Ikuti Blog ini

Pilihan raya? PAS sentiasa bersedia

Dengan pilihan raya umum ke-13 Malaysia diramalkan bakal diadakan tidak lama lagi, parti pembangkang di negara itu, termasuk Parti Islam SeMalaysia (PAS) kini giat mengukuhkan jentera masing-masing. Minggu lalu, wartawan Berita Harian, Suhana A.Samat ( suhana@sph.com.sg) telah ke Kota Bharu
untuk mewawancara Musyidul Am PAS, yang juga Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat, bagi mendapatkan pandangannya mengenai perkara itu. Apakah Kelantan akan kekal di tangan PAS? Apakah pula matlamat yang ditetapkan Pakatan Rakyat dalam pilihan raya mendatang. BH turut mencungkil personaliti ulama yang disegani ini. Ikuti laporan berikut

Datuk Nik Aziz kini gunakan Facebook untuk 'bersama' rakyat Kelantan SETIAP Jumaat, sebahagian Jalan Dato Pati di Kota Bharu, akan ditutup mulai 8.30 pagi.


Sebabnya, Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat, yang lebih mesra dipanggil Tok Guru akan mengadakan ceramah agamanya.
Memandangkan Jumaat ialah hari cuti umum di Kelantan, berduyun-duyun rakyat Kota Bharu akan 'turun padang'.

Datuk Nik Aziz, yang biasanya bersarban putih dan memakai jubah, akan menyampaikan syarahannya dalam loghat Kelantan.
Ceramah itu sudah begitu sebati dengan penduduk setempat sejak negeri itu diperintah oleh Parti Islam SeMalaysia (PAS) pada 1990.

Namun, apa yang kini ketara ialah tradisi juga boleh berubah dek perkembangan teknologi.
Jika dulu, mereka yang berada di kawasan luar bandar tidak berpeluang mendengar ceramah Datuk Nik Aziz, kini mereka boleh berbuat demikian secara langsung melalui laman Facebook Mursyidul Am PAS itu sendiri.
Melalui Facebook ini juga, para penduduk akan dimaklumkan jadual Datuk Nik Aziz serta acara yang dihadirinya.
Angin pembaharuan sudah dirasai di negeri Cik Siti Wan Kembang.

AURA TOK GURU

Kuliah Datuk Nik Aziz di 'Medan Ilmu' ini membuka jendela pengenalan bagi mereka yang ingin menjenguk kehidupan orang Kelantan.

Ia memberi sekilas gambaran mengapa Datuk Nik Aziz merupakan ikon PAS.
Berita Harian telah berpeluang mewawancara Datuk Nik Aziz minggu lalu di Pejabat Menteri Besar di Kota Bharu untuk lebih memahami mengapa beliau begitu dihormati ramai di Kelantan.
Dengan memulakan perbualan dengan Bismillah, pertuturan Datuk Nik Aziz sepanjang wawancara lembut tetapi tegas.

'Kuliah Jumaat ini sudah menjadi amalan, bekalan saya. Nabi Muhammad saw adalah orang yang menderma ilmu. Jadi, amalan yang paling baik ialah untuk menderma ilmu.

'Saya panggil ini 'kuliah senafas'. Kalau dapat beri kuliah lima atau 10 minit pun sudah cukup,' katanya.
Sebagai seorang ulama, Datuk Nik Aziz mempunyai ramai pengikut.
Tanya saja sesiapa saja di Kelantan, apa keistimewaan Datuk Nik Aziz dan ramai yang tidak akan teragak-agak memberikan pelbagai contoh.

'Rakyat Kelantan semua percaya yang Tok Guru seorang yang bebas daripada rasuah. PAS dapat bertahan di Kelantan sebab kita tidak boleh percayakan Umno,' kata seorang penduduk Kota Bharu, Haji Mat, kepada Berita Harian.

Gaya hidup Datuk Nik Aziz juga begitu sederhana.
Sejak menjadi Menteri Besar, beliau tidak menetap di kediaman rasminya di JKR 10.
Sebaliknya, beliau lebih senang tinggal di rumahnya sendiri di Kampong Pulau Melaka.
Sesiapa saja yang boleh memasuki pekarangan rumah Datuk Nik Aziz yang turut menempatkan sebuah masjid dan sebuah sekolah menengah.

Jika jadualnya mengizinkan, beliau juga akan hadir di majlis perkahwinan penduduk atau melawat jika ada kematian.
Datuk Nik Aziz sebab utama Kelantan masih berada di dalam tangan PAS.

PILIHAN RAYA UMUM (PRU) KE-13

Baru-baru ini, Datuk Nik Aziz mengesahkan beliau akan bertanding pada pilihan raya umum akan datang.
Pemimpin veteran PAS berusia 81 tahun ini mula bertanding sejak pilihan raya umum 1967.
Pada pilihan raya umum 2008, beliau mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan kawasan Chempaka mengalahkan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Dr Nik Mohd Zain Omar, dengan majoriti 4,249 undi.

Akhbar rasmi Umno, Utusan Malaysia, bagaimanapun menyifatkan kesediaan Datuk Nik Aziz terus bertanding pada pilihan raya umum ke-13 membuktikan beliau tidak memahami realiti bahawa beliau sudah uzur.

Akhbar itu mendakwa pemimpin itu masih 'ghairah untuk berkuasa' walaupun sudah memimpin Kelantan selama empat penggal atau lebih 21 tahun.
Ditanya Berita Harian mengenai tanggapan itu, Datuk Nik Aziz, berkata barang lama biasanya lebih berharga berbanding dengan yang baru.

Memberi contoh, beliau berkata:
'Mata cincin di jari pun batu. Serupa dengan batu kapur.

'Namun, batu kapur sebab ia baru, dibuat jalan raya. Batu permata sebab ia lama, ia jadi barang berharga.'
Ditanya sama ada beliau telah menetapkan tempoh untuk berundur, Datuk Nik Aziz berkata beliau:
'Saya berundur bila saya sendiri yang hendak (berundur). Kalau saya sendiri yang tidak tahan, itu boleh. Atau pun jika pimpinan PAS Kelantan sendiri minta saya undur.
'Kalau Umno suruh berundur, makin naik angin saya.'

Mengenai siapa penggantinya, Tok Guru, lebih selesa untuk berahsia.
'Tidak boleh sebut sekarang. Memang ada dalam kepala saya (siapa pengganti) tetapi tidak boleh sebut sekarang. Nanti bila saya nak mengundur, bolehlah,' katanya sambil ketawa kecil.

Dalam pilihan raya yang lalu, parti pembangkang mencatatkan kemenangan besar dengan mengekalkan kuasa di Kelantan dan merampas kuasa di Selangor, Pulau Pinang dan Kedah.
Perak pula telah kembali semula di bawah BN, selepas beberapa anggota pembangkang lompat parti.
Selain di Kelantan, Menteri Besar Kedah juga dari PAS.

Ditanya sama ada PAS sudah bersedia bertanding dalam pilihan raya umum yang dibayangkan akan diadakan tidak lama lagi, Datuk Nik Aziz berkata:
'Orang Islam, dia bersiap setiap masa. Dia banyakkan bekalan kehidupan di akhirat - baik dalam hal ibadah, ekonomi dan hal politik.

'Oleh yang demikian, orang Islam yang faham agamanya, tidak ada masalah bertanding. PAS berada di jalan yang benar iaitu untuk menyambung kerja Nabi Muhammad saw.
'Pilihan raya nak mari, bila-bila pun, itu biasa saja.'

Menjelang pilihan raya 2008, beberapa pengamat politik menjangkakan itu merupakan penggal terakhir bagi Datuk Nik Aziz mengekalkan kuasa di Kelantan.
Ini memandangkan dalam Pilihan Raya 2004, PAS menang tipis dengan mendapat 23 kerusi DUN berbanding 22 kerusi yang dimenangi BN.

PAS mendapat lima kerusi Parlimen sementara BN mendapat sembilan.
Sebaliknya dalam PRU-12 itu, PAS menang besar di luar jangkaan, dengan mendapat 38 daripada 45 kerusia DUN sementara sekutunya, Parti Keadilan Rakyat (PKR), mendapat satu kerusi.
BN hanya mendapat tujuh kerusi DUN.

Bagi kerusi Parlimen, PAS mendapat sembilan kerusi sementara PKR mendapat tiga.
Ini berbanding dua kerusi Parlimen yang dimenangi BN.
Apakah PAS yakin dapat mengekalkan kuasa di Kelantan dalam PRU-13 walaupun BN baru-baru ini memberi amaran mampu merampas semula negeri itu ?

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib, baru-baru ini juga menarik perhatian berkata Kelantan merupakan negeri paling miskin di Malaysia.
Menurutnya, kedudukan tercorot itu bermula sejak negeri tersebut berada di bawah pemerintahan kerajaan PAS Kelantan.

'Insya-Allah, Kelantan kekal. Tiada sebab rakyat Kelantan tolak Islam,' kata Datuk Nik Aziz penuh yakin.
Keyakinan itu mungkin didorong oleh tindakan rakyat Kelantan menolak habuan projek pembangunan bernilai RM10 bilion ($4.1 bilion) di Kelantan yang dijanjikan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, jika BN menang dalam PRU-12.
'Kami yakin PAS itu adalah benar. 'Kalau demokrasi dijaga dengan baik, tidak ada sebab langsung orang Melayu dan rakyat bukan Islam tidak mengundi PAS.

'Keadaan Umno sekarang dengan Umno dulu serupa saja iaitu tidak membawa ajaran Nabi Muhammad saw.
'Mereka boleh buatlah apa pun sekali pembangunan, kami tidak tergugat kerana pembangunan itu bukan duit dia iaitu duit Umno tetapi duit rakyat, duit cukai.
'Apa susahnya? Kalau kami menguasai Malaysia, kami juga boleh membuat pembangunan,' tegas Datuk Nik Aziz.

AMBIL ALIH PUTRAJAYA

Apakah pula matlamat yang ditetapkan oleh Pakatan Rakyat (PR) dalam PRU-13 ?
Jawab Datuk Nik Aziz:

'Matlamat kami serupa iaitu bagi menyelamatkan undang-undang Allah di muka dunia - undang-undang dalam akidah, dalam ekonomi, sosial, dalam segala-galanya.'
Peluang PAS untuk mengukuhkan pengaruhnya di negeri-negeri lain dan merampas semula Terengganu yang jatuh ke tangan BN pada 2004, lantas dilihat sebagai cerah.

'Lebih-lebih lagi jika mereka dah lihat apa kita buat di Kelantan. Kami memimpin berdasar konsep Islam dalam bidang ekonomi, sosial dan budaya. Dengan keadaan kami ditekan, dikepung empat penjuru pun tetapi kami boleh bergerak,' jelas Datuk Nik Aziz.

Beliau turut mengulangi tekad PR untuk mengambil alih Putrajaya.
'Islam agama Allah untuk manusia. Maka, tiada sebab kami tidak diberi peluang untuk memegang kuasa di peringkat Pusat.

'Untuk tidak pegang kuasa di peringkat pusat, maka kami cuai dengan Allah di akhirat kerana kami biarkan golongan sekular berkuasa di bumi Allah.
'Saya tidak suka perkataan merampas Putrajaya, sebaliknya saya lebih suka perkataan memimpin atau mengambil alih tampuk kerajaan.'

Menurut beliau, bantahan yang dianjurkan Gabungan bagi Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) pada tahun lalu didorong oleh kebencian rakyat terhadap Umno dan BN yang didakwa menyalahgunakan demokrasi.
'Kalau demokrasi dijaga dengan betul, kita tidak akan ada masalah. Sebagai contoh, bantahan Bersih, kenapa manusia beribu keluar berdemonstrasi walaupun ada gas pemedih mata?

'Sebabnya, mereka muak dan benci kepada Umno dan BN yang menyalahgunakan demokrasi.
'Mereka bawa 'pendatang' dari luar. Beri kad pengenalan pada orang luar setiap kali mengundi. Semua kerja ini, Islam tidak boleh terima, demonstrasi tidak boleh terima. Tetapi Umno, dengan rakus nafsunya, dia buat. Mana ada dalam demonstrasi, dibenarkan buat begitu ? Mana ada dalam Islam, diberi peluang buat manusia menipu?' tanya beliau.

PENAKATAN PAKATAN RAKYAT

Sejak kebelakangan ini, pelbagai spekulasi wujud tentang keutuhan Pakatan Rakyat, dengan apa yang berpendapat ia seakan retak menanti belah.

Ini lebih-lebih lagi selepas Datuk Nik Aziz meminta pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, menarik balik kenyataannya yang menyokong usaha melindungi keselamatan Israel, seperti yang dilaporkan The Wall Street Journal (WSJ), baru-baru ini.

'Sehingga kini, saya tidak nampak Pakatan Rakyat berpecah. Itu kenyataan peribadi Anwar, bukan kenyataan parti. Parti lain, Anwar lain. Benda itu boleh selesai, tiada masalah,' kata Datuk Nik Aziz.
Ditanya mengenai pelbagai kontroversi lain yang mempalit Datuk Seri Anwar, termasuk tuduhan liwat, Datuk Nik Aziz, berkata:

'Saya tidak suka 'correct-correct' pasal individu. Saya tidak mahu bercakap masalah individu. Itu masalah parti dia. Kalau orang dia boleh terima, kenapa kita tidak boleh terima? Kita bergabung atas dasar parti.'
Sejak beberapa tahun lalu, PAS telah mempromosikan konsep Islam, tahaluf siyasi, kepada para pengikutnya iaitu bekerjasama dengan parti bukan Islam, seperti Parti Tindakan Demokratik (DAP) bagi mencapai matlamat yang sama dalam politik.

Menurut Datuk Nik Aziz, kerjasama dengan DAP juga tidak mengalami kegenjotan walaupun wujud perbezaan pendapat berkaitan perlaksanaan hukum hudud di Malaysia.
'Kami bekerjasama dengan parti DAP kerana kami sama-sama menentang kezaliman, sama-sama nak keadilan.

'Berkaitan pelaksanaan hukum hudud, masalah itu kita boleh selesaikan. Kalau tidak setuju, tak apa. Adik beradik dan suami isteri pun bertengkar, itu biasa,' jelasnya.
Sedangkan lidah lagi tergigit.

Tsunami politik yang berlaku pada PRU-12 merupakan peringatan penting kepada mana-mana parti agar tidak mengambil sikap sambil lewa.
Lebih-lebih lagi dalam zaman Internet, Facebook dan blog, dengan setiap fitnah mahupun kebenaran mampu tersebar meluas.

PRU-13 bakal menguji sekali lagi keupayaan Datuk Nik Aziz untuk merapatkan saf dan memastikan semua jentera parti bergerak licin bagi memujuk pengundi agar tidak memangkah 'dacing' di kotak undi. -BO
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .