Ikuti Blog ini

Keluarga Ahmad Sarbani Serah Bukti Petunjuk Punca Kematian

Keluarga Allahyarham Ahmad Sarbaini Mohamed telah menyerahkan bukti kepada polis, yang dipercayai akan membantu menentukan bagaimana penolong pengarah Kastam Diraja Malaysia (KDRM) itu ditemui mati di premis SPRM, minggu lalu.

Ketika mendedahkan perkara itu di sini hari ini, peguam-peguam keluarga itu enggan berkongsi maklumat apa yang dimaksudkan dengan bukti baru tersebut.

“Kami berharap mereka (polis) akan menyiasat perkara ini,” kata peguam Ghazali Mohd Ramli pada sidang media di sini hari ini.

“Kami tidak boleh mendedahkannya kepada media sebab kami tidak mahu menjejaskan siasatan,” kata beliau lagi.

Bagaimanapun kata beliau, pihaknya percaya ia akan menentukan sama ada Ahmad Sarbaini membunuh diri ataupun sebaliknya. Justeru, beliau mempersoalkan mengapa Ahmad Sarbaini perlu pergi ke pejabat SPRM jika mahu membunuh diri.

Menurut Ghazali, hidup Ahmad Sarbaini dan keluarganya adalah serba kecil dan biasa sahaja.

Setakat ini polis telah mengambil keterangan daripada 20 orang termasuk ahli keluarga Ahmad Sarbaini, SPRM dan kakitangan KDRM.

Polis juga telah menganalisis sistem kamera litar tertutup (CCTV) dari pejabat SPRM di Cheras termasuk telefon bimbit milik Allahyarham Ahmad Sarbaini.

Pengarah Bahagian Siasatan SPRM Datuk Mustafar Ali pada hari kematian Ahmad Sarbaini berkata, pegawai itu telah datang ke bangunan SPRM kira-kira pukul 8.26 pagi tanpa sebarang temu janji dengan pegawai siasatan.

Ahmad Sarbaini ditemui mati di gelanggang badminton kira-kira 10 pagi Rabu lalu, tetapi rakan-rakan rapatnya berkata adalah satu perkara yang mustahil bapa lima anak itu akan membunuh diri.

Seorang lagi peguam keluarga Ahmad Sarbaini, Awtar Singh Gill berkata, dakwaan dalam laporan media kononnya Allahyarham mempunyai kekayaan luar biasa adalah tidak benar.

Katanya, keluarganya juga meminta media tidak membuat spekulasi bukan-bukan.


Awal petang tadi, The Malaysian Insider melaporkan bahawa di sebalik kematian mengejut itu, keluarga Allahyarham Ahmad Sarbaini mahu individu yang menyebabkan kematiannya didakwa dan dibawa ke muka pengadilan.

Sepupu Allahyarham yang hanya mahu dikenali sebagai Ismail berkata, tidak mungkin penolong pengarah KDRM itu akan “membunuh diri” seperti mana yang didakwa pihak tertentu termasuk laporan media.

“Kami juga mahukan siasatan terperinci yang dibuat, kami tidak mahu keputusan yang akhirnya kata bukan bunuh diri atau dibunuh, kami mahukan keputusan tepat,” katanya.

Dia merupakan salah seorang daripada 62 pegawai kastam yang menjadi tumpuan Operasi 3B.

Kematiannya adalah kejadian kedua dalam dua tahun ini. Kes kematian Teoh Beng Hock, yang ditemui jatuh dari Plaza Masalam, yang menempatkan pejabat SPRM Selangor, pada Julai 2009 masih disiasat oleh suruhanjaya diraja.

Tambah Ismail, tuduhan mengatakan Ahmad Sarbaini “membunuh diri” telah menyebabkan keluarga Allahyarham tertekan dan tidak boleh menerimanya.

Malah menurut Ismail, keluarga mereka juga menafikan dengan keras Ahmad Sarbaini telah “membunuh diri”. - TMI
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .