Ikuti Blog ini

Keluarga Shahrizat beli kondo mewah RM9.8 juta?

KUALA LUMPUR, 10 Nov: PKR hari ini mendakwa National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFC) milik keluarga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Shahrizat Jalil membeli sebuah kondominium mewah di One Menerung, Bangsar bernilai hampir RM9.8 juta.

Selepas beberapa hari membuat pendedahan mengenai penyelewengan dana rakyat di NFC, PKR hari ini terus tampil dengan bukti 4 pindahan wang yang dibuat NFC dari akaun semasanya di Bank CIMB cawangan Taman TUn Dr Ismail kepada Bandar Raya Developments Berhad pada 2 Disember 2009.

Pindahan wang itu sebagai bayaran penuh pembelian kondominium tersebut.

Pindahan wang yang pertama berjumlah RM699,870, keli kedua berjumlah RM694,150, seterusnya RM4, 199,220 dan yang terakhir berjumlah RM4,164,900 menjadikan jumlah keseluruhan pindahan sebanyak RM9,758,140.

Setiausaha PKR, Saifuddin Nasution Ismail berkata, pendedahan ini sekaligus membuktikan kenyataan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Noh Omar dan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin bahawa wang yang disalurkan oleh kerajaan kepada NFC diletakkan dalam akaun amanah khas adalah tidak benar.

"Dakwaan menteri dan Ketua Pemuda Umno bahawa setiap transaksi memerlukan kelulusan kerajaan dan dipantau ketat juga tidak benar.

"Kalau betul pantauan ketat ini berjalan, sudah tentu wang sejumlah RM9.8 juta tidak boleh dipindahkan begitu sahaja untuk membeli kondominium mewah yang tiada kena mengena dengan industri penternakan dan penyembelihan lembu.

"Siapa yang nak duduk, takkanlah lembu nak duduk di kondo?" kata beliau pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Ahli Parlimen Machang itu juga memberitahu, RM9.8 juta itu direkodkan sebagai hutang National Meat and Livestocks Corporation Sdn Bhd (NMLC) kepada NFC.
Jumlah ini adalah sebahagian daripada RM83 juta yang dihutangi NMLC kepada NFC pada 31 Disember 2009.

"Ini jelas satu bentuk pecah amanah dan penyelewengan wang rakyat RM250 juta yang diberikan sebagai pinjaman kepada NFC," katanya.

Lapor SPRM

Sehubungan itu, PKR pagi tadi membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menggesa siasatan segera dibuat terhadap dakwaan itu.

Selain Sharizat, Noh Omar dan Khairy, mereka mahu Perdana Mneteri, Datuk Seri Najib Razak, Timbalan Perdana Menteri yang juga bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Tan Sri Muhyiddin Yassin disiasat kerana didakwa terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam isu ini.

Selain itu, PKR turut menyeru Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC) bersidang segera untuk menyiasat perkara ini. -Hrkh
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .