“Insya Allah rakyat Sarawak akan ajar pemimpin yang angkuh pada 16 April ini, bahasa undi sahaja pemimpin BN boleh faham untuk mereka insaf tentang tanggungjawab mereka kepada rakyat,” kata ketua penerangan PAS, Idris Ahmad (dua dari kanan).
Dalam satu kenyataan akhbarnya, beliau berkata hanya setelah ditolak rakyat baru pemimpin BN akan sudi turun meninjau kesempitan rakyat sedangkan sewaktu berkuasa mereka tidak pernah memikir keperluan rakyat.
Justeru, katanya, apa yang berlaku di Sarawak hari ini adalah sesuatu yang belum pernah berlaku dalam sejarah pilihan raya Sarawak. BN kini diberi tentangan hebat sejak pada hari penamaan calon pada 6 April lalu.
Menurutnya, menjadi kelaziman pada hari penamaan calon BN akan menang beberapa kerusi tanpa bertanding, tetapi pilihan raya kali ini tidak berlaku seperti yang dijangkakan.
“Pemimpin BN daripada atas sampai ke peringkat bawah menabur berbagai janji untuk pengundi di Sarawak.
Kemiskinan dirancang
“Kemiskinan suatu yang dirancang supaya modal pembangunan sentiasa relevan untuk BN kepada pengundi,” katanya.
Justeru, kata Idris, peruntukkan jarang sekali sampai ke sasaran agar ia dapat dijadikan modal kempen sepanjang hayat untuk rakyat yang miskin.
“PAS merasa hairan kenapa Sarawak masih miskin dan ketinggalan dari sudut kemudahan jalan raya, air dan elektrik.
“Pada hal dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) diperuntukkan RM13 bilion untuk Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah untuk tempoh lima tahun.
“Daripada jumlah berkenaan sebanyak RM1.7 bilion adalah untuk pembinaan jalan luar bandar, RM1.7 bilion untuk bekalan elektrik, selain RM900 juta untuk bekalan air dan RM100 juta untuk Program Bantuan Rumah,” katanya.
Menurut Idris dalam pembentangan RMK-10, perdana menteri juga mengumumkan pembinaan 2,800 kilometer jalan berturap, liputan 95 peratus bekalan air dan memperluaskan kemudahan elektrik di kawasan luar bandar ke 76,000 buah rumah di Sarawak.
“Jika melihat kepada peruntukan yang diberikan kepada negeri Sarawak kita tidak akan bertemu di sana jalan raya, rumah, air yang begitu daif.
“Persoalannya kenapa jadi begini?
“Ke mana hasil bumi Sarawak sedangkan pemimpin BN Sarawak hidup mewah sedangkan rakyat merempat dan melarat,” soalnya. -M'kini