Menurutnya, lebih ramai polis sepatutnya didakwa berdasarkan jumlah peserta yang tampil ke depan memberi keterangan dan membuat laporan polis.
"Saya rasa tidak cukup. Apabila kita dengar cerita daripada mereka kita tahu ada lebih daripada dua orang anggota polis yang sepatutnya didakwa.
"Ini bukan keadilan. Ini satu pertunjukan cubaan gubahan imej polis semata-mata," katanya.
Dua anggota polis didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur semalam atas tuduhan mencederakan jurugambar Guang Ming Daily, Wong Kin Onn sewaktu himpunan BERSIH 3.0 pada 28 April lalu.
Mohd Khairul Asri Mohd Sobri dan Shahrul Niza Abd Jalil didakwa bawah Seksyen 350 Kanun Keseksaan kerana menggunakan keganasan jenayah terhadap Wong.
Berdasarkan keterangan mereka yang mendakwa dikasari, Maria Chin menggesa agar Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar menjelaskan sebab sebahagian polis yang didakwa melakukan kekasaran tidak memakai tag nama atau nombor pengenalan polis pada hari itu.
"IGP kena jawab kenapa polis pada hari itu tidak memakai tag nama" kata Maria Chin. -M'kini