Umumnya menyambut baik saf kepimpinan yang terpilih dalam Muktamar, malahan meletakkan pengharapan yang tinggi buat PAS untuk menerajui perubahan dalam negara.
Misi utama PAS bersama Pakatan Rakyat adalah untuk menghentikan kedurjanaan Umno-BN, yang sudah berkuasa terlalu lama dalam negara.
Apa yang penting, untuk mencapai misi ini, ia tidak harus diletakkan di atas pundak Mursyidul Am ataupun Presiden semata-mata. Bukan juga di atas pundak Timbalan Presiden dan Naib-Naib Presiden.
Untuk mencapai misi ini, seluruh pemimpin PAS sama ada di peringkat Pusat, Negeri, Kawasan hatta Cawangan, harus bergandingan, melipatgandakan kerja mereka di semua peringat.
Asas utama yang ditanamkan adalah dasar ‘Membangunkan Negara Berkebajikan’ sebagaimana yang diutarakan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang di dalam ucapan dasar beliau.
Jentera PAS di semua peringkat selepas ini harus digarap dengan kefahaman yang sejelas-jelasnya tentang konsep negara berkebajikan.
Selepas ini Badan Perhubungan PAS Negeri-Negeri boleh menganjurkan Munaqasyah Ucapan Dasar Presiden, beserta dengan konvensyen untuk pilihan raya memandangkan tarikh Pilihan Raya Umum ke-13 sudah semakin hampir.
Kita seharusnya bersyukur dengan komitmen dan istiqamah hasil daripada tarbiyah pucuk pimpinan PAS sekian lama. Hasil dari tarbiyah ini lahirnya kematangan dalam berorganisasi.
Kematangan dalam berorganisasi menjadikan sebarang bentuk perbezaan atau khilaf dalam pemilihan pucuk pimpinan dapat diselesaikan dan diatasi sebaiknya tanpa sebarang kesan. Tsiqah dan wala’ kepada keputusan jemaah menjadikan PAS kukuh dan kuat.
Untuk itu, PAS sudah mempunyai sebuah pasukan yang kuat dan diterima ahli keseluruhannya.
PAS hanya perlu menyediakan amilin atau jentera yang kuat untuk mendokong pasukan kepimpinan yang kuat.
Jentera yang kuat ini harus dibekalkan dengan kefahaman yang mendalam mengenai negara berkebajikan yang dianjurkan PAS, serta pemahaman mengenai agenda Buku Jingga yang dipersetujui Pakatan Rakyat.
Jika PAS mempunyai kepimpinan dan jentera yang kuat, insya-Allah, kepercayaan dan keyakinan rakyat akan datang. Rakyat sekarang ini memang berhasrat untuk menukar kerajaan Umno-BN dari tampuk pemerintahan.
Kita tidak mahu rakyat mengundi kita semata-mata kerana mereka membenci Umno-BN. Tetapi kita mahu menarik seberapa banyak undi rakyat kerana kekuatan kita, kerana kekuatan kepimpinan dan kekuatan mesej yang kita bawa. Ingatlah bahawa, kita tidak mempunyai masa yang banyak, kita berhadapan dengan kedurjanaan Umno dan segala jentera kerajaan akan dikerahkan sepenuhnya menghadapi Pakatan Rakyat.
Serangan-serangan yang lebih dahsyat akan dihamburkan media talibarut Umno-BN terhadap PAS dan Pakatan Rakyat. Hanya dengan kesepaduan yang kukuh di kalangan ahli dan kepimpinan PAS, hubungan yang erat dengan parti gabungan Pakatan Rakyat, kita mampu melawan segala gelombang ini.
Kita pasti akan berjaya melawan arus Umno-BN. Ingat, satu sahaja matlamat kita, iaitu menghentikan kedurjanaan Umno-BN dengan menumbangkan mereka pada PRU ke-13 nanti.