Ketirisan sebanyak RM28 billion setahun itu adalah bencana yang tidak mungkin dapat diatasi kerana ketirisan itu belaku dan dilakukan oleh pemimpin-pemimpin utama negara sekali.
Ianya sudah menjadi budaya tegar umpama candu dalam pentadbiran kerajaan Persekutuan dan Negeri-Negeri dan tidak ada siapa dan pihak yang serius untuk mengambil tindakan membetulkan keadaan.
Pihak yang sepatutnya membetulkan keadaan ini juga terlibat dalam ketirisan yang begitu besar ini.
Aspan Alias: Belum tahu siapa yang setia dan siapa yang lari lintang pukang
Situasi kehidupan rakyat semakin hari semakin menyempit dengan kenaikan harga makanan dan barangan serta perkhidmatan ‘essentials’ naik dan tidak nampak akan turun atau setidak-tidaknya mendatar. Tidak ada siapa yang tidak bersungut dan mengeluh dengan kenaikan harga barang yang tidak ada hentinya ini.
Secara parallel kita akan berhadapan dengan pengurangan subsidi terhadap barang keperluan dan bahan bakar yang selama ini dikecapi rakyat. Tidak lama lagi kita akan membayar ‘goods and service tax’ (GST) pula dan semuanya ini akan menambah beban kehidupan rakyat terutamanya kepada golongan menengah dan golongan miskin di bandar-bandar dan di ‘sub-urban’ di seluruh negara.
Kerajaan akan memberhentikan pemberian subsidi kepada rakyat secara beransur-ansur bagi mengurangkan defisit terhadap bajet negara dan segalanya ini datang dalam masa yang serentak dan dalam kadar yang mendadak.
Harga makanan telah naik dengan kadar 4.9 peratus dari Januari sehingga April 2011 ini dan ianya amat membimbangkan. Kalau dikaji angka-angka rasmi yang dikeluarkan oleh kerajaan harga barang makanan telah naik melebihi 30 peratus dalam jangkan masa 4 tahun yang lepas berbanding dengan kenaikan gaji dan pendapatan rakyat yang tidak melebihi 3 peratus dalam tahun yang yang sama.
Kerajaan nampaknya tidak ada kudrat untuk menyelesaikan atau setidak tidaknya mengurangkan beban ini kerana apa yang mampu di lakukan hanyalah mengalih dan menganjak tangungjawab itu di kalangan rakyat sahaja dan tidak ada nampak sumber pendapatan ‘secondary’ bagi kerajaan. Semuanya diambil dari rakyat yang ramai semata-mata.
Tindakan kerajaan mengurangkan susidi dalam keadaan rakyat sedang ‘sakit’ sekarang ini, menunjukan yang kerajaan kita sudah kekeringan ‘kantungnya’ dan ini akan membawa kesan yang amat memeritkan rakyat dan merencatkan proses pembangunan negara.
Daripada segi politiknya pula ungkapan-ungkapan pemimpin negara yang menyatakan yang negara sedang menuju ke arah negara maju itu amat payah diterima oleh rakyat. Apabila sampai ke tahap kesusahan yang kita semua hadapi ini naluri rakyat memberontak apabila mengetahui yang negara mengalami ketirisan sebanyak RM 28 billion setahun sebagaimana yang dilaporkan oleh Laporan Ketua Audit Negara tahun 2008 dahulu. 28 billion ringgit ketirisan ini pastinya telah masuk ke dalam saku individu pemimpin yang tidak jujur.
Itulah sebabnya banyak pihak termasuklah blog yang kerdil ini telah puluhan kali menyebut yang penarikan subsidi bukanlah jalan yang pertama untuk dilakukan bagi menghadapi krisis kenaikan kos penghidupan ini. Usaha yang penting yang perlu dilakukan ialah untuk membanteras ketirisan wang negara melalui rasuah dan penyelengan yang dilakukan oleh penggubal dasar serta pelaksana dasar-dasar tersebut (penjawat awam).
Ketirisan sebanyak 28 billion ringgit setahun itu adalah bencana yang tidak mungkin dapat diatasi kerana ketirisan itu belaku dan dilakukan oleh pemimpin-pemimpin utama negara sekali. Ianya sudah menjadi budaya tegar dalam pentadbiran kerajaan Persekutuan dan Negeri-Negeri dan tidak ada siapa dan pihak yang serius untuk mengambil tindakan membetulkan keadaan. Pihak yang sepatutnya membetulkan keadaan ini juga terlibat dalam ketirisan yang begitu besar ini.
Itulah sebabnya rakyat terus sahaja memberikan keyakinan kepada kerajaan Negeri P Pinang yang telah jelas berjaya menyelesaikan ketirisan yang selama ini tidak dilakukan oleh kerajaan sebelumnya. Begitu juga dengan kerajaan negeri Selangor.
Dalam keadaan Negeri itu ditekan oleh kerajaan Persekutuan negeri itu tetap telah menunjukkan prestasi yang jauh lebih baik secara relatifnya dari kerajaan sebelumnya walaupun kenyataan saya ini akan dibenci oleh pihak yang ingin membuktikan sebaliknya kerana kepentingan politik mereka.
Bagi saya itu tidak boleh dilayan kerana yang pentingnya ialah politik orang ramai, kehidupan rakyat yang melata dapat di perbaiki dan kalau boleh kita hendak menolak semua pihak yang menyebabkan ketirisan yang menggila besarnya ini. Rakyat tidak mahu lagi perkara buruk ini berulang terus menerus.
Menjaga harta benda kita adalah wajib di sisi agama. Kalau Ibrahim Ali ingin tahu ini juga adalah jihad. Jika pimpinan yang telah lama memerintah sudah hilang segala hidayahnya ada berkewajipan untuk mereka ditukar dan diganti… sama ada di tukar semua pimpinan yang ada kepada pimpinan baru parti yang memerintah ini atau pun menolak terus parti ini dari mentadbir negara kita lagi.
Pendeknya biarlah kuasa itu berada di tangan rakyat biasa kerana mereka telah lama bersabar menunggu pimpinan yang ada untuk berubah, tetapi tidak kunjung juga berubah. Kita mesti akui hakikat yang kesabaran itu ada hadnya dan rakyat telah melampaui batasan kesebaran mereka.
Kalau sesiapa yang hendak pandangan saya sebagai ahli UMNO, elok jika seluruh pimpinan UMNO berundur dan menukar pimpinan yang di terima oleh semua rakyat kerana keseluruhan yang ada pada hari ini tidak lagi diyakini rakyat. UMNO sememangnya parti yang sepatutnya menjadi tunjang pemerintahan, tetapi oleh kerana parti ini telah menyimpang sebegitu jauh pimpinan wajar ditukar sebelum pilihan raya ini.
Jika ini tidak juga dapat dilakukan, saya akan terus bersama UMO walaupun sudah menjadi parti pembangkang. Bukan untuk berjanji tetapi saya lebih rela membina kembali parti ini dari bawah. Mungin mereka yang garang-garang hari ini mempertahankan pimpinan yang ada, akan berkeliaran mencari perlindungan dan meninggalkan UMNO, biar lah saya dan beberpa orang yang capek politik ini membinanya semula jika diizin Tuhan.
Yang penting, dari saat ini, rakyat mesti dibebaskan dari tertipu dan tertipu terus-terusan dari pimpinan yang tidak setia kepada rakyat khususnya orang Melayu. Kalaulah keadaan ini berlaku, kita sama-sama lihat ke mana perginya mereka yang garang-garang dan memaki hamun orang seperti saya ini sebagai tidak setia, gunting dalam lipatan dan berbagai-bagai lagi ‘superlatives’ yang diberikan kepada saya dan beberapa orang yang lain.
Kalaulah UMNO terpaksa turun, saya akan tetap keluar membantu sesiapa yang memimpin parti ini walaupun telah menjadi parti pembangkang. Semasa itu nanti mari kita tengok; siapa yang setia dan siapa yang akan lari lintang pukang nanti.
- Aspan Alias (suntingan M@rhaen)