Ikuti Blog ini

PR yakin menang di Sarawak



KUALA TERENGGANU - Pakatan Rakyat (PR) yakin mempunyai peluang besar dalam meraih kemenangan pada pilihan raya Sarawak pada 16 April depan.

Naib Presiden PKR Pusat, Nurul Izzah Anwar berkata, pada pertemuannya di Sarawak minggu lalu menunjukkan telah wujud kesedaran di peringkat rakyat berhubung isu rasuah melibatkan Ketua Menteri termasuklah mendapat perhatian yang memberangsangkan daripada dunia luar mengenai perkara ini.

Menurutnya, kesedaran berhubung isu ini meresap ke peringkat bawahan dan memberi bentuk gelombang menunjukkan rakyat di negeri itu mahukan pembaharuan.

“Keadaan ini satu peluang keemasan kepada PR dan perlu memberi perha-tian terhadap calon bagi melawan Barisan Nasional (BN).

“Alhamdulilah, sebagaimana dimaklumkan Ketua Pembangkang, semua parti di dalam PR sudah bersetuju akan memberi satu calon bagi melawan BN dan ini adalah faktor terpenting dalam menentukan kemenangan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Ceramah Perdana PR di Dataran Pas, anjuran Majlis Tindakan Dewan Undangan Negeri (DUN), Batu Burok, di Kuala Ibai, dekat sini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Demokrasi dan Mobilisasi Pas Pusat, Mohamad Sabu dan Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Dr Syed Azman Ahmad Nawawi.

Sementara itu, Nurul Izzah berkata, isu pembahagian kerusi bersama SNAP masih di peringkat perbincangan dan adalah penting bagi PR meletakkan kepercayaan kepada ekuiti yang boleh atau mampu membawa aspirasi rakyat serta tidak berkait pimpinan BN.

“Paling utama adalah kerjasama dan juga persetujuan daripada semua parti di dalam PR, ini adalah jaminan serta janji yang akan diberikan kepada peringkat bawahan dan kerjasama ini sudah terbukti.

“Kita akan cuba berunding dengan SNAP dan PR tidak boleh mengambil endah berita menyatakan perjanjian antara SNAP dan BN,” katanya-SH
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .