Ikuti Blog ini

Kebangkitan Islam, dunia Arab akan terus berlaku



(Gambar: Abdelilah Benkirane mengucapkan terima kasih kepada Tuan Guru Abdul Hadi kerana bersama dengan kemenangan PJD.)

RABAT: Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berada di Maghribi pada Jumaat dan Sabtu lalu bagi menghadiri Muktamar kali ke-7 Parti Islam Pembangunan dan Keadilan (PJD).

Kehadiran Presiden PAS itu adalah atas jemputan rasmi Perdana Menteri Maghribi Abdelilah Benkirane yang juga ketua parti PJD.

Muktamar yang diadakan di Kompleks Moulay Abdellah itu turut dihadiri 2,000 perwakilan dan puluhan pemerhati dari negara luar khususnya pemimpin negara Arab dan pemimpin gerakan Islam seluruh dunia.

Muktamar kali ini adalah yang pertama diadakan selepas PJD memenangi pilihan raya parlimen yang diadakan November tahun lalu.

Ianya sekaligus menjadi medan meraikan kemenangan parti itu oleh seluruh pemimpin dan ahli PJD.

Turut hadir dan diberi penghormatan berucap pada majlis itu adalah pemimpin Hamas, Khaled Meshaal.

Pemimpin gerakan Islam yang hadir juga turut mengambil kesempatan mengadakan pertemuan bagi membincangkan hala tuju negara-negara yang kini dimenangi parti Islam dan juga krisis Asia Barat.

Tuan Guru Abdul Hadi juga turut mengadakan pertemuan secara tidak langsung dengan Abdelilah Benkirane sekaligus menyampaikan ucapan tahniah PAS kepada parti PJD pimpinannya itu yang telah memenangi pilihan raya tahun lalu.

Abdelilah Benkirane dalam ucapannya sebelum itu berkata kebangkitan Islam yang berlaku merupakan sesuatu di luar jangkaan dan diyakini akan terus berlaku di negara-negara lain.

"Apa yang berlaku kepada dunia Arab dan umat Islam sekarang ini adalah sukar untuk dipercayai dan ianya akan terus berlaku di tempat lain," katanya dalam ucapan pembukaan Muktamar. -Hrkh


Tuan Guru Abdul Hadi bersama pemimpin Hamas, Khaled Meshaal.


Tuan Guru Abdul Hadi ditemubual wakil media Maghribi.
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .