani Mohamed, 56.
Semalam, Allahyarham Ahmad Sarbani ditemui mati di atas gelanggang badminton di tingkat satu pejabat SPRM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Jalan Cochrane setelah dilaporkan datang untuk bertemu pegawai penyiasat berhubung siasatan kes rasuah membabitkan Kastam Diraja Malaysia yang dibongkar baru-baru ini.
Selamatkan wang negara
Ditanya apakah perlu untuk menubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat kes itu seperti dalam kes Teoh, Najib berkata biarlah polis menyiasat perkara itu terlebih dahulu.
Beliau berkata tindakan SPRM melakukan siasatan adalah bagi menyelamatkan wang negara kerana ia adalah sesuatu yang serius.
"Kerajaan nak bersihkan Kastam dan jimatkan wang rakyat. Jika dapat berkas orang yang terlibat, yang untung adalah rakyat. Tidak sangka perkara seperti ini akan berlaku.
"Kita mesti ingat tujuan siasatan itu dilakukan untuk menjimatkan wang rakyat dan (penyelewengan) dah berlaku bertahun-tahun. Ia mesti dihentikan dan (pihak bertanggungjawab) diberkas sama sekali," katanya.
Perdana Menteri berkata mungkin ada sedikit gangguan dalam tugas SPRM berikutan kejadian seperti itu sudah dua kali berlaku tetapi ia perlu diteruskan demi kebaikan rakyat.
"Tindakan ini boleh jimatkan banyak hasil negara. Bila hasil negara bertambah, boleh buat banyak program untuk rakyat," kata Najib.
Sementara itu, Bernama melaporkan pada satu majlis di SMK Santubong dekat Kuching, Najib berkata pemimpin Pakatan Rakyat sanggup mengetepikan soal prinsip jika sesuatu perkara yang timbul tidak menguntungkan mereka.
Katanya, Pakatan hanya akan mengambil kesempatan kepada isu yang menguntungkan mereka sahaja.
Perdana Menteri berkata ia jelas tergambar dalam kenyataan pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat berhubung kontroversi video seks yang didakwa melibatkan ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Nampaknya pembangkang tidak konsisten dan mereka tengok keadaan. Mereka rasa kalau ada sesuatu yang tidak menguntungkan mereka, mereka akan ketepikan soal prinsip," katanya.
Beliau mengulas tindakan Pakatan Rakyat yang menolak cadangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz untuk menubuhkan suruhanjaya diraja bagi menyiasat video seks tersebut yang terbongkar bulan lepas.
Najib berkata kebiasaannya pembangkang akan mendesak supaya suruhanjaya diraja ditubuhkan tetapi dalam kes ini mereka membisu.
"Ini yang ramai orang rasa pelik dan aneh sebab sebarangan isu, merekalah yang pertama akan mendesak suruhanjaya diraja ditubuhkan.
"Yang pelik bila isu ini bangkit, mereka membisu, malah mereka menolak untuk menubuhkan suruhanjaya diraja," kata Najib