Ikuti Blog ini

Kekuatan Bukan hanya Pada Alat, Tetapi Teknologi Menggunakannya


MARANG – Menurut Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang kekuatan yang dikehendaki Islam bukan sahaja dari segi peralatan tetapi juga teknologi iaitu cara menggunakan alat tersebut dengan bijak mengikut zaman masing-masing.

Memetik hadis Nabi SAW, beliau mengingatkan umat Islam agar bersedia dengan kekuatan rohani dan jasmani bagi menghadapi musuh-musuh dalam perjuangan Islam.

“Umat Islam dianjurkan menyediakan kekuatan, bukan sahaja kekuatan alat bahkan kekuatan bagaimana menggunakan alat itu dengan bijak.

“Termasuk Nabi SAW sendiri melatihkan dirinya dengan berlumba jalan kaki, menunggang kuda dan bermain senjata, mengikut zaman dan keadaan masing-masing,” ujarnya

Beliau berpesan demikian ketika merasmikan Pelancaran Kembara Tarbawi 3.0,Pacuan Empat Roda (4x4) ke Sungai Tersat, Hulu Terengganu di perkarangan Masjid Rusila, pada Jumaat 18 Mei.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang menegaskan menjadi tanggungjawab kepada umat Islam seluruhnya menjadi umat yang kuat.

Sekali pun, katanya pihak yang menentang Islam itu mempunyai kekuatan harta benda berlipat ganda serta peralatan yang canggih.

Menurutnya, pertolongan dari Allah SWT akan mengatasi segala kekuatan dan perancangan musuh dengan syarat ikhlas dalam perjuangan.

“Adalah menjadi tanggungjawab kepada kita, umat Islam menjadi umat yang kuat, bukan umat yang lemah. Menyediakan ahli-ahli yang kuat, berani bukan ahli-ahli yang lemah. Sediakan kekuatan mengikut kemampuan kita.

“Sekali pun lawan-lawan Islam itu mempunyai harta yang banyak, boleh membeli alat-alat yang canggih, senjata yang lebih kuat dan peralatan yang lebih lengkap.

“Sekiranya umat Islam menyediakan kekuatan mengikut kemampuan mereka dengan ikhlas. Walau pun kekuatan itu dianggap lemah pada zahirnya, selepas itu ada pertolongan dari Allah SWT yang akan mengatasi musuh dengan cara yang dikehendaki-Nya,” jelas Ustaz Abdul Hadi.

Sejumlah kira-kira 105 buah kenderaan pacuan empat roda menyertai program kembara tersebut yang dilepaskan oleh Presiden PAS bermula di perkarangan Masjid Rusila, Marang.

Antara pimpinan PAS Terengganu yang menyertai kembara tarbawi tersebut Timbalan Pesuruhjaya PAS (I) Terengganu, Ustaz Satiful Bahri Mamat dan Bendahari PAS Terengganu, Cikgu Syukrimun Shamsudin. -BO
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .