Ikuti Blog ini

Pemimpin bukan hanya bagi RM50, tabur janji manis

BATANG LUPAR, 4 Mac: Rakyat Sarawak diseru memilih pemimpin yang baik yang sentiasa prihatin terhadap masalah mereka dan menyuarakannya di Dewan Undangan Negeri.

“Kita tidak perlu memilih pemimpin yang datang setiap kali pilihan raya dengan menawarkan wang RM50 dan menabur janji-janji manis, sebaliknya permasalahan rakyat dibiarkan,” kata Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam ucapannya kepada pengundi-pengundi di Sebuyau.

Menurut beliau, PAS tidak memaksa sesiapa menerima parti itu.

Begitupun, jelasnya PAS ingin bersama rakyat Sarawak membuat perubahan melalui parti itu dan Pakatan Rakyat ke arah negeri Sarawak yang lebih baik daripada pemerintah BN.

“Kita perlu menolak pemimpin yang mengagihkan kekayaan sesama mereka sedangkan rakyat dibiarkan miskin,” katanya lagi.

Jelasnya, Islam mengajar pemerintah supaya berlaku adil dalam mengagihkan kekayaan negeri.

Katanya, nabi-nabi menegur pemerintah yang zalim di zaman masing-masing sehingga ada di antara mereka dibunuh.

“Inilah yang PAS perjuangkan untuk rakyat Sarawak,” tegas Abdul Hadi yang juga ahli Parlimen Marang.

Dalam masa yang sama beliau turut melawat masyarakat orang Iban di rumah panjang Sebuyau (gambar atas).

Penduduk-penduduk setempat menyambut kedatangan beliau dan menjemput bertandang ke rumah.

Beliau menghabiskan masa hampir satu jam berbual-bual di rumah penduduk.

Turut serta bersama ialah AJK PAS Pusat, Mazlan Aliman, Pesuruhjaya PAS Sarawak dan Negeri Sembilan, Adam Ahid dan Zulkifly Omar serta petugas-petugas PAS dari Johor dan Perak.

Mengulas isu video seks yang heboh ketika ini, beliau dengan nada tegas menyatakan haram bertindak zalim kepada sesama manusia dan amat dikesalkan apabila pihak yang dituduh iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim pula yang diminta untuk membuktikan dirinya, sedangkan pihak yang menuduh bebas membuat tuduhan tanpa diambil tindakan. -Hrkh

Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .