Ikuti Blog ini

MP Serah Dokumen Projek Hospital Shah Alam Kepada SPRM




SHAH ALAM : Sangsi dengan ketelusan pelaksanaan projek Hospital Shah Alam yang melibatkan kepentingan awam di negeri ini, ahli parlimennya, Khalid Samad tampil membuat laporan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini.

Laporan itu dibuat ekoran pelbagai dakwaan yang membelenggu projek terbabit termasuk isu pembayaran komisyen berjuta-juta ringgit oleh syarikat yang dikaitkan dengan Kementerian Kewangan.

Terdahulu, Khalid mendedahkan dokumen yang menunjukkan bekas subkontraktor projek itu, Frontier Structure menawarkan komisyen RM30 juta kepada bekas kontraktor utama Sunshine Fleet Sdn Bhd.

Manakala sepucuk surat lagi menunjukkan Kementerian Kewangan mengarahkan Jabatan Kerja Raya (JKR) memasukkan Frontier sebagai syarikat yang membida projek berkenaan walaupun tidak berkelayakan dan tidak berhasrat berbuat demikian.

Beliau yang ditemui pemberita selepas membuat laporan itu menegaskan, beliau mahu SPRM menjalankan siasatan rapi bagaimana situasi seperti ini boleh berlaku.

"Kita mengharapkan pihak SPRM akan siasat dan selidik kenapa perkara seperti ini boleh berlaku?,"soalnya.

Adalah menyedihkan katanya, projek Hospital Shah Alam yang sepatutnya siap akhir bulan ini masih terbengkalai.

Untuk rekod, projek bernilai RM482.6 juta itu dimulakan sejak November 2007 dan bekas kontraktor utama, Sunshine Fleet hanya menyiapkan tidak sampai 30 peratus dari keseluruhan projek.

Khalid juga turut meminta SPRM menyiasat berhubung penundaan tender disebabkan mahu Frontier memperolehi pendaftaran sebagai kontraktor Kelas A terlebih dahulu.
"Ini menjadi tanda tanya bagaimana perkara seperti ini boleh berlaku dan sekarang ini pun projek ini masih tak berjalan, kenapa ia tak berjalan? Saya rasa mereka nak beri masa untuk Frontier mendapatkan pendaftaran mereka,"tambahnya lagi.

Khalid membuat laporan dan menyerahkan dokumen bukti kepada Pengarah SPRM Selangor, Datuk Jaafar Mahad.

Malah beliau turut melahirkan kekecewaannya terhadap sikap sambil lewa kerajaan pusat di atas kelewatan menyediakan perkhidmatan kesihatan kepada warga Shah Alam hanya kerana lebih mengutamakan pemberian tender kepada kroni daripada kebajikan rakyat.

"Bagi warga Shah Alam ada kesannya, apabila kroni-kroni Umno bertelagah berebut projek, warga Shah Alam menjadi mangsa,"ujarnya.
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .