Malaysia Kini melaporkan bahawa seorang ahli Pemuda PKR dicekup oleh polis dalam kejadian semalam ketika sedang menjual kemeja-T BERSIH 2.0.
Mengulas kejadian itu, ketua AMK, Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata ahli jawatankuasa kawasan Gombak, Razali Ghafar ditangkap kerana menjual baju yang mempunyai logo BERSIH 2.0.
Katanya, tindakan polis mengambil keterangan Razali kerana menjual baju-T berkenaan di sekitar Kajang malam semalam menyalahi undang-undang.
Malah yang lebih menghairankan, soalan yang diajukan polis kepada Razali lebih kepada siapa yang bertanggungjawab di sebalik himpunan BERSIH 2.0 yang dijadualkan pada 9 Julai ini.
"Maklumat yang beliau beritahu saya, soalan polis lebih kepada siapa yang (lagi) jual, siapa yang beri baju BERSIH, siapa yang suruh jual. Pertanyaan polis lebih menjurus untuk mencari siapa di sebalik penganjuran BERSIH ini?
"Ini satu perkara yang bercanggah dengan prinsip undang-undang dan perlembagaan kerana tidak ada satu kesalahan pun menjual baju dalam konteks undang-undang negara kecualilah kalau baju tersebut ada unsur lucah dan sebagainya," kata Shamsul.
Sementara itu, ketua penerangan PKR Selangor Shuhaimi Shafie ketika dihubungi Malaysiakini berkata ahli AMK itu didekati oleh anggota polis semasa ceramah Pakatan Rakyat di Sungai Merab, Sepang.
"Dia beritahu saya bahawa polis merampas dua kemeja-T dan mengheretnya ke balai dan bertanya di mana baju berkenaan diperolehi serta siapa yang menjualnya.
"Dia hanya peniaga kecil yang ingin mencari wang tambahan. Nampaknya kita tidak boleh mengeluarkan perkatan BERSIH lagi dan juga memakai atau menjual kemeja-T berwarna kuning,” katanya.
P/s: Baru nampak baju sudha takut, belum lagi nampak ratusan ribu orang berarak tuntut pilihan raya yang BERSIH!