Ikuti Blog ini

Raikan Pendidikan Cina dan India; Raikan Juga Pendidikan Islam

KUALA TERENGGANU - Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Pusat, Dato’ Ustaz Abu Bakar Chik mencadangkan agar Dasar Pendidikan Negara yang diamalkan selama ini dikaji semula supaya lebih perkasa, dengan mengambilkira semua kepentingan nasional serta kaum-kaum lain di negara ini.

Katanya jika PAS dan Pakatan Rakyat diberi mandat oleh rakyat mentadbir Negara, dasar pendidikan tersebut perlu meletakkan pendidikan Islam sebagai pendidikan arus perdana seiring dengan pendidikan kaum-kaum lain dinegara ini.

“Dasar Pendidikan Negara akan dikaji balik dan PAS mengharapkan, Insya’Allah dapat meletakkan Islam dalam arus perdana dengan mengambil semua kepentingan nasional dan kepentingan kaum-kaum dalam negara ini.

“Sebab kita (PAS) meraikan pendidikan bangsa Cina (tionghua), kita raikan juga bangsa India atau kaum Tamil. Dan kita, tentulah hendak meraikan orang Islam dengan pendidikan agama (Islam) dia. Kita akan usahakan agar pendidikan Islam diarus perdanakan,” tegasnya

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Sambutan Hari Guru 2012 di Ma’ahad Tahfiz Wal-Tarbiyyah (MTT) Darul Iman, Kampung Tok Jiring, Kuala Terengganu, pada Rabu 16 Mei.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat mendakwa kurikulum pengajaran dan pembelajaran pada hari ini tidak mampu menyelesaikan masalah moral di kalangan para pelajar.

Katanya, kurikulum tersebut perlu dirombak dengan meletakkan al-Quran, bahasa Arab serta ilmu-ilmu asas Islam.

“Isu moral terlalu besar dan semacam tidak ada kemampuan hendak mengatasi masalah moral ini. Saya menegaskan bahawa tidak ada kemampuan kurikulum pada hari ini, pengajaran dan pembelajarannya tidak mampu untuk menyelesaikan masalah moral.

“Kurikulum mesti dirombak dengan meletakkan suatu bentuk nilai dalam diri pelajar dan nilai ini mesti dihasilkan daripada ilmu yang ada dalam al-Quran. Kekuatan bahasa Arab dan ilmu-ilmu asas Islam iaitu ilmu tauhid, feqah dan akhlak,” ujarnya.

Sehubungan itu, tema sambutan hari guru 2012 iaitu “Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara” turut ditegur oleh Dato’ Abu Bakar Chik yang juga mantan Exco Kerajaan PAS Terengganu 1999-2004.

Menurutnya, maksud inovatif tersebut perlu mengambilkira penguasaan terhadap kurikulum Islam berpandukan al-Quran, fardhu ain serta bahasa Arab.

Katanya, tidak ada makna inovatif yang dicanang jika tidak dihuraikan dengan asas-asas Islam sebenar.

“Inovatif di sini hendaklah mengambilkira penguasan terhadap kurikulum Islam itu sendiri. Tidak ada maknanya inovatif jika tidak boleh hendak dihuraikan asas Islam.

“Inovatif mesti di atas asas yang tertentu dan asas itu yang kita (PAS) hendak bina daripada al-Quran, fardhu ain dan bahasa Arab,” jelasnya. -BO
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .