Ikuti Blog ini

Zaid Fitnah Pemimpin PR


SHAH ALAM 17 JUN : Presiden Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA) Datuk Zaid Ibrahim membuat kenyataan fitnah apabila menuduh parti komponen Pakatan Rakyat tidak mempunyai kesungguhan untuk mendaftar sebagai sebuah pertubuhan politik, kata Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat Saifuddin Nasution.

Saifuddin berkata hujah Zaid kononnya, Ketua Umum PKR dan Penasihat DAP Lim Kit Siang tidak mahu menyertai jawatakuasa pro-tem Pakatan Rakyat tidak masuk akal sama sekali dan menyimpang daripada amalan-amalan standard berhubung pendaftaran sesebuah parti.

“ Pada waktu pendaftaran Pakatan Rakyat, ketiga-tiga parti bersetuju untuk melantik Zaid Ibrahim mewakili Pakatan. Mewakili Pakatan maksudnya memasukkan nama dia. Dan seterusnya perkara itu terletak di bawah bidang kuasa Pendaftar Pertubuhan (ROS) sama ada untuk meluluskan atau menolak,” kata Saifuddin.

" Hakikatnya adalah, Datuk Seri Anwar, Lim Kit Siang dan Hadi memberikan mandat kepada Datuk Zaid pada waktu itu. Datuk Zaid adalah nama besar. Beliau adalah bekas menteri undang-undang. Pada pertimbangan kita pada waktu itu, beliau adalah pilihan yang terbaik,” tambah beliau.

“ Apabila ROS meluluskan, maka kita boleh gantikan nama-nama itu. Ia perkara biasa dalam mana-mana urusan pendaftaran,” tegas Ahli Parlimen Machang itu.

Dalam wawancara dengan akhbar New Straits Times hari ini, Zaid hari ini mendakwa beliau terkejut kerana Anwar dan Kit Siang tidak mahu menganggotai jawatankuasa pro-tem Pakatan Rakyat yang mengemukakan permohonan kepada ROS tahun 2009 untuk menjadi sebuah parti politik seperti Barisan Nasional.

Sehingga sekarang, ROS tidak memberi keputusan bersabit permohonan itu. Zaid meninggalkan Parti Keadilan Rakyat selepas menyerang kepimpinan parti itu bersabit proses pemilihan PKR pada tahun lalu.

Beliau kemudian menubuhkan KITA dan pendaftaran parti itu diluluskan oleh ROS dalam kurang tiga bulan.

Saifuddin berkata dakwaan Zaid bahawa jawatankuasa pro-tem Pakatan Rakyat hanya dianggotai pemimpin “junior” atau rendahan tidak dapat diterima.

" Soal nama itu terdiri daripada pimpinan junior tidak timbul kerana Zaid adalah pemimpin yang cukup hebat,” kata beliau.

Saifuddin melahirkan rasa kesal dengan tindakan Zaid cuba menyalahkan kepimpinan PR atas keengganan ROS mendaftar Pakatan Rakyat.

" Kalau sekiranya sehingga sekarang, ROS tidak memberikan sebarang jawapan terhadap pendaftaran, Pakatan Rakyat tidak harus dipersalahkan, apa lagi oleh Datuk Zaid Ibrahim sendiri. Dia pun tahu urusan Pakatan ialah mengemukakan permohonan,” tambah Saifuddin .

" Tidak syak lagi Datuk Zaid berniat jahat apabila beliau mengeluarkan kenyataan sebegitu apabila beliau sendiri mengetahui kedudukan sebenar berhubung pendaftaran Pakatan yang sepenuhnya terletak pada bidang kuasa ROS. Hal itu tidak sepatutnya dipolitikkan oleh Datuk Zaid kerana beliau telah diberikan amanah pada waktu itu menguruskan pendaftaran,” tegas Saifuddin. - TVS
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .