Bercakap di lobi Parlimen hari ini, Nurul Izzah berkata bilangan pengundi pos naik 1,363 peratus, dalam tempoh dua bulan. Jumlah itu hanya 149 orang pada 26 September tahun ini tetapi naik kepada 2,180 pada 2 November.
Lebih buruk lagi, kata Nurul Izzah, semakan dengan Suruhanjaya Pilihan Raya mendedahkan bahawa 457 pengundi pos ini adalah dari Kampung Bohol di Bukit Jalil yang berada di luar kawasan Lembah Pantai.
"Terdapat 2,180 anggota polis yang merupakan pengundi pos, dan ini tidak termasuk isteri-isteri mereka. Majoriti kemenangan PKR di Lembah Pantai pada pilihan raya umum yang lalu adalah 2,895 undi."
Nurul Izzah berkata bahawa perkara itu diadukan kepada SPR dengan satu salinan dikemukakan kepada Jawatankuasa Terpilih Khas Parlimen (PSC). -M'kini
Daftar pemilih Lembah Pantai pincang
KUALA LUMPUR, 10 Nov: "Pameran awam daftar pemilih yang dilakukan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) di kawasan Parlimen seluruh Malaysia bagi sesi 2011/2012 menimbulkan banyak keraguan," kata Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar.
Tambah Nurul Izzah lagi pameran daftar tersebut dilakukan bagi mendapatkan maklum balas dan juga bantahan orang ramai dan juga setiap parti yang akan bertanding pilihan raya akan datang.
Namum jelasnya tindakan SPR ini bagaimana pun dilihat penuh kemusykilan apabila pemberitahuan tentang pameran tidak dibuat kepada Ahli Parlimen termasuk tempoh pameran dan maklumbalas yang begitu suntuk.
"Saya melihat selain tidak dimaklumkan tentang tempoh pameran tersebut, prosedur yang menyulitkan ini mengambil masa seperti mana yang diketahui setiap individu hanya boleh membantah secara maksima sepuluh nama dengan yuran sepuluh ringgit untuk setiap nama yang dicurigai.
"Walaupun terpaksa berkejar menyiapkan bantahan, saya ingin menyatakan tentang wujudnya kepincangan dalam daftar pemilih SPR bagi kawasan Parlimen Lembah Pantai.
"Melalui pemeriksaan yang dilakukan, saya dapati seramai 457 nama pemilih yang bukan sahaja tidak bermastautin di Lembah Pantai tetapi merupakan kakitangan di Pusat Tahanan Polis Bukit Jalil yang malangnya mereka telah disenaraikan di dalam daftar pemilih Parlimen Lembah Pantai bagi suku ketiga sesi 2011/2012," jelasnya yang juga Naib Presiden PKR.
Nurul Izzah memberitahu senarai nama yang meragukan itu melibatkan empat pusat pengundian polis iaitu Balai Polis Pantai dengan 469 nama pemilih dengan penambahan sebanyak 75 nama pemilih.
Manakala Balai Polis Petaling dengan 497 nama penambahan sebanyak 63 nama pemilih, Balai Polis Bangsar/Travers penambahan sebanyak 121 nama dengan daftar pemilih seramai 478 orang, Balai Polis Kerinci pula seramai 41 nama pemilih dengan penambahan sebanyak 25 nama pemilih.
Dalam pada itu terdapat dua pusat pengundian baru polis yang dibuat di Parlimen Lembah Pantai iaitu Ibu Pejabat Polis dan Polis Pantai Dalam yang membabitkan tiga nama pemilih baru.
"Selain itu juga kita menemui senarai pengundi di lokaliti kosong iaitu pendaftaran nama pemilih di Kampung Haji Abdullah Hukum di mana kampung tersebut tidak lagi wujud setelah penduduk asal dipindahkan atau diusir dengan pembayaran pampasan di bawah projek KL ECO CITY usahasama SP SETIA-DBKL.
"Bagaimana mungkin wujud pengundi di kampung yang sudah lagi tidak wujud. Apa yang lebih mengejutkan ialah pada masa yang sama berlakunya penambahan nama pemilih daripada 3,204 nama pemilih kepada 3,300 pemilih, penambahan sebanyak 96 nama pemilih walaupun Kampung Haji Abdullah Hukum tidak lagi wujud di dalam peta Lembah Pantai," sambung Nurul Izzah lagi.
Pada masa yang sama Nurul Izzah juga memberitahu penemuan-penemuan itu membuktikan wujudnya kecacatan di dalam senarai pemilih yang dipamerkan oleh SPR.
"Pihak berkuasa perlu mengambil tindakan segera atas penyelewengan yang wujud dalam daftar pemilih tersebut.
"Sebaliknya sistem sedia ada dan keengganan SPR bersikap dengan lebih terbuka membantutkan sebarang usaha untuk membersihkan daftar pemilih yang akan digunapakai di dalam pilihanraya umum yang akan datang.
"Ini bukti jelas bahawa daftar pemilih belum bersih sepenuhnya dan saya berharap pihak berkuasa bertindak dan bukan bersekongkol dengan SPR," jelasnya lagi pada sidang media di lobi Parlimen. -Hrkh
Sekadar menjengah rekod dahulu: -GB