KUALA LUMPUR, 28 April: PAS berpendapat hanya dengan menukar parti pemerintah sahaja akan mampu menyelesaikan masalah rasuah dalam negara.
Bercakap dalam wacana anjuran Sinar Harian bertajuk 'Rasuah Pemusnah Tamadun' di Shah Alam petang semalam, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin (gambar) berkata, masalah rasuah dalam negara kita sukar diatasi kerana berpunca dari peringkat pemimpin atasan negara.
Ujarnya, ia berbeza dengan prinsip Pakatan Rakyat yang menolak amalan rasuah dan telah dibuktikan pada negeri-negeri diperintah mereka.
"Faktor terpenting kenapa terjadinya rasuah adalah kerana pemimpin itu sendiri melakukannya. Oleh itu perubahan mesti dibuat dari peringkat atasan.
"Dalam konteks Malaysia, satu-satunya cara memerangi rasuah adalah dengan menukar kerajaan sedia ada. Jika perkara ini tidak boleh dilakukan, jangan mimpi gejala rasuah ini boleh diselesaikan," katanya yang juga AJK PAS Pusat.
Selain Nizar, wacana tersebut turut menampilkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk seri Abu Kassim Mohamed, Ahli Dewan Negara, Senator Ezam Mohd Nor dan Pengasas ESQ Leadership Centre, Dr Ary Ginanjar Agustian.
SPRM perlu jadi badan bebas
Abu Kassim pula dalam hujahnya berkata, apa yang perlu diperjuangkan oleh seluruh rakyat dan pihak yang menentang rasuah adalah undang-undang bagi membolehkan SPRM manjadi sebuah badan bebas.
Hanya dengan itu katanya, SPRM mampu menjalankan tugas membenteras jenayah rasuah dengan lebih berkesan.
Sebelum ini, Jawatankuasa Khas SPRM yang ditubuhkan di bawah parlimen turut mengesyorkan kepada kerajaan agar hak pendakwaan kes rasuah diberikan sepenuhnya kepada pihak SPRM dan bukan lagi di bawah kuasa Peguam Negara, bagi menjadikan badan itu lebih bebas.
Materialistik punca utama rasuah
Sementara itu, Dr Ary Ginanjar berkata punca utama rasuah di negara ini adalah sikap individu yang terlalu materialistik.
Rakyat negara ini katanya terikut-ikut dengan amalan negara barat sehingga mengenepikan nilai murni.
"Apabila hati sudah terbentuk, tiadak mustahil rasuah akan selesai.
"Sebenarnya kekuatan kita apabila kita mengabdikan diri kepada Allah," katanya. -Hrkh