SHAH ALAM – Hasrat Pas ingin menjadikan negara ini sebagai negara berkebajikan hanyalah sebagai dasar parti, kata Pesuruhjaya Pas Pahang, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.
Menurutnya, kenyataan yang dikeluarkan Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu adalah bertujuan membawa perubahan kepada sebuah negara dengan inti pati Islam (keadilan, keselamatan, kesejahteraan dan kemakmuran).
Malah, agenda itu katanya mendapat respons yang baik daripada PKR dan DAP.
“Tidak dinafikan UMNO dan BN gusar dengan hasrat Pakatan Rakyat mahu wujudkan negara berkebajikan, malah mereka seolah-olah tercabar dengan agenda terkini Pas apabila bertubi-tubi lemparkan tohmahan kosong.
“UMNO turut cuba menyembunyikan kegelisahan mereka itu dengan mengkritik Pas sudah ubah dasar perjuangan Islam demi hasrat Pas. Malah Pas dituduh meniru beberapa perkara yang telah dilaksanakan UMNO,” katanya kepada Sinar Harian.
Beliau berkata, parti kerajaan itu juga semakin sukar mendapat kepercayaan rakyat apabila mereka berhadapan dengan bebanan kewangan saban hari.
Menurutnya, kegusaran itu dipercayai timbul apabila Pas menawarkan sebuah negara berkebajikan di sebalik kegagalan UMNO menjaga kebajikan rakyat marhaen demi menjaga hati kroni yang semakin angkuh, sombong dan tamak.
“Istilah ‘negara kebajikan’ yang dilaungkan Pas berjaya membongkar permainan sebenar UMNO terhadap rakyat sebagai mangsa dalam banyak kepentingan seperti program pengurangan subsidi berbanding kroni-kroni UMNO atau BN seperti penjana tenaga bebas (IPP).
“Terserahlah kepada mereka (UMNO, BN) sama ada mahu menerima agenda Pas ini atau tidak, kami tetap berusaha melaksanakannya,” katanya.
Apabila ditanya mengenai adakah parti itu akan bersatu dengan UMNO, Tuan Ibrahim menafikannya dengan menyatakan rakyat semakin tidak bersetuju dengan cara UMNO dan mahukan bentuk politik baru.
Beliau sementara itu berhasrat untuk memastikan dana negara (pendidikan, sara hidup dan pendapatan) disalurkan dengan cara yang betul agar taraf hidup rakyat ditingkatkan sekiranya negara berkebajikan dapat dilaksana.
sinarharian