Tidak dapat dinafikan lambakan gambar atau foto Tok Guru Nik Aziz
Nik Mat dalam pelbagai fesyen dan suasana menyerlahkan realiti
kehidupan diri dan keluarganya banyak tersebar dalam internet baik di Fb, twitter,
ruang blog dan sebagainya. Gambar itu memberi gambaran akan
keistimewaan dan keunikan beliau sebagai Menteri Besar dari rahim ulamak
di mana perkara ini jarang berlaku di Malaysia. Ertinya boleh dibilang
dengan jari ulamak yang menjadi ketua umarak, MB atau menteri.
Gambar yang disebar itu dalam berbagai viarasi, baik semasa beliau di
pentas politik, di podium kuliah di kerusi rasminya, atau pun di masjid
dan surau. Gambar-gambar aktiviti ibadat dan perjuangan beliau sungguh
mengugah perasaan. Gambar beliau sedang makan, mendirikan solat atau pun
melakukan tahalul - cukur rambut atau upacara membelah mulut bayi
memberi impak dan sentuhan jiwa yang tinggi untuk mengasihinya.
Tidak cukup itu gambar beliau bermesra dengan anak isteri dan keluarga
dan juga gambar beliau sedang dipicit atau diurut belakang dan kaki oleh
anak-anak murid dan orang yang menyayanginya memberi dan menerbit
perasaan tersendiri pada perenungnya. Benarlah kata orang gambar memberi
seribu makna.
Penyebaran gambar itu menyebabkan orang ramai mengenali hati budi dan
sejauh dalamnya 'kausar' beliau, dapat menilai tahap kerendahan dan
kezuhudan dirinya. Mengenai dirinya menjadi
buah mulut, di mana-mana saja orang bercakap mengenai diri dan juga
stail kepimpinannya. Kerana itu semua beliau menjadi ikon dan dijadikan
maskot politik negara ini.
Tidak terlampau kalau saya sebutkan keterkenalan Tok Guru Nik Aziz
sebagai seorang Menteri Besar dan ulamak sudah melangkau ke seluruh
benua. Mana-mana negara yang boleh akses internet pasti akan menemui
gambar beliau dan mengetahui syaksiahnya. Inilah hebat dan berkesannya
internet dalam mempropangdakan sesuatu.
Penyebaran foto beliau itu sesuatu yang baik dan bagus serta satu
strategi ampuh bagi politik Pas. Ia menjadi satu medium atau saluran
dakwah bagi Pas. Di samping ia boleh mengenalkan beliau kepada dunia
tetapi ia juga dapat mengenalkan beliau sebagai seorang pemimpin
bertaraf ulamak yang berilmu dan mempunyai pendekatan yang tersendiri
dan khusyusi. Ini semua menguntungkan Pas dan sekaligus Islam yang
dijadikan ideologi oleh Pas.
Pas sesungguhnya berbangga memiliki sosok seperti itu. Kerana itulah
kehebatan, sebutan mengenai Nik Aziz bukan saja bergema di seluruh
negeri Cik Siti Wan Kembang malahan kehebatan dan keistimewaannya
mengimbau ke seluruh negara. Bukan saja anak-anak Tadika dan Pasti
tetapi juga pentadbir, politician bukan saja dari Pas bahkan dari
Umno juga. Hakikat inilah menyebabkan Umno khasnya mencari seibu jalan
dan menggunakan seribu senjata (termasuk fitnah) untuk membunuh
keperibadian agama dan politik Nik Aziz.
Mengenai anugerah ini saya tampak Pas menggunakan secukupnya modal dan
aset yang ada satu ini. Bahkan bagi Pas Kelantan seolah parti itu tidak
ada modal lain lagi selain Nik Aziz. Nik Aziz dan Nik Aziz. Tidak salah
kalau Pas meletakkan Nik Aziz sebagai ikon dan maskot politiknya kerana
ia wajar di atas kehebatan dan keilmuan Nik Aziz dalam agama dan
politik. Kandati beliau sudah tidak ada lagi di dunia ini pun kehebatan
dan keistimewaan serta keunikan beliau itu akan disebut-sebut dan
diingati serta dijadikan pendorong meneruskan perjuangan. Beliau akan
disebut seperti para salahfusoleh yang berjasa kepada Allah seumpama
Fadzil Noor yang kehebatan dan kebijaksanaan politiknya terus disebut.
Bagaimana pun dalam hal ini Pas semasa sudah terlebih dalam menggunakan
Nik Aziz untuk perjuangannya. Cara Pas mengidola dan mengkultuskan Nik
Aziz sudah sampai keperingkat yang perlu membuat ralat. Maksudnya di
sini bukan kehebatan dan keilmuannya, tetapi cara Pas menjadikan Tok
Guru sebagai aset dan modal politiknya tanpa memperhitungkan keadaan
sekelilingnya. Kerana mereka meletakkan Tok Guru terlalu besar
menyebabkan pemandangan sesetengah ahli dan penyokong Pas sehinggakan
mereka tidak nampak benda lain lagi dan merasakan Tok Guru akan ada
selama-lamanya. Sikap dan persepsi ini sesuatu negatif.
Apabila menyedari akan keterlaluan ini menyebabkan timbul dalam minda
saya, apakah hanya Tok Guru yang berhak mendapat pujian dan sanjungan
begitu? Maksudnya kenapa Pas dalam masa sama tidak meletakkan pemimpin
pengiring kepada beliau? Walaupun Nik Aziz sendiri tidak menyebut secara
pasti siapa selepas beliau tetapi Pas perlu memberi isyarat dan
kenyitan mata akan pemimpin yang akan mengambil alih tempatnya.
Sepatutnya ahli dan penyokong Pas dapat membaca sir dan maknawi yang terpendalam di dalam kalbun Nik Aziz.
Dalam soal ini saya ingin mempersoalkan tentang sikap taksub atau pun
sanjungan berlebihan kepada Nik Aziz yang pada saya tidak seimbang.
Bahkan ada kalanya sampai ke peringkat elemen khurafat. Maksudnya kenapa
hanya Tok Guru sahaja ditonjolkan sebagai pemimpin zuhud, tawaduk,
bersifat qana'ah dan mudah basa. Apakah tidak ada lain-lain pemimpin
dalam Pas yang mewarisi sifat-sifat itu? Apakah Pas terlupa? Sikap
terlupa seperti ini menyebabkan Pas akan berhadapan dengan kekosongan
selepas ini apabila Tok Guru tiba-tiba sudah tiada lagi.
Kekosongan inilah yang perlu difikir oleh Pas khasnya oleh rakyat yang
kini terlebih ghairah mendaulatkan Nik Aziz sebagai ikon dan idola
mereka? Sudah sampai masanya para pengidola dan penyanjung ini urut sama
menjaja nama-nama lain yang bakal menerajui Pas di masa depan. Apa yag
hendak ditegaskan ialah para pendokong perlu mempamikir dan menjualkan
akan kehebatan pemimpin lain, baik dari segi karektor, sifat,
perwatakan, kebolehan dan sebagainya dan bukan saja Nik Aziz.
Perkara ini penting didedahkan misalnya mengenai latar belakang, fikrah
perjuangan, wawasan dan juga kebolehan mereka dalam mentadbir dan
mengolahkan politik secara kreatif. Sesiapa yang memiliki sifat-sifat
ini perlulah didedahkan seluas-luasnya kepada rakyat agar mudah rakyat
membuat penilaian dan pemilihan. Harus difahami seorang yang bakal
menjadi pemimpin bukan saja setakat mampu menjadi syeikh di majlis
tahalil atau pun menjadi iman solat hajat dan bermunajat.
Saya sangat berharap selepas ini akan ada foto-foto mereka yang
disenaraikan akan menjadi pemimpin masa depan akan ada foto-foto mereka
yang beraksi atau bersahaja seperti foto-foto Tok Guru itu dipamirkan
dalam dada Fb atau twitter. Hendaknya para penyokong masing atau orang
perseorang dapat mengudp-datekan foto-foto ini untuk renung bersama.
Apakah apabila tiada gambar-gambar ini - tokoh selain Nik Aziz,
disebabkan tiada tokoh yang seiras Nik Aziz? Mungkin? Sebab
gambar-gambar bersahaja begini yang nilainya tinggi tidak boleh
dibuat-buat atau pun dilakonkan. Ia hendaklah bersahaja. Manakala gambar
yang bersahaja pula akan muncul dari tindakan yang bersahaja dan tidak
dibuat-buat.
Alangkan ruginya bagi Pas atau mana-mana juga jemaah kalau hanya mengagung atau memberi air time yang berlebihan kepada seseorang saja apa lagi yang sudah terlebih famous?
Sekiranya memang tidak ada tokoh yang bersikap dan bersifat seperti Nik
Aziz untuk diambil gambar ini bermakna bahawa selepas Nik Aziz ini Pas
menghadapi masalah. Nik Aziz sendiri mungkin boleh disifatkan gagal
kerana selama 22 tahun menjadi MB tidak berjaya melahirkan seorang murid
yang hampir menyamai murbbinya, atau pun muridnya gagal menghayati
ajaran gurunya.
Sekali lagi diharapkan selepas ini hendaknya akan ada gambar pemimpin Pas baik wakil rakyat atau sesiapa yang diposting dalam Fb dan blog
menunjukkan keserdahnaan hidup mereka. Tetapi dalam pada itu jangan
pula mengada-ngada masukkan gambar lakonan seperti wakil rakyat sedang
memotong rumput di kawasan rumah sendiri, menarik lembu, menziarahi
orang sakit dan sebagainya. Walaupun foto sebegitu ia satu promosi yang
baik tetapi gambar seperti itu menyebabkan orang akan kata kita masuk
bakul angkat sendiri. -MSO