Ikuti Blog ini

'Datuk T' Didakwa Esok, Hairankah Kita Jika Mereka Dikenakan Hukuman Ringan?

Tiga individu yang secara berkumpulan menggelarkan diri mereka sebagai 'Datuk T' yang menggemparkan Malaysia dengan menayangkan rakaman video seks yang kononnya didakwa mirip pemimpin pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, akan didakwa di Kompleks Mahkamah Tinggi, Jalan Duta, esok.

'Datuk T - terdiri daripada ahli perniagaan Kedah, Datuk Shazryl Eskay Abdullah; bekas ketua menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik; dan bekas bendahari agung Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Shuib Lazim - telah menayangkan video tersebut para wakil media terpilih di hotel Carcosa Seri Negara, 21 Mac lalu.

'Datuk T akan didakwa di Mahkamah Jalan Duta pada 8 pagi, 24 Jun 2011, harap maklum,' kata Datuk Shazryl, dalam satu khidmat pesanan ringkasnya (SMS) kepada laman berita The Malaysian Insider, semalam.

Ditanya sama ada perkara itu benar, Datuk Shazryl mengesahkannya dengan jawapan ringkas: 'Confirm (sah).'

Ketiga-tiga 'Datuk T' itu kemungkinan didakwa dibawah Seksyen 292 Akta Kanun Keseksaan kerana kesalahan mengedar bahan lucah.

Datuk Seri Anwar, yang juga Ketua Umum Pakatan Rakyat (PR) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR), telah menafikan pembabitan beliau sebagai pelaku dalam video seks itu dan membuat laporan polis berhubung dengannya.

Datuk Shazryl pernah melakukan sumpah laknat bagi membuktikan dakwaan yang dibuatnya itu adalah benar dan Datuk Seri Anwar adalah pelaku dalam rakaman video tersebut.

Polis juga telah mengesahkan bahawa rakaman video seks itu, yang kini tersebar luas di Internet, adalah tulen.


Bukan Kejutan 'Datuk T' Terlepas - DSAI

KUALA LUMPUR 22 JUN : Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau tidak terkejut jika mahkamah menjatuhkan hukuman paling ringan terhadap trio 'Datuk T' yang dikatakan akan didakwa Jumaat ini.

Anwar merujuk kepada prestasi kehakiman mutakhir ini yang seringkali 'membebaskan' kaum kerabat UMNO BN tetapi bertegas terhadap pemimpin Pakatan Rakyat.

Beliau juga menyatakan ketidakyakinannya terhadap keseriusan Putrajaya dalam mengambil tindakan terhadap 'Datuk T' yang merangkumi Bekas Menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik, Bekas Bendahari Perkasa, Datuk Shuib Lazim dan Ahli Perniagaan, Datuk Eskey Shazryl Abdullah.

Anwar turut mendakwa rakaman video seks yang cuba dikaitkan dengan dirinya menimbulkan banyak persoalan apabila pihak berkuasa dilihat melengah- lengahkan dan sentiasa berdolak dalih ketika disoal pemberita.

Tindak polis yang tidak mengambil sebarang tindakan keatas 'Datuk T' juga menggambarkan trio itu dilindungi meskipun mereka mengaku bertanggungjawab menayangkan video lucah itu kepada sekumpulan wartawan terpilih di Hotel Carcosa Seri Negara, 21 Mac lalu.

“Kes yang jelas begini tertangguh berbulan-bulan memang menimbulkan banyak persoalan,” katanya kepada wartawan dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Jelasnya, tindakan polis yang berdiam diri walaupun berpuluh- puluh laporan polis dibuat bersabit pengedaran video lucah itu, turut memberi gambaran kegiatan itu mendapat sokongan dan kerjasama pihak berkuasa.

“Ia berlarutan lama dan ia (video seks) masih diedarkan, digalakkan oleh kerajaan, dibantu oleh polis dan Menteri Dalam Negeri.

“Adalah mustahil bagi bahan pornografi ditayangkan dan diedarkan dengan bilangan ratusan dan ribuan jika tidak dilindungi oleh sesuatu kuasa yang ada,” katanya.

Beliau berkata, pendakwaan yang akan dibuat Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail berhubung kes itu juga boleh dipersoalkan kerana Peguam Negara sendiri mempunyai rekod yang meragukan.

Malah, katanya, 'Datuk T' juga sebelum ini diketahui umum dibayangi dan dihantui isu moral yang buruk dan keji. -tvsnews
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .