Ikuti Blog ini

Umno-BN Jangan Selindung Di Sebalik Agong

Titah Yang Di Pertuan Agong mendesak agar perhimpunan aman Bersih pada 9 Julai ini dibatalkan tidak mengubah pendirian NGO dan Pakatan Rakyat untuk meneruskannya. Sebaliknya, tekanan berterusan kerajaan adalah kemenangan besar kepada mereka yang akan menganjurkan perhimpunan pada Sabtu nanti.

Kerajaan takutkan baju Bersih


Sangat jelas kelihatan kebangkitan luar biasa rakyat tidak mampu ditumpaskan pemerintah. Rakyat tidak gentar dengan penahanan polis ke atas pemimpin PR serta sesiapa yang berbaju kuning.

Titah DiRaja nampaknya akan digunakan oleh kerajaan BN sebagai jalan terakhir menumpaskan gerakan aman Bersih menjelang 9 Julai. Pemerhati politik menjangkakan BN akan menggunakan hujah perhimpunan Bersih adalah melawan Yang Dipertuan Agong . Sehari sebelum perhimpunan tangkapan besar-besaran boleh dilakukan di bawah Ordinan Darurat di atas dakwaan para penunjuk perasaan ingin memerangi Yang Dipertuan Agong.

Tangkapan tidak memerlukan akta ISA apabila ia dibuat atas tuduhan memerangi Yang Dipertuan Agong. Tangkapan juga boleh dilakukan ke atas sebahagian besar ahli politik PR. Juga tidak ditolak kemungkinan kerajaan akan mengisytiharkan pilihanraya umum pada tarikh sebelum bulan Ramadan. Dengan banyaknya tokoh pembangkang ditahan pastinya BN akan menang besar seperti mana pada pilihan raya 2004.

Perlawanan langsung

Namun BN harus ingat sebarang percubaan untuk memperdaya rakyat secara keterlaluan adalah perlawanan langsung dengan akal budi rakyat. Selama ini terlalu banyak fitnah dan penganiayaan yang dibuat BN ke atas PR serta para penyokongnya. Tetapi rakyat kekal mengharapkan pilihanraya ke -13 mereka akan mengajar BN di peti undi. Sebaliknya, jika BN telah melakukan sesuatu yang terlalu kotor untuk memenangi pilihanraya itu tanpa pesaing maka harapan tidak lagi wujud.

Harapan yang tidak wujud biasanya menghasilkan gelora yang tidak dapat dibendung. Itulah yang berlaku di negara-negara Arab. Apabila rakyat tidak lagi mempercayai mereka akan diberi keadilan maka mereka akan menuntutnya secara kasar. Dalam hal ini cukuplah BN menekan rakyat. Cubalah memberi peluang kepada mereka membuat pilihan secara matang.

Cara yang paling baik adalah berunding dengan PR. Jika PR mahu berdebat tentang dasar negara, laksanakanlah. Jika PR mahu membersihkan nama Anwar Ibrahim lakukan sepertimana Pak Lah melakukannya dahulu. Tidak ada gunanya regim Najib meneruskan dendam mentornya Dr Mahathir memenjarakan Anwar bersama 80 ahli parlimen PR tetapi kemudian rakyat bangkit mencetuskan huru-hara untuk membebaskan pemimpin mereka.

Titah Yang Dipertuan Agong sama sekali tidak boleh digunakan untuk memperdaya rakyat. Kedudukan Pelembagaan Persekutuan lebih tinggi daripada Yang Dipertuan Agong. Itu maknanya raja berperlembagaan. Oleh itu Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan yang membenarkan perhimpunan aman sama sekali tidak boleh dikesampingkan melalui apa jua cara. Raja berpelembagaan mengambil kedudukan simbol penyatuan negara, bukan pentadbir kecuali di dalam keadaan kecemasan.

Iaitu darurat diisytiharkan dan Parlimen digantung. Ketika itu perlembagaan juga turut digantung. Sebuah majlis pentadbir lantikan Agong akan mentadbir negara. Namun untuk melaksanakan darurat juga harus dalam keadaan yang benar-benar cemas, bukan dalam keadaan berlakunya tunjuk perasaan aman . Sebarang perisytiharan pada waktu aman tidak akan diterima rakyat, malah akan berbalik menjadi kekacauan.

Najib dan bayang-bayang

BN telah tiba ke penghujung jalan. Strategi mereka silap sejak awal lagi apabila memperbesar-besarkan tunjuk perasaan Bersih. Jika dibiarkan tunjuk perasaan itu, ia tidak akan lebih seperti tunjuk perasaan mansuhkan ISA pada 2009 lalu yang mengumpul 15,000 peserta. Atau tunjuk perasaan isu air pada Disember tahun lalu yang mengumpul 5,000 peserta sahaja.

Demo anti ISA


Momentum demo PR dan NGO semakin menurun jika diambil kiraan tahun demi tahun. Tidak ada tanda-tanda yang jelas rakyat semakin berminat untuk berhimpun. Sebahagiannya telah letih dengan perhimpunan. Namun tidak tahu penasihat bodoh mana yang memberitahu Najib bahawa perhimpunan Bersih kali ini akan menumbangkan kuasanya melalui pameran kekuatan rakyat seperti 2007, yang mana telah menumbangkan Pak Lah.

Najib akhirnya takut dengan bayang-bayang sendiri dan terpaksa menerima idea gila ala Dr Mahathir, iaitu menyerang musuh yang lemah dengan senjata paling besar. Penangkapan seluruh negara tidak lain adalah pameran kekuatan Najib. Tanpa beliau sedar pameran keangkuhan itu menyebabkan dirinya tidak popular dan dicap sama kejam dengan regim Dr Mahathir yang menyebabkan kebangkitan arus Reformasi sedekad lalu.

Kepada Najib, masih ada 3 hari sebelum demo Bersih berlaku. Tidak salah berunding dan benarkan berdemo di negeri-negeri PR misalnya, demo pada skala kecil dan memorandum diserah oleh beberapa pemimpin ke Istana Negara. Itu tindakan yang bertamadun dan kedua-dua pihak akan berpuas hati. PR dapat berdemo dan BN tidak dilihat zalim.
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .