Ikuti Blog ini

Kenapa takut sangat kepada Bersih

KUALA LUMPUR, 27 Jun: "Kalau pilihan raya bersih, tidak perlu cabar untuk kami menyertai pilihan raya tetapi soalannya sekarang adalah pilihan raya tidak bersih," kata Setiausaha Agung Parti Sosialis Rakyat Malaysia (PSM), S Aruchelvan.

Dua hari lepas beliau bersama Presiden PSM, Dr Jeyakumar Devaraj serta 30 lagi penyokong mereka ditahan polis atas tuduhan cuba menghidupkan perjuangan parti komunis yang diharamkan.

(Aru [berbaju merah] melihat surat yang dikeluarkan oleh polis kepada beliau)

"Ini taktik lama, carilah taktik baru," kata Aru mengulas alasan polis yang cuba menghidupkan sostalgia kebencian terhadap komunis.

Aru mengulas tindakan polis serta cabaran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang mencabar penganjur Bersih 2.0 agar menghadapi Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya bukannya berhimpun di Kuala Lumpur 9 Julai ini.

Bagi Aru, tindakan BN yang mengerah segala NGO dan alatnya bagi menakutkan orang ramai dari menyertai perhimpunan 9 Julai ini melambangkan satu ketakutan yang amat sangat.

Hari ini, akhbar Umno, Utusan Malaysia menyiarkan kenyataan provokasi Mahaguru Seni Silat Lincah Malaysia, Tan Sri Omar Din Mauju yang berkata, beliau sendiri akan mengetuai pasukan silat lincah walaupun berkerusi roda bagi menentang apa yang Utusan sifatkan sebagai perhimpunan haram Bersih.

"Semua ini hanya lambang ketakutan kerana Najib tau semua kenyataannya sebelum ini bahawa pembangkang sudah hilang sokongan dan sebagainya akan terbukti salah apabila ramai orang berhimpun 9 Julai ini," kata Aruchelvan yang sentiasa menjadi penggerak utama mana-mana perhimpunan aman menuntut kebaikan untuk negara.

Menurut beliau, ekoran dari itulah bergeraknya segala kempen untuk memburuk-burukkan Bersih sekarang ini termasuklah usaha mengaitkan beliau dan PSM dengan komunis.

Sebelum beliau dan rakan-rakannya, Pengerusi Bersih 2.0 Ambiga Srevanesen juga mendapat serangan yang sama.

Akhbar Umno, Utusan menjadikan Ambiga sebagai sasaran pembunuhan karektor apabila akhbar itu melebelkan Ambiga dengan pelbagai imej buruk.

Selain memburukkan peneraju Bersih, amaran tindakan undang-undang dan ISA juga dikenakan ke atas semua pihak yang terlibat dengan perhimpunan kali ini.

Sabtu lepas, KDN telah memanggil 100 NGO yang antara lain membincangkan tentang perhimpunan Bersih. -Hrkh
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .