Ikuti Blog ini

Siasatan Polis Perlu Adil, Jangan Ulangi Kesilapan Siasatan Teoh

Kesatuan Kastam sangsi Sarbani pergi ke SPRM tanpa dipanggil

Kesatuan Pegawai-pegawai Kastam Semenanjung Malaysia sangsi seorang penolong pengarah agensi itu yang ditemui mati dipercayai jatuh di premis SPRM Wilayah Persekutuan pagi semalam akan pergi ke pejabat agensi antirasuah itu tanpa diarah berbuat demikian.

Sehubungan itu, Presidennya Ibrahim Ahmad berkata, beliau yakin Ahmad Sarbani Mohamed tidak mungkin telah berada di pejabat SPRM awal-awal pagi semalam melainkan ada arahan dikeluarkan kepada Allahyarham.

Beliau mempertikaikan kenyataan SPRM semalam bahawa Ahmad Sarbani datang ke pejabat SPRM WIlayah Persekutuan tanpa diarah untuk datang membantu siasatan susulan.

Ahmad Sarbani, 56, ditahan pada 1 April lalu dan dilepaskan keesokan hari.

Kesatuan itu bersama beberapa persatuan dan kesatuan lain dalam Kastam Diraja Malaysia akan mengadakan mesyuarat khas petang esok bagi membuat pendirian mengenai kematian Ahmad Sarbani dan juga Operasi 3B kendalian SPRM sejak awal minggu lalu.

Ahmad Sarbani merupakan salah seorang daripada 62 pegawai kastam yang menjadi tumpuan Operasi 3B, yang merujuk kepada kehilangan sumber cukai RM3 bilion.

“Ini pendirian saya, apa exco (kesatuan) akan putuskan (esok)... kita kena tunggu,” kata beliau sambil menimbulkan persoalan kehadiran Ahmad Sarbani di pejabat SPRM pada pukul 8.26 pagi semalam.

“Tak akan dia (Ahmad Sarbani) datang sendiri, kalau tidak dipanggil tak akan (dia) datang... secara logik, kalau tidak dipanggil, dia tak akan datang,” katanya.

Ibrahim berkata SPRM seharusnya mengeluarkan surat rasmi jika mahu seseorang suspek atau saksi datang ke pejabat mereka bagi membantu siasatan.

“Kalau dipanggil, (SPRM) perlu mengeluarkan surat, kalau seseorang hendak datang kena ada surat panggilan (rasmi),” kata beliau kepada The Malaysian Insider lewat malam tadi.

Lazimnya, kata beliau, seseorang khususnya mereka yang disoal siasat tidak akan pergi ke pejabat agensi pencegahan jika tiada arahan dikeluarkan.

“Kita tidak akan saja-saja pergi... melainkan seperti wartawan yang akan pergi ke sana, ke sini untuk mencari maklumat,” katanya lagi.

Ibrahim yang bulan lalu patah tangan kiri dan cedera di dahi selepas dihentak dengan batu bata oleh dua lelaki di kawasan perumahannya di Kangkar Pulai, Johor Baru berkata, beliau tidak mempertahankan mereka yang melakukan rasuah tetapi mahu SPRM bertindak secara profesional khususnya dalam hal berkaitan dengan Operasi 3B.

“Salah tetap salah, tetapi cara siasatan (dijalankan) kena profesional,” katanya yang turut mempersoalkan cara pihak berkenaan menjalankan Operasi 3B.

“Apa yang berlaku kepada Teoh Beng Hock, kini berlaku pada pegawai Kastam... perkara ini tidak logik,” katanya lagi.

Difahamkan pada malam sebelum Ahmad Sarbani pergi pejabat SPRM, Allahyarham telah bermain tenis di kawasan kuarters Kelana Jaya dan memaklumkan rakan-rakannya bahawa ada menerima arahan supaya datang ke pejabat SPRM pada keesokan pagi.

Rakan zaman kanak-kanak Ahmad Sarbani, Ridzuan Mohamad yang ditemui di kawasan Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) memberitahu The Malaysian Insider, dia tidak percaya apabila dimaklumkan kematian penolong pengarah itu.

Ridzuan juga memberitahu tidak logik Ahmad Sarbani boleh membunuh diri kerana dia sentiasa mempertahankan bahawa dirinya tidak bersalah.

“Malam tadi (kelmarin) dia panggil saya dan memberitahu saya bahawa dia sedang disoal siasat oleh SPRM. Dia berkata dia rasa tidak bersalah kerana tidak melakukan apa-apa kesalahan.

“Dia juga berkata dia akan menghantar satu dokumen esok (semalam), untuk menghantar dokumen,” katanya lagi.

Insiden terbaru ini, yang sekali lagi mengejut dan menggemparkan negara, berlaku ketika Suruhanjaya Diraja sedang mengadakan siasatan berhubung kematian bekas pegawai DAP Teoh Beng Hock, yang ditemui mati selepas disiasat SPRM di Shah Alam, dua tahun lalu.

SPRM memulakan Operasi 3B minggu lalu dan telah menahan 62 pegawai kastam di seluruh negara.

Sebahagian besar daripada telah dibebaskan sementara menanti siasatan susulan.

Pada sidang media semalam, Pengarah Siasatan SPRM Datuk Mustafar Ali berkata mangsa ditemui mati di gelanggang badminton kira-kira 10 pagi tadi.

Kata beliau, Ahmad Sarbani datang ke bangunan SPRM kira-kira 8.26 pagi tanpa sebarang temu janji dengan pegawai siasatan.

Katanya, Ahmad Sarbani telah datang ke Pejabat SPRM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur seorang diri dengan menunggang motosikal dan meminta untuk berjumpa dengan pegawai penyiasat bagi berbincang mengenai kes terhadapnya. -TMI


Pastikan siasatan kematian pegawai Kastam adil




Anggota Jawatankuasa Khas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Salahudin Ayub, berjanji akan mempastikan siasatan yang adil dilakukan ekoran kematian seorang pegawai kanan Kastam pagi ini di perkarangan bangunan SPRM Kuala Lumpur.

Beliau yang juga Naib Presiden PAS dan anggota Parlimen Kubang Kerian memberi reaksi segera terhadap kematian Ahmad Sarbani Mohamed, 56, yang berkhidmat sebagai pembantu pengarah di Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Selangor.

"Sebagai salah seorang Anggota Jawatankuasa Khas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), saya akan mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan pelbagai pihak yang berwajib bagi memastikan satu penyiasatan yang adil dapat dilaksanakan dengan segera ke atas kes ini," katanya dalam satu kenyataan media.

Bagi beliau, kematian seorang pegawai Kastam yang membantu siasatan kes rasuah yang dikatakan jatuh dari tingkat tiga bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Jalan Cochrane di ibu negara pagi ini sangat menyedihkan.

"Sebagai anggota Parlimen, saya akan memastikan ia disiasat dengan cara yang telus dan diberikan penjelasan yang wajar oleh SPRM.

"Kita bimbang, ketika kematian Teoh Beng Hock masih lagi sedang disiasat oleh Suruhanjaya Diraja, kematian pegawai Kastam ini akan memberikan persepsi yang lebih buruk kepada SPRM," kata Salahudin. (gambar bawah)

Kematian pegawai kanan Kastam yang dikatakan jatuh dari tingkat 3 bangunan SPRM ke gelanggang badminton berhampiran pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kuala Lumpur mengejutkan banyak pihak.

Pegawai kanan itu membantu siasatan membabitkan cukai tidak berbayar dan telah dibebaskan dengan ikat jamin dua hari lalu.

Pengarah Penyiasatan SPRM Mustafar Ali berkata, Allahyarham Ahmad Sarbani ditahan pada 1 April lalu di Klang berhubung dakwaan rasuah dan pengubahan wang haram.

Bagaimanapun, dia kemudiannya dilepaskan pada 2 April lalu pada jam 12.30 petang.

Lelaki itu datang semula ke pejabat SPRM di Jalan Cochrani di Kuala Lumpur untuk bertemu seorang pegawai penyiasat berhubung kesnya hari ini, kata Mustafar lagi.

Pegawai penyiasat telah memintanya menunggu di situ sementara pergi mengambil fail kes tersebut.

Bagaimanapun, apabila balik semula ke situ, dia mendapati pegawai Kastam itu sudah tidak ada.

Mayat Ahmad ditemui terbaring di atas gelanggang badmintion pada jam 10.15 pagi, kata Mustafar.

Siasatan ke atas Allahyarham dijalankan ekoran penahanan sejumlah 62 orang pegawai Kastam dalam satu operasi di Pulau Pinang, Selangor dan Pahang.

Operasi berkenaan dijalankan oleh satu tindakan bersama oleh SPRM, JKDM, Lembaga Hasil Dalam Negeri dan Bank Negara.

Seorang lagi dikesan mempunyai lebih RM1 bilion manakala dua lagi yang ditahan mempunyai lebih RM500,000 di dalam akaun masing-masing.

Salah seorang pegawai kastam yang ditahan dalam operasi itu dikesan mempunyai wang berjumlah beberapa juta di dalam akaunnya. -HD

Sama seperti kes Teoh Beng Hock, media arus perdana pula sibuk mengeluarkan berita kononnya "mangsa di dalam keadaan tertekan". Mereka tidak menuduh Allahyarham Ahmad Sarbani membunuh diri secara lansung tetapi secara tidak lansung.

Tindakan cuba melakukan cover-up terhadap kes-kes yang melibatkan agensi kerajaan membuktikan media arus perdana merupakan perosak kepada sistem keadilan dan ketelusan dan jika demikian halnya maka tidak mustahil akan berulang lagi kejadian ngeri ke atas saksi-saksi atau orang kena siasat di pejabat SPRM.

Polis juga perlu adil dan telus. Kesilapan semasa siasatan Teoh Beng Hock tidak wajar diulangi sehingga Inkues dan Suruhanjaya Diraja dibentuk.

Kredibiliti dan integriti polis perlu dikembalikan ke identitinya yang lebih wajar, jika tidak, negara akan terus menerima bencana dan malapetaka yang Tuha sendiri akan campurtangan mendedahkan kebenaran dan keadilan hasil doa orang-orang beriman.

Sebagai orang beriman, kita sering membaca doa-doa ini:

1) Allahumma arinal haqqa, haqqa, warzuqnattiba’ah,
wa arinal bathila bathila, warzuqnajtinabah


Ya Allah, tunjukkanlah yang haq itu sebagai haq, dan kurniakanlah kami kekuatan utk mengikutinya, dan tunjukkanlah yg batil itu sebagai batil dan kurniakanlah kami kekuatan untuk menjauhinya.

2) Rabbi adkhilni mudkhala sidqin wa akhrijni mukhraja sidqin waj'alli min ladunka sulthanan nashiran wa qul ja alhaqqu wa zawaqal bathilu innal bathila kana zahuqan

Ya Allah, masukkanlah aku secara masuk yang benar dan keluarkanlah(pula) aku secara keluar yang benar dan berikanlah kepadaku dari sisi-Mu kekuasaan yang menolong. Dan katakanlah yang benar telah datang dan yang batil telah lenyap. Sesungguhnya yang batil itu adalah sesuatu yang pasti lenyap.


Kebenaran tetap akan menang mengalahkan kebatilan sepertimana janjiNya:

Firman Allah bermaksud ,



Katakanlah : Telah datang yang haq (kebenaran) dan telah lenyap yang batil atau yang palsu. Sesungguhnya yang batil itu pasti lenyap. (Al Israa' 81) -GB
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .