Ikuti Blog ini
Selangor Umum Pilihanraya Berasingan Selagi Daftar Pemilih Belum Dibersihkan ,Jumaat, Mei 18, 2012 at 18.5.12,
Shah Alam: Kerajaan negeri hanya akan membubarkan Dewan Negeri Selangor (DNS) selepas daftar pengundi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dibersihkan dari unsur-unsur yang meragukan.
Dianggarkan, proses semak semula daftar pemilih melalui program ‘Selangorku Bersih’ hanya akan selesai pada pertengahan Julai, kata Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Ini bermaksud, masih ada kemungkinan pilihan raya bagi kerusi DNS tidak akan diadakan serentak dengan pilihanraya bagi kerusi parlimen.
Spekulasi bahawa pilihan raya umum (PRU) bagi parlimen akan diadakan pada bulan Jun ini.
Selain itu, pilihanraya selepas pertengahan tahun ini akan memberikan peluang kepada Kerajaan Selangor untuk mengagihkan wang di dalam bajet 2012 dan Geran Selangorku.
“Lebih 400 ribu pengundi baru dan yang seratus ribu itu adalah pengundi yang dipindahkan kawasan dan projek ini dalam perlaksanaan.
“Kita rasa kita hanya dapat selesaikan pada pertengahan bulan Julai dan barulah kita buat keputusan samada kita berjumpa semula SPR tentang kesahihan daftar pengundi itu.
“Saya rasa dengan sebab-sebab ini, kalaulah pilihan raya diumumkan berlaku dalam bulan Jun sudah tentulah saya akan memberikan cadangan kepada DYMM Sultan Selangor supaya Kerajaan Negeri Selangor tidak terlibat dalam pilihan raya yang diumumkan dan kita akan adakan pilihan raya yang berasingan,” kata Abdul Khalid kepada Selangor Kini.
Kempen ‘Selangorku Bersih’ yang dilancarkan bulan lepas akan menggunakan tenaga kerja Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) bagi menyemak nama di dalam daftar pengundi.
Usaha ini bagi menentukan pengundi sahih dan membersihkan daftar pemilih daripada pengundi yang meragukan.
Kajian yang dilakukan oleh penganalisis politik dan aktivis Pakatan Rakyat (PR) sebelum ini mengenal pasti antara 40,000 hingga 300,000 pemilih yang statusnya diragui.
Antaranya termasuk pemilih yang berumur lebih dari 100 tahun dan mereka yang kad pengenalannya menunjukkan tempat lahir luar dari Malaysia.
Ada juga pemilih yang didaftar sebagai pengundi pos tetapi tidak layak untuk klasifikasi tersebut.
“Kita juga meminta ketua-ketua masyarakat mengenal pasti mereka sebab biasanya dalam penentuan tempat-tempat mengundi adalah orang yang tinggal di tempat-tempat tersebut yang diberikan kemudahan mengundi di tempat tersebut.
“Kita memang berharap rakyat Selangor diberi peluang untuk mengundi dan kita juga mahukan demokrasi ini berasaskan keadaan bertanding yang adil atau pun ‘level playing field’ supaya semua dapat kesempatan membuat pilihan yang baik,” Abdul Khalid berkata.
Selain itu Abdul Khalid berkata, kurang daripada 40 peratus daripada dana belanjawan untuk tahun ini telah diagihkan untuk projek dan program di seluruh Selangor.
“Jadi oleh sebab itu kita memerlukan masa lagi untuk melaksanakan perancangan atau penggunaan dalam belanjawan Kerajaan Negeri Selangor,” katanya. -selangorku