Memperjuangkan yang benar itu amat susah dan tidak ada jalan yang
senang dan mudah. Sebaik sahaja manusia itu ingin perubahan untuk
kebaikan ia akan tetap mendapat reaksi serta merta. Bak kata seorang
ulamak yang muktabar, ‘jalan ke syurga itu berduri-duri dan beronak,
jalan ke neraka itu penuh dengan roti dan keju’. Pejuang yang berniat
untuk kebaikan itu selalunya akan merasakan kepedihan.
Itulah sebabnya setengah orang merasa hairan kenapa seseorang itu terus
menerus berjuang sehinggakan menghadapi kepayahan dalam kehidupan
mereka. Sesungguhnya yang paling penting ialah kepuasan dalaman dan jika
kita pautkan usaha kita itu dengan beriktikad untuk ke addin dan agama
itu ia amat menyejukkan jiwa seseorang itu.
Nabi Noh Alaihissalam dicerca dan dihina oleh masyarakat sekelilingnya.
Dalam menegakkan kebenaran apa sahaja yang dilakukan oleh Noh
dipersendakan dan dikasari oleh masyarakat dan kaumnya sendiri. Apabila
Noh membina bahtera yang besar ditengah-tengah padang pasir dan berbukit
itu masyarakat sekeliling Noh telah mengatakan yang Noh itu gila dan
berbagai-kata nesta. Anak dan isterinya sendiri tidak mahu mengikut
jejak langkah nya.
Noh tetap cekal dan akhirnya semua rakyat sekelilingnya telah mendapat
bala yang besar dan hanya sebilangan kecil yang disebut oleh setengah
ulamak hanya berjumlah 81 orang sahaja. Setengah ulamak berpendapat
jumlah pengikutnya hanyalah 83 orang. Akhirnya seluruh masyarakat zaman
itu telah dilemaskan oleh bah besar yang diturunkan Allah dan mereka
yang selamat hanyalah mereka yang mengikuti seruan Noh untuk taat kepada
Allah swt.
Di negara kita pun berlaku perkara yang sama. Kita selalu membaca
semangat berkobar-kobar Melayu untuk mencapai kemerdekaan dari British
dan itulah isu yang terbesar untuk menyatukan rakyat Malaya semasa itu
untuk bersatu menuju kepada kemerdekaan itu. Tetapi kepada yang tua-tua
usia mereka masih teringat yang tentangan untuk mencapai kemerdekaan itu
ada dan jelas.
Tentangan itu datangnya dari Melayu yang telah selesa hidupnya dan
kebanyakkannya adalah dari kumpulan yang bekerja dengan kerajaan
penjajahan kerana mereka takut untuk berubah. Saya masih ingat lagi
setelah kita mencapai kemerdekaan itu masih ramai orang Melayu yang
tidak berkeyakinan dengan kemerdekaan yang kita capai.
Ramai yang bercakap yang kita tidak akan pergi kemana-mana sebabnya
orang Melayu nak buat jarum pun tak pandai macam mana hendak menjaga
negara apabila mendapat kemerdekaan itu. Kita dengar dimerata tempat
kata-kata itu. Namun apabila telah terbukti yang orang Melayu dan rakyat
mampu untuk melakukan perubahan itu, orang-orang yang mengkritik dan
menentang kemerdekaan ini jugalah yang mendapat laba dan nikmat dari
penat lelah dan jerih pejuang-pejuang kemerdekaan itu.
Kumpulan yang tidak senang dengan pencapaian kemerdekaan ini jugalah
yang menjadi pembesar-pembesar negara seperi menjadi Dato Bandar dan
pegawai-pegawai tinggi kerajaan selepas negara mencapai kemerdekaan.
Tetapi itu tidak mengapa kerana itulah namanya demokrasi. Pimpinanan
yang demokratik mesti mempunyai sifat ‘magnanimous’ dan tidak mempunyai
sifat dendam mendendam.
Dalam politik tanahair kini, keadaan yang sama sedang berlaku. Setiap
usaha yang dilakukan oleh pihak alternatif itu sedang mendapat tentangan
yang hebat juga. Usaha ini mendapat reaksi yang amat kotor dengan
wujudnya kumpulan-kumpulan gangster dan penyangak upahan untuk
mengganggu program serta kegiatan pihak alternatif setiap masa dan
waktu.
Usaha rakyat untuk bersatu diluar BN menjadi isu yang besar dan pihak
yang berkuasa menggunakan isu perkauman yang menebal untuk menyatukan
orang-orang Melayu dibawah kuasa mereka. Apa yang mereka lupa ialah
mereka hendak meninggalkan kebathilan yang dilakukan oleh pemerintah
yang telah mengambil kelembutan rakyat terutamanya orang Melayu sebagai
kelemahan dan mahu mengelirukan mereka sepanjang masa untuk mengekalkan
kuasa.
Tetapi kepada sesiapa yang memahami keadaan tidak akan gentar
menghadapi situasi kotor ini. Mereka yang sedar ini tahu yang kerajaan
yang merelakan kerja kotor ini berlaku itu merupakan tanda yang amat
jelas yang usia kuasa yang ada kepada mereka pasti akan tamat. Tidak ada
dalam sejarah dunia ini yang membuktikan yang zalim itu akan berjaya
terus menerus. Yang tertekan akan akhirnya berjaya asalkan isu
berdasarkan kepada niat dan motif yang baik.
Itulah sebabnya saya tidak putus-putus dihubungi oleh mereka dalam
parti pemerintah dan duduk berbincang dan bertukar-tukar pandangan dalam
isu yang baru kita sebut ini. Saya menjangkakan mereka dari UMNO yang
selalu bersama saya ini akan mengubah haluan dan kecenderungan mereka
untuk berubah ini semakin hari semakin jelas dan tidak memeranjatkan
yang mereka akan bersama-sama untuk membuat perhitungan dalam peti undi
semasa pilihanraya nanti.
Beberapa ketua-ketua cawangan yang mengenali saya melalui blog ini pun
datang ke Kuala Lumpur untuk membuat perbincangan dengan saya dan yang
terakhir ialah kumpulan dari beberapa bahagian di Selangor. Saya
menerima tawaran mereka untuk berjumpa, tetapi jika berjumpa saya
tempatnya hanyalah dikedai-kedai minuman mamak sahaja.
Saya tidak mampu untuk berbincang di restoren-restoren besar kerana
saya tidak biasa ditempat-tempat hebat itu. Saya bukan dari gulungan
yang berada seperti rakan-rakan saya di dalam UMNO itu. Sesiapa yang
hendak berjumpa saya terpaksa bersabar dengan satu dua mug teh tarik
dan diselangi dengan air suam sahaja. Kalau nasib baik bolehlah makan
roti canai sekali.
Saya menyebut perkara ini kerana didalam sesuatu perjuangan, yang
paling susah ialah untuk memecahkan ruyungnya. Nah, sekarang ruyungnya
sudah pun pecah, hanya menunggu masa dan waktu untuk menikmati kejayaan
itu.
Sebelum mencapai kejayaan semua pihak yang inginkan perubahan itu akan
melalui waktu dan masa yang amat gelap. Tetapi apabila kita melalui
kegelapan yang amat sangat itu, ia menunjukkan yang kejayaan sudah
hampir sampai.
Ada perbilangan berkata, ‘The darkest part of the night is just before
dawn’. Maksudnya bahagian malam yang paling gelap ialah semasa
betul-betul sebelum siang, iaitu sebelum subuh. Tidak beberapa ketika
selepas itu kita akan menikmati terang dan siang yang terang benderang.
Buat sementara ini kita mesti bersabar dan berdoa terus menerus.
Walaupun kita sedang melalui kegelapan yang seketika ini, insyaallah
kita akan melihat jelmaan siang yang terang benderang. Kita jangan
memberikan reaksi kasar terhadap gangster UMNO itu kerana kita tidak
mesti jauhi diri kita dari bersikap seperti mereka. Kita mesti
menunjukkan berbezaan diantara kita dengan mereka.
Apabila siang nanti kita akan akhirnya tahu dan nampak siapa yang
melakukan kejahatan semasa dalam keadaan gelap tadi. Mereka tidak akan
dapat menyorok lagi.
Aspan Alias