Bukan cara BN
SIPITANG (Sabah) - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, jika mahu, UMNO boleh mengerahkan tiga juta ahlinya untuk menentang habis-habisan hasrat golongan yang mahu mewujudkan kekacauan melalui demonstrasi jalanan.
“Kita ada tiga juta ahli yang tunggu isyarat, tidak termasuk parti komponen BN... Kalau semboyan dibunyikan, mereka akan berjuang habis-habisan... tetapi apakah itu cara yang bertanggungjawab?” katanya ketika berucap kepada kira-kira 15,000 hadirin yang menyambut kunjungan beliau di pekan pesisir pantai ini, kira-kira 150 kilometer ke selatan Kota Kinabalu, semalam.
Menurutnya, BN adalah kerajaan yang bertanggungjawab dan tidak mahukan kekerasan.
“Itu bukan cara kita selesaikan masalah di bumi Malaysia ini. Kita ada pilihan raya... nak kempen, kempen lah, nak berucap sampai tak larat, buatlah, nak bertempek pun, tempeklah.
“Mereka kata bersih... belum tahu dia bersih. Dia (pembangkang) pun ada banyak masalah,” katanya.
Menurutnya, pilihan raya sentiasa diadakan di Malaysia apabila tiba waktunya dan semua pihak boleh ambil bahagian semasa kempen.
Katanya, saya tak rela jadi Perdana Menteri (PM) atas penipuan. Saya nak jadi PM kerana rakyat sukakan, percaya dan senang dengan BN.
“Tetapi apakah ini harus dikorbankan semata-mata kerana hawa nafsu sesetengah pihak yang nak kejar jawatan PM, hendak menguasai Putrajaya?” katanya.
Beliau berkata, jika ada pihak yang menjadi “tukang kipas, tukang bakar” emosi semasa perhimpunan haram itu, golongan yang bakal menjadi mangsa adalah juga ‘rakan kita, keluarga kita.’
Katanya, kerajaan akan bekerja keras perjuangkan nasib rakyat dan menjadikan keharmonian di Sabah contoh terbaik konsep 1Malaysia. -Bernama