Ikuti Blog ini

Tentera Iran tembak jatuh pesawat risik Amerika


TEHERAN - Tentera Iran menembak jatuh sebuah pesawat risik tidak dipandu manusia milik Amerika Syarikat yang menceroboh ke ruang udara sebelah sempadan timur negara Teluk itu, kata laporan agensi berita rasmi Irna, lewat kelmarin.

Seorang pegawai tentera yang tidak mahu namanya didedahkan telah dipetik dalam laporan itu sebagai memberi amaran mengenai tindak balas yang keras dan memusnahkan berikutan pelanggaran ruang udara negara tersebut oleh pesawat dron Amerika itu.

'Sebuah pesawat risik RQ170 (gambar) Amerika tidak dipandu manusia telah ditembak jatuh oleh tentera Iran.

'Ia mengalami kerosakan kecil dan kini dimiliki tentera Iran,' kata laporan Irna itu sambil memetik pegawai berkenaan.
Tidak ada butir lanjut yang didedahkan.

Tentera bersekutu yang dipimpin Amerika di Afghanistan dalam satu kenyataannya berkata bahawa pesawat itu mungkin sebuah pesawat dron Amerika yang gagal menjalin hubungan dengan pengendalinya minggu lalu sedang ia menjalankan misi penerbangannya di barat Afghanistan.

Seorang pegawai Amerika yang bercakap dengan syarat tidak didedahkan namanya kerana insiden itu dianggap rahasia, berkata bahawa Amerika 'tidak mempunyai apa-apa tanda' dron itu ditembak jatuh.
Iran sedang bertikai dengan Amerika dan sekutu-sekutunya berhubung program nuklear Teheran, yang dipercayai pihak Barat bertujuan membangunkan senjata nuklear.

Iran menafikan dakwaan itu sambil berkata bahawa program nuklearnya adalah bagi tujuan kedamaian dan ia sedang mencari jalan menjana kuasa elektrik dan menghasilkan isotop bagi tujuan perubatan.
Jenis pesawat yang didakwa Iran ditembak jatuh ialah pesawat RQ-170 Sentinel.

Pesawat berkenaan dihasilkan oleh Lockheed Martin dan dilaporkan pernah digunakan untuk mengawasi pekarangan kediaman Osama bin Laden di Pakistan sedang serbuan ke atasnya dijalankan pada awal tahun ini.

Dalam satu perkembangan lain di Berlin, Menteri Luar Iran, Encik Ali Akbar Salehi, kelmarin menyuarakan rasa kesalnya berhubung serangan ke atas kedutaan Britain di Teheran.

Beliau berikrar akan mencegah serangan sedemikian pada masa depan, kata kementerian luar Jerman.
'Mengenai isu serangan ke atas kedutaan di Teheran, menteri luar Iran menyuarakan bahawa beliau amat mengesali atas apa yang berlaku,' kata satu kenyataan kementerian itu sambil mengimbas semula mesyuarat antara Encik Salehi dengan rakan sejawatannya, Encik Guido Westerwelle.

'Beliau memberi jaminan akan berbuat apa sahaja bagi mencegah insiden itu daripada berlaku,' kata kementerian itu dalam kenyataan yang dikeluarkan dalam bahasa Inggeris.

Encik Salehi menghadiri satu sidang antarabangsa utama bagi masa depan Afghanistan di Bonn, Jerman.
Di Bonn, Iran berkata ia akan menentang kehadiran tentera asing di Afghanistan selepas 2014, kata Encik Salehi, semalam, sambil menyatakan pengerahan itu tidak akan membantu kestabilan Afghanistan. AP, AFP, Reuters.
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .