Shah Alam - Majoriti pengundi di Semenanjung mahu daftar pemilih yang bersih sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) diadakan, demikian menurut kajian terbaru kendalian Merdeka Center.
"Seramai 92 peratus mahu daftar pemilih dibersihkan," kata kenyataan media Merdeka Center berhubung hasil kajian kendaliannya.
Merdeka Center juga berkata, penemuan itu juga menunjukkan hanya 44 peratus responden melahirkan keyakinan bahawa proses pilihan raya di Malaysia bebas daripada unsur-unsur kelemahan dan kepincangan manakala 49 peratus responden tidak yakin sama sekali.
Merdeka Center berkata, kajian pihaknya juga menunjukkan 48 peratus responden bersetuju bahawa senarai daftar pemilih tidak tepat dan terdiri daripada pengundi-pengundi diragui, antaranya warga asing, yang dipindahkan tanpa pengetahuan mereka atau mereka yang mempunyai pelbagai identiti.
"Hanya 39 peratus responden tidak setuju dengan kenyataan ini, percaya bahawa daftar pemilih adalah bersih," kata kenyataan Merdeka Center lagi.
Kajian terbaru Merdeka Center ini dijalankan antara 14 dan 26 April lalu.
Kajian itu selesai dijalankan dua hari sebelum perhimpunan Bersih 3.0, yang menuntut pilihan raya bersih dan adil.
Dari segi pecahan kaum, 57 peratus pengundi Melayu yakin dengan proses pilihan raya negara ini, disusuli dengan 19 peratus responden kalangan pengundi Cina dan 39 peratus (India) manakala mereka yang tidak yakin pula 39 peratus adalah kalangan pengundi Melayu, 68 peratus (Cina) dan 50 peratus (India).
Dari segi umur, lebih ramai pengundi berusia 40 tahun ke bawah tidak yakin dengan proses pilihan raya berbanding responden berusia 41 tahun dan ke atas.
Masing-masing 57 peratus pengundi berusia 21 hingga 30 dan 53 peratus pengundi berusia 31 hingga 40 tidak yakin dengan proses pilihan raya. Seramai 44 peratus pengundi berusia 41 hingga 50 tahun (44 peratus), 51 hingga 60 (46 peratus) dan lebih 60 tahun (44 peratus) tidak yakin.
Sebaliknya, 49 peratus pengundi berusia lebih 60 tahun yakin dengan proses pilihan raya, 51 hingga 60 tahun (45 peratus), 41 hingga 50 (45 tahun), 31 hingga 40 tahun (38) dan 21 hingga 30 (39 peratus).
Undian Pos: Kajian juga menunjukkan 51% responden tidak mempercayai pengundian pos yang dilaksanakan SPR. Mereka bersetuju bahawa sistem undian pos dilaksanakan kurang ketelusan dan tidak bebas dari campurtangan politik.
Jawatankuasa Khas Parlimen: Sebanyak 43% responden tidak mempercayai Jawatankuasa Khas Parlimen yang dibentuk kerajaan untuk pembaikan sistem pilihanraya kerana ia dianggap hanya untuk menutup kelemahan dan mengalihkan isu sebenar daripada perhatian rakyat. Hanya 34% yang bersetuju dengannya.