(Penulis [tengah] di dataran Tahrir bersama meraikan kemenangan Morsi dengan rakyat Mesir)
Peristiwa besar yang berlaku di luar negara adalah perkembangan politik yang sedang berlaku di Mesir. Setelah seminggu berada di bumi Mesir, saya dapat bersama menyaksikan satu era baru yang terukir dalam sejarah politik dan pemerintahan Mesir.
Bagi saya, sesungguhnya politik Mesir adalah ibarat permainan catur yang penuh dengan debaran kepada banyak kalangan.
Namun rakyat Mesir sekali lagi melakar sejarah apabila buat pertama kalinya dalam sejarah, mereka telah berjaya memilih seorang Presiden yang dipilih terus oleh rakyat setelah berpuluh-puluh tahun di bawah pemerintahan diktator dan ’kuku besi’.
Lebih manis lagi apabila yang terpilih adalah Dr. Mohamed Morsi calon dari Freedom and Justice Party (FJP) parti politik tajaan Ikhwan Muslimin Mesir.
(Rakyat Mesir meraikan kemenangan mereka di Dataran Tahrir)
Hanya setahun lalu, tidak siapa dapat menjangkakan rejim 'kuku besi’ Hosni Mubarak yang juga merupakan sekutu akrab Amerika Syarikat, Britain serta Kesatuan Eropah (EU) dalam menentang 'terroris Islam' serta 'menjamin keselamatan Israel’ berjaya digulingkan oleh rakyat Mesir dengan hanya bersenjatakan 'Kuasa Rakyat’ yang turun secara sukarela meluahkan perasaan, berdemonstrasi ke jalan-jalanraya di seluruh negara.
Dan pada minggu ini, sekali lagi kita dapat menyaksikan sejarah terukir apabila ratusan ribu rakyat Mesir terutamanya dari kalangan golongan muda membanjiri Dataran Tahrir yang terletak ditengah-tengah kota Kaherah bagi meraikan kemenangan mutlak calon Ikhwan Muslimin itu walaupun ada percubaan awal dari pihak tentera SCAF bagi menafikan kemenangan itu.
Kemenangan rakyat ini adalah amat manis bagi Ikhwan Muslimin di Mesir. Apa tidaknya. Kalau setahun lalu Ikhwan Muslimin adalah dianggap sebagai sebuah 'pertubuhan haram’ dan sesiapa yang didapati menjadi ahli pertubuhan ini akan terus ditangkap.
Sepanjang pemerintahan 'kuku besi' Anwar Sadat dan Mubarak, Ikhwan Muslimin telah dinafikan hak bersuara, kebebasan dan keadilan.
Mereka diharamkan dari bergerak aktif di Mesir dan semua media massa di kawal ketat dengan tidak dibenarkan sebarang bentuk kritikan terhadapi rejim ini.
Kekejaman berpuluh-puluh tahun rejim ini sampai kepada kemuncaknya apabila mereka telah bertindak membunuh serta memenjara ribuan para ulama dan cendekiawan yang simpati dengan perjuangan Ikhwan Muslimin.
Namun kemenangan Dr. Morsi sebagai Presiden ini juga berhadapan dengan penuh cabaran besar yang terpaksa terus dihadapi.
Isu utama yang dianggap paling sensitif adalah hubungan beliau sebagai Presiden dengan pihak tentera SCAF yang sejak sekian lama telah mendominasi kuasa dan politik Mesir.
Pada proses pengundian Pilihanraya Presiden pusingan kedua, ia di cemari oleh keputusan Mahkamah Perlembagaan Mesir yang telah membatalkan semua keputusan pilihanraya Parlimen yang telah di adakan beberapa bulan lepas.
Pihak tentera SCAF serta-merta membubarkan Parlimen dan menghalang ahli-ahli Parlimen yang majoritinya dari parti FJP dan Parti Nour dari gerakan Salafi dari memasuki bangunan Parlimen.
Keputusan mahkamah ini telah menimbulkan kemarahan dari pelbagai pihak di seluruh Mesir. Ia di anggap sebagai suatu percubaan ‘rampasan kuasa’ dengan menggunakan keputusan Mahkamah dimana majoriti Hakim-Hakim masih dikuasai oleh mereka yang setia kepada bekas Preiden Mubarak.
Pimpinan FJP menggangap keputusan mahkamah ini sebagai satu malapetaka besar kepada seluruh rakyat Mesir dan adanya usaha untuk merampas kembali Revolusi rakyat yang di lakukan oleh setiap warga Mesir yang cintakan keadilan.
Lebih parah lagi dengan menjangkakan kemenangan akan berpihak kepada calon FJP, pihak tentera SCAF telah melakukan 8 ‘pindaan kilat’ kepada perlembagaan Mesir yang dilihat adalah untuk menjamin kuasa yang ada pada pihak tentera.
(Penulis mengucapkan tahniah kepada jurucakap FJP)
Antara pindaan yang dilaksanakan adalah; memberi kuasa penuh kepada SCAF bagi menentukan pindaan perlembagaan yang baru, Presiden berkuasa mengistiharkan Perang hanya dengan ‘kelulusan’ dari SCAF dan sekiranya berlaku sebarang kekacauan dalam negara, Presiden boleh memanggil pihak tentera hanya dengan kebenaran SCAF.
Di peringkat antarabangsa pula, Dr. Morsi berhadapan dengan cabaran menunaikan janji ‘menilai semula perjanjian Camp David’ dengan Israel yang memberi banyak kelebihan dan perlindungan berat sebelah kepada rejim Zionis itu.
Persoalan ini jugalah yang banyak di tumpukan oleh pembuat polisi di ‘White House’ bagi menilai hubungan Amerika Syarikat dengan Mesir dibawah seorang Presiden yang berlatar-belakangkan Ikhwan muslimin yang menolak dasar kekejaman dan apartied negara Zionis Israel.
Perlu diingat bahawa Mesir adalah sekutu terpenting Amerika Syarikat di rantau Timur Tengah sejak lebih 4 dekad yang lalu. Amerika Syarikat juga menyalurkan lebih US3 billion setiap tahun kepada rejim Mubarak terutamanya untuk persenjataan dan pertahanan.
Atas dasar inilah Mesir dianggap sebagai 'buffer' atau 'pintu penghalang' bagi menyekat sebarang ancaman serta menjamin keselamatan dan keamanan Israel.
Begitu juga dengan 'Terusan Suez’ yang merupakan nadi kepentingan ekonomi Amerika Syarikat serta sekutunya bagi menyalurkan minyak dan gas.
Sepanjang kempen pilihanraya Presiden yang dijalankan, Dr. Mohamed Morsi juga berhadapan dengan konspirasi media barat dan kebanyakan media utama Mesir bagi memastkan calon Ikhwan Muslimin ini kalah.
Pelbagai publisiti negatif telah di timbulkan dan beliau telah di serang habis-habisan dengan pelbagai tuduhan negatif serta kempen menakut-nakut pengundi terutamanya dari kalangan yang beragama Kristian akan ‘bahaya’ kemenangan parti Islam yang akan membawa Mesir kembali kepada zaman unta.
Manakala calon pilihan mereka, Ahmed Shafik pula telah diberikan pelbagai publisiti positif oleh media barat terutamanya BBC dan CNN serta media utama di Mesir dan dianggap ‘sebagai calon penyelamat’ bagi membangun semula Mesir selepas kejatuhan rejim Mubarak.
Namun keputusan resmi yang di umumkan oleh Suruhanjaya Pilihanraya Mesir yang mengesahkan kemenangan berpihak kepada Dr. Mohamed Morsi adalah kemenangan ‘Kuasa rakyat’.
Seperti ungkapan awal beliau; ‘Saya adalah Presiden yang dipilih bagi seluruh rakyat Mesir. Semua rakyat termasuk penganut Kristian adalah rakyat di bawah saya bagi sama-sama membangunkan Mesir yang baru’.
Ya, apapun yang ada dihadapan dalam politik Mesir, catur politik antara Dr. Mohamed Morsi sebagai seorang Presiden dengan pihak tentera SCAF akan terus dibidak bagi menentu masa hadapan politik Mesir.
Sementara itu Amerika Syarikat dan sekutunya akan terus menjadi pemerhati yang ‘istemewa’. Ia juga akan menjadi inspirasi dan semangat baru selepas Arab Spring kepada seluruh dunia Islam termasuk di Malaysia.
Tahniah Dr. Morsi...
Penulis adalah Penolong Setiausaha Agung PAS yang berada di Mesir baru-baru ini. Beliau boleh dihubungi melalui Email: syedazmans@yahoo.co.uk TWITTER: @syedazman