Sebagai suatu usaha menyahut seruan Himpunan Bersih 2.0 yang bakal diadakan pada 9 Julai 2011 di ibu kota Kuala Lumpur, saya menyarankan seluruh warga pemuda PAS di semua peringkat termasuklah anak-anak muda yang prihatin agar menjadikan 2 Julai 2011 sebagai Hari Pra Bersih 2.0 dengan memakai baju Bersih 2.0 (berwarna kuning). Ia sebagai ‘warm up’ (persiapan) bagi membangkitkan semangat dan persediaan seluruh rakyat bagi menyertai Himpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai 2011.
Saya menegaskan bahawa pada 2 Julai 2011 tidak perlu diadakan sebarang himpunan. Cukup sekadar setiap warga khususnya anak-anak muda memakai baju kuning Bersih 2.0 sebagai tanda sokongan kita terhadap Himpunan ini serta persiapan mental dan spiritual sebelum turun ke medan Himpunan Bersih 2.0 kelak.
Ayuh kita bersama-sama kuningkan seluruh negara pada 2hb Julai 2011 ini. Kepada mereka yang masih belum memiliki baju Bersih 2.0, sila dapatkannya di pasaran dan pastikan semua warga muda negara memakainya dan seterusnya turun ke Kuala Lumpur untuk menyertai Himpunan Bersih 2.0.
Rasional seruan saya ini adalah sebagai ‘warm up’ (raptai) permulaan bagi menghadapi Himpunan Bersih 2.0. Ia juga sebagai menunjukkan sokongan rakyat Malaysia terhadap Himpunan ini, dengan mengharapkan Malaysia menjalankan sistem pilihanraya yang bersih dan adil di masa akan datang. Ini juga membuktikan bahawa semua lapisan rakyat yang akan hadir ke himpunan Bersih adalah mereka yang cintakan keamanan dan keadilan sejagat tanpa menanam apa-apa sentimen sempit dan ingin menunjukkan bahawa himpunan ini nanti tidak memberikan kesan negatif terhadap negara. Selain itu, 2 Julai 2011 sebagai hari memakai baju kuning sebagai tarikan atau promosi terhadap rakyat Malaysia yang lain agar turut sama mengambil bahagian menyertai himpunan ini.
Perlu diingatkan, bahawa himpunan aman pada 9 Julai 2011 adalah sebahagian daripada proses demokrasi yang matang dan menjadi hak rakyat Malaysia berhimpun bagi menunjukkan sikap dan perasaan mereka.
HJ NASRUDIN HASSAN
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia