Ikuti Blog ini
Pecat Secara Salah: Utusan Kalah Rayuan Bayar Norzahizan Sebanyak RM71,128 ,Khamis, April 19, 2012 at 19.4.12,
Putrajaya: Utusan Melayu (Malaysia) Bhd kalah dalam rayuannya untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang memerintahkan syarikat itu membayar gaji tertunggak berjumlah RM57,120 kepada bekas wartawannya yang dipecat berhubung dakwaan perbuatan ingkar berkaitan tugasnya.
Dalam keputusan sebulat suara, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan terdiri daripada Datuk Seri Abu Samah Nordin, Datuk Ramly Ali dan Datuk Linton Albert, menolak rayuan Utusan Melayu dan mengarahkan syarikat itu membayar RM10,000 dalam kos perundangan.
Pada 7 Ogos 2008, Mahkamah Perindustrian memberi award berjumlah RM71,128 kepada Norzahizan Ismail (gambar) dengan RM57,120 daripadanya adalah gaji tertunggak dan RM14,008 ganti rugi teladan serta elaun pengangkutan selepas memutuskan bahawa dia dipecat secara salah oleh Utusan Melayu.
Mahkamah Perindustrian Pulau Pinang turut memerintahkan syarikat akhbar itu supaya mengembalikan semula jawatan Norzahizan dalam tempoh 60 hari dari tarikh keputusan Mahkamah Perindustrian itu.
Utusan Melayu kemudian memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi untuk semakan kehakiman bagi membatalkan keputusan Mahkamah Perindustrian. Syarikat itu diwakili peguam D. Krishnan dalam prosiding rayuan pada Rabu.
Pada 30 Mac 2010, Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa Norzahizan hanya diberi award tunggakan gaji RM57,120 dan dikembalikan semula jawatannya selepas membatalkan award berkaitan ganti rugi teladan dan elaun pengangkutan yang diberi kepadanya oleh Mahkamah Perindustrian.
Hakim Abu Samah, dalam keputusannya hari ini berkata keputusan Mahkamah Perindustrian pada dasarnya berasaskan kepada dapatan fakta beliau yang tidak akan dicampuri oleh mahkamah rayuan.
Norzahizan, kini berusia 55 tahun, dipecat pada 15 September, 2004 selepas dia didapati bersalah oleh inkuiri dalaman akhbar berkenaan berhubung tiga dakwaan termasuk dakwaan gagal mematuhi arahan pegawai atasannya berkaitan tugasnya dan menulis berita seperti yang dikehendaki.
Dia membela diri dengan mengatakan bahawa dia telah mematuhi arahan daripada pegawai atasannya.
Norzahizan memohon kepada Utusan Melayu supaya diberi semula jawatannya susulan keputusan Mahkamah Perindustrian itu tetapi syarikat itu tidak memenuhi permohonannya sebab proses rayuan di Mahkamah Rayuan masih belum selesai.
Peguam Jagdeep Singh Deo berkata anak guamnya, Norzahizan, juga berhak mendapat ganti rugi sebagai ganti kepada pengembalian semula jawatannya memandangkan dia tidak diberi semula jawatannya itu dan telah pun mencapai umur persaraan pada Februari tahun ini. -BERNAMA