Kaherah: Ikhwanul Muslimin yang meraih undi terbanyak dalam pusingan pertama pilihan raya Mesir, mengancam mengadakan tunjuk perasaan sekiranya terdapat sebarang cubaan memanipulasi keputusan.
Pergerakan Islam yang berfahaman sederhana itu yang diharamkan selama puluhan tahun sepanjang pemerintahan kuku besi Hosni Mubarak, memperoleh 36.6 peratus undi pada pilihan raya 28 dan 29 November lalu untuk parti bagi Dewan Rakyat.
“Kami akan mengadakan tunjuk perasaan di jalan raya jika berlaku penipuan dalam pilihan raya atau tindakan memanipulasi perlembagaan,” kata pemimpinnya, Mohammed Badei kepada televisyen Mesir ketika mengulas mengenai keputusan itu.
Satu perlembagaan baru akan dirangka tahun depan sebaik saja Dewan Rakyat dan Dewan Negara dibentuk menjelang Mac.
Kerajaan awam baru dijangka berdepan dengan perebutan sengit dengan tentera yang sudahpun membayangkan keinginan untuk mengekalkan beberapa keistimewaan seperti yang mereka nikmati ketika era pemerintahan Hosni.
Ia termasuk hak menyemak undang-undang yang ada kaitan dengan tentera.
Mohammed menegaskan, Ikhwan tidak inginkan kuasa monopoli, mengulangi kenyataan bahawa pergerakan itu mahukan penyertaan parti lain dalam kerajaan yang akan dibentuknya.
Pengundian pusingan pertama dalam pilihan raya pelbagai peringkat berakhir Selasa lalu dengan parti berhaluan Islam, termasuk Ikhwan dan Al-Nur yang berpendirian ekstrim memenangi dua pertiga undi.
Pilihan raya itu, yang pertama sejak penggulingan Hosni pada Februari lalu, berdepan dengan beberapa masalah.
Isnin lalu, suruhanjaya pilihan raya menurunkan peratusan jumlah pengundi daripada 62 kepada 52 peratus dan berkata keputusan daripada beberapa pusat mengundi akan ditahan kerana berlaku pelanggaran syarat. - AFP