 KUALA  LUMPUR, 10 Mei — Sambil mempertahankan kedudukan PAS dalam Pakatan  Rakyat, ahli jawatankuasa kerja PAS pusat Mohamad Sabu berkata,  Umno-Barisan Nasional (BN) semakin terdesak kerana tidak putus-putus  menggesa parti Islam itu keluar daripada perikatan tersebut.
KUALA  LUMPUR, 10 Mei — Sambil mempertahankan kedudukan PAS dalam Pakatan  Rakyat, ahli jawatankuasa kerja PAS pusat Mohamad Sabu berkata,  Umno-Barisan Nasional (BN) semakin terdesak kerana tidak putus-putus  menggesa parti Islam itu keluar daripada perikatan tersebut. Tegas  Mohamad, sekiranya PAS bertindak keluar Pakatan Rakyat, secara  automatik BN akan terus memerintah negara “sehingga hari kiamat.”
“Kalau  PAS keluar Pakatan Rakyat, BN akan memerintah sehingga hari kiamat  sebab dia (BN) tahu kalau PAS bersama Pakatan Rakyat ini sahaja yang  boleh menggugat BN.
“Sebab itu BN  tiada jalan lain, jadi terpaksa mencari apa sahaja jalan bagi  memastikan PAS keluar daripada Pakatan Rakyat, ini kerana BN bimbang  kekuatan PAS dalam Pakatan Rakyat... tambahan yang boleh kalahkan Umno  adalah PAS,” katanya kepada The Malaysian Insider.
Beliau yang mesra dengan  panggilan “Mat Sabu”, BN kini bergantung kepada kekuatan Umno selepas  parti komponen lain dilihat seperti “hidup segan, mati tak mahu.”
“BN sudah hilang tongkat, MCA dan Gerakan seperti hidup segan, mati tak mahu... tongkat BN hanya pada Umno.
“Kalau Umno rebah, rebahlah BN  dan kawasan Melayu yang Umno wakili akan jadi milik Pakatan Rakyat...  sebab itu saya katakan kalau PAS keluar Pakatan Rakyat sama ada secara  bersendiri atau bersama BN selamatlah Umno sebab dapat nafas baru,” kata  Mohamad sambil menggesa ahli parti Islam itu tidak terpedaya dengan  pandangan dari “nakhoda kapal yang sedang tenggelam” - merujuk kepada  bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Beliau berkata demikian sebagai  respons terhadap Dr Mahathir yang mengatakan PAS perlu bertindak di luar  Pakatan Rakyat kerana gabungan tiga parti perikatan itu adalah palsu  dan merugikan orang Melayu.
Dr Mahathir berkata, PAS tidak  semestinya menyertai BN tetapi jika PAS mahu bertanding menentang Umno,  biarlah parti tersebut berada di luar Pakatan Rakyat.
“Jika PAS mahu kembali kepada BN seperti era 70-an lalu, saya percaya BN akan menerimanya.
“Mahu lawan Umno, mahu pecah  undi Melayu, lawanlah, kita tiada masalah. Tetapi kalau boleh PAS jangan  bekerjasama dengan PKR dan DAP,” katanya.
Selain itu, Dr Mahathir turut  menegur PAS kerana perjuangan mereka sekarang dilihat amat jauh  menyimpang daripada perjuangan asal yang mahu menubuhkan sebuah negara  Islam dengan undang-undang syariahnya sekali.
Katanya, PAS dahulu tidak boleh  melihat dan mendengar perkataan DAP tetapi kini parti tersebutlah yang  paling hadapan sekali mempertahankan DAP dalam banyak isu.
“Apa sudah jadi dengan pemikiran orang Melayu Islam PAS? Semuanya sudah tunggang-langgang sekarang,” katanya.
Sebelum ini Perdana Menteri  Datuk Seri Najib Razak berkata PAS patut keluar Pakatan Rakyat jika pun  memutuskan untuk tidak menyertai BN.
Sehubungan itu Najib mendakwa  PAS tidak pernah untung apa-apa pun dalam Pakatan Rakyat, malah mereka  hanyalah menjadi alat kepada parti DAP.
Naib Presiden PAS Datuk Tuan  Ibrahim Tuan Man berkata, Dr Mahathir tidak perlu untuk terlibat dalam  politik negara, sebaliknya dinasihatkan agar menggunakan segala  pengalaman yang ada untuk menangani isu-isu sensitif yang berlaku.
“Sebagai bekas perdana menteri,  beliau (Dr Mahathir) perlu bertindak sebagai penasihat yang baik kepada  rakyat dan kerajaan terutamanya dalam isu kaum dan agama serta isu-isu  sensitif, saya pasti dengan pengalaman yang beliau ada, beliau tahu dan  faham masalah yang dialami negara.
“Beliau patut bertindak ke arah  perpaduan rakyat bukan menyemarakkan lagi api perkauman dan dari sudut  PAS kita lihat PAS dengan gabungan dalam Pakatan Rakyat mula diterima  rakyat, malah rakyat sudah mula menolak parti yang bersifat perkauman,”  katanya.
Selain itu, menurut Tuan Ibrahim, PAS tidak akan melayan sebarang gesaan yang meminta parti Islam itu keluar Pakatan Rakyat.
“Pada pandangan saya parti  komponen BN masih lagi berfikiran lama dengan sikap double standard  antara kaum, sebagai contoh bila pemimpin Umno bercakap dengan prang  Melayu mereka minta tolak PAS sebab PAS berkawan dengan DAP tapi bila  bersama masyarakat Cina mereka takutkan dengan dasar Islam yang  diperjuangkan PAS.
“Jadi PAS tidak akan melayan gesaan itu,” katanya.
Seorang lagi ahli jawatankuasa  kerja PAS pusat Dr Mujahid Yusuf Rawa berkata kenyataan yang dikeluarkan  Dr Mahathir itu adalah untuk menyelamatkan Umno-BN dan bukan untuk  selamatkan negara.
“Pertama sekali ia adalah  pandangan peribadi dan beliau boleh kata apa sahaja yang beliau nak  katakan, bagi PAS apa yang penting bukan apa yang beliau katakan tapi  adalah untuk melakukan perubahan dalam negara.
“Itu  yang lebih penting daripada mahu mengajak PAS keluar Pakatan Rakyat,  saya terkejut bila Dr Mahathir kata seperti itu... orang seperti beliau  yang mempunyai pengalaman harus menasihatkan parti politik melakukan  perubahan bukan ajak PAS keluar Pakatan Rakyat, itu memalukan diri  sendiri sahaja,” katanya
Justeru kata Mujahid yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar, PAS akan kekal bersama Pakatan Rakyat.
“Apa  yang lebih penting bukan soal PAS baik dengan DAP atau PKR tapi apa  yang kita lakukan adalah seruan supaya rakyat melakukan perubahan untuk  menggantikan Umno-BN.
“Kenyataan Dr Mahathir itu lebih melihat untuk selamatkan Umno-BN bukan nak selamatkan negara, malulah sikit,” katanya. - TMI


 


 
 
 
 
 
 
 
 Catatan
Catatan
 
