Ikuti Blog ini
Nana teruja dijemput buat persembahan di Kelantan ,Selasa, Januari 24, 2012 at 24.1.12,
KOTA BHARU, 24 Jan: Penyanyi berimej baru Siti Nordiana atau lebih dikenali dengan Nana, 28, mengakui mungkin kerana imejnya yang sudah bertudung, beliau diundang oleh kerajaan Kelantan untuk membuat persembahan di negeri itu semalam.
Artis yang terkenal lagu duetnya ‘Paling Comel’ bersama allahyarham Achik itu juga tidak menduga beliau akan dijemput menjayakan program anjuran kerajaan negeri melalui Urusetia Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesihatan.
Menurutnya, beliau memang sedar kerajaan Kelantan mempunyai dasarnya sendiri berhubung hiburan dan bukan mudah untuk membuat persembahan di negeri itu.
“Tetapi apabila saya tiba-tiba diundang, memang terkejutlah saya dan saya rasa begitu gembira dan dihargai,”ujarnya yang buat pertama kali membuat persembahan secara tertutup sepanjang kariernya sebagai seorang penyanyi.
Beliau berkata demikian kepada Harakahdaily, ketika ditemui selepas membuat persembahan Ladies Nite 2012 di Kota Bharu Trade Centre (KTC), malam tadi sempena program Kite.
Walaupun beliau belum pernah membuat persembahan tertutup khusus untuk penonton wanita sahaja, namun pengalaman manis itu membuatkan beliau mudah bergerak untuk membuat persembahan.
“Tak adalah saya nak ‘control’ sangat macam sebelum ni, sebab semuanya wanita, sound sistempun wanita, begitu juga keselamatan terdiri dari kaum wanita,”ujarnya.
Beliau juga turut teruja dengan penonton wanita Kelantan yang begitu ‘sporting’ apabila turut menyanyi bersamanya.
Sempena persembahannya, beliau mendendangkan enam buah lagu termasuk lagu hitnya ‘paling comel’.
Sehubungan itu beliau mengucapkan terima kasih pada kerajaan Kelantan kerana sudi mengundangnya dan berhasrat untuk datang lagi sekiranya diundang.
Bukan kerana trend
Menyentuh tentang penghijrahannya yang kini imej bertudung beliau berkata ianya bermula akhir Ramadan tahun lalu.
Nana bagaimanapun menolak imejnya itu ada kaitan dengan trend artis kini yang semakin ramai bertudung.
Sambungnya, apa yang berlaku kerana keinsafan diri bersesuaian dengan usia semakin hari semakin bertambah.
“Jadi saya perlu memberi contoh yang baik untuk anak tunggal saya yang kini berusia empat tahun,”ujarnya.
Nana yang mula bergiat dalam bidang nyanyian sejak tahun 1999 kini telah berjaya menghasilkan enam album, termasuk dua album duetnya. -Hrkh