11 lelaki dan tiga wanita, termasuk timbalan ketua pemuda PKR Kedah Gooi Hsiao Leung ditangkap kira-kira jam 9.20 pagi ini.
Mereka juga didakwa cuba menjual kemeja T kuning dengan logo BERSIH.
Sebelum sidang media mereka yang dijadualkan di Pekan Cowboy, Alor Setar sempat bermula , polis terus menyerbu dan mengheret beberapa pemimpin PKR itu yang dijadual berucap ke tepi sehingga mencetuskan kekecohan.
Gooi menjerit: “Beritahu kami apa dakwaannya sebelum tangkap kami.
"Ini tidak demokratik,” katanya.
Namun, rayuannya tidak dihiraukan oleh pasukan polis yang diketuai oleh OCPD Adzman yang terus mengheretnya tanpa memberitahu apa dakwaanya.
Hampir 100 anggota polis berkawal di tempat aktivis berkenaan dijadual berucap.
Amaran polisKetika dihubungi Gooi berkata mereka kini ditahan Pusat Latihan Mentalon, Anak Bukit tetapi belum dimaklumkan mengenai dakwaan yang bakal dikenakan itu.
Katanya, ahli PKR lain yang ditangkap termasuk Fazil Shari, K Naidu, Suraya Hashim, Asmalela Mohd Ghazali, Lee Kim Hock dan ahli majlis Leslie Daniel.
"Kami baru hendak mula sidang akhbar tetapi polis terus serbu. Ini amat memeranjatkan dan mengarut,” katanya.
Sementara itu ketua polis Kedah Datuk Ahmad Ibrahim berkata semua tahanan akan disiasat mengikut Seksyen 108 Kanun Keseksaan kerana didakwa membantu menyemarakkan kempen BERSIH.
Beliau juga mengingatkan orang ramai supaya tidak menyertai perhimpunan itu atau mana-mana majlis yang berkaitan BERSIH.
"Kita juga sedang memanatu semua ceramah di negeri ini. Kita memang bersiap sedia,” katanya kepada wartawan.
"Kita tidak akan bertolak ansur dan tidak teragak-agak untuk menangkap sesiapa yang berani melanggar undang-undang.
“Jika ada yang degil dan berkeras mahu menyertai majlis-majlis ini, berfikirlah dua kali dahulu,” tegasnya lagi. -M'kini