KUALA LUMPUR, 17 Nov: Mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) semalam sekali lagi mengadakan piket aman menuntut isu 'posting' diselesai segera oleh pihak pentadbiran universiti tersebut.
Piket yang dinamakan 'Posting 2.0' merupakan rentetan daripada isu penempatan graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan keluaran universiti awam yang melanda mahasiswa.
Bercakap kepada Harakahdaily, Setiausaha Legasi Mahasiswa Progresif (LMP), Siti Nurul Piteriah Ab Halim menjelaskan, sehingga hari ini belum ada kenyataan konkrit dari pihak bertanggungjawab bagi menyelesaikan permasalahan mahasiswa pendidikan tersebut.
"Wakil mahasiswa telah mengadakan pertemuan dengan Timbalan Menteri Pelajaran (Datuk Dr Wee Ka Siong) bagi mengetahui kedudukan sebenar serta maklum balas dari pihak kementerian namun sehingga kini kita tidak tahu kedudukan sebenar mahasiswa selepas mereka tamat pengajian di sini," jelasnya sambil menambah pertemuan tersebut dibuat pada 19 November lalu di parlimen.
Tambah Nurul Piteriah lagi Piket Posting 2.0 itu bermula pada jam 1.00 petang, di mana sekumpulan mahasiswa seramai 70 orang telah berarak dari Sudut Pidato ke bangunan Canselori untuk bertemu dengan pengurusan tertinggi univesiti.
"Mereka akhirnya disambut oleh Naib Canselor UPSI, Professor Zakaria Kasa di pejabat beliaunya. Pertemuan antara perwakilan Pro-Mahasiswa UPSI (Legasi Mahasiswa Progresif dan Mahasiswa Pendidik) dilaporkan berlangsung secara sihat dengan pihak universiti yang akhirnya akur dengan tuntutan mahasiswa dan berjanji akan menyelesaikan kemelut ini.
"Pihak universiti juga dikatakan telah menghantar nama-nama graduan yang belum mendapat penempatan untuk diuruskan oleh pihak berwajib," sambungnya.
Beliau memberitahu sebelum ini, mahasiswa tidak berpuas hati dengan sikap universiti yang tidak memberi sebarang maklum balas terhadap tujuh tuntutan yang diserahkan kepada pihak pentadbir universiti sebelum ini.
Tambahnya, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan & Inovasi (TNCP&I), Dr. Noraini yang menerima tuntutan tersebut sebelum ini telah berjanji akan menyelesaikan isu tersebut tetapi tiada penyelesaian sehinggalah pertemuan pada hari ini.
Sementara itu Koordinator Mahasiswa Pendidik, Mohd Zahar bin Mat Noor memberitahu piket ini bukan mahu buat kacau tetapi cuma mahu penjelasan dari Menteri supaya keresahan dan kepincangan dalam kalangan Graduan ISMP dapat diredakan dan pelajar-pelajar lain dapat meneruskan pelajaran dengan tenang.
Piket tersebut menyaksikan Bangunan Bitarasiswa sekali lagi menjadi medan bagi mahasiswa berhimpun.
Pada 2 November lalu, seramai 5,000 mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Pendidikan universiti itu telah berhimpun menuntut Kementerian Pelajaran memberi jaminan penempatan sekolah kepada mereka sama seperti Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT). -Hrkh