Jawatankuasa pemandu BERSIH 2.0 dijadual akan mengadap Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin ini di Istana Negara.
Peremuan itu dipercayai bagi membincangkan mengenai perhimpunan BERSIH yang dijadualkan pada 9 Julai ini.
Menurut sumber yang rapat dengan pihak penganjur, tidak ada ahli politik yang akan menyertai pertemuan berkenaan.
Menurut wartawan Malaysiakini yang menunggu di perkarangan Istana Negara, pengerusi BERSIH Datuk S Ambiga, Sasterawan Negara Datuk A Samad Said dan presiden Jamaah Islah Malaysia (JIM) Zaid Kamaruddin adalah antara yang kelihatan menunggu di pondok pengawal menanti untuk masuk sejak jam 1.30 petang tadi.
Mereka tidak mengeluarkan sebarang kenyataan dan dilaporkan masuk pada jam 1.55 petang tadi.
Kira-kira 15 anggota polis bertugas mengawal keselamatan di pintu masuk Istana negara.
Ahad lalu, Seri Paduka bertitah dalam keghairahan sebahagian rakyat berpolitik bagi menyuburkan demokrasi dalam negara, mereka diminta supaya tidak menjadikan tuntutan demokrasi itu membawa kemusnahan kepada negara.
Tuanku Mizan juga menyeru pihak kerajaan agar melaksanakan segala amanah yang diberikan kepada rakyat secara adil dan bijaksana.
Titah Seri Paduka, baginda selaku Yang di-Pertuan Agong tidak mahu melihat negara bermasyarakat majmuk ini berada di dalam keadaan bermusuhan sesama sendiri ataupun sebahagian rakyatnya bermusuh dengan kerajaan atas apa jua alasan pun.
Sehubungan dengan titah itu, Ambiga berkata gabungan BERSIH 2.0 yang terdiri daripada lebih 60 NGO, akan menghantar permohonan untuk mengadap Seri Paduka. -M'kini