Ikuti Blog ini

Tugas Ulama’ Memimpin Perubahan Ummah – Presiden PAS


HULU TERENGGANU -  Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menggesa golongan yang berpendidikan agama tidak memisahkan cara hidup itu, dengan politik dan menjadi ulama’ yang memimpin perubahan.

Beliau berkata para Nabi-nabi dan Rasul-rasul juga merupakan ahli politik yang tidak memisahkan dengan dakwah.

Katanya, para anbiya dan para rasul juga mendepani golongan Raja-raja serta pemerintah di zaman masing-masing.

“Nabi-nabi juga adalah ahli politik. Nabi-nabi dan Rasul-rasul tidak memisahkan politik daripada dakwah. Nabi-nabi bukan sahaja berdepan dengan rakyat, Nabi-nabi juga berdepan dengan Raja-raja dan pemimpin di zaman masing-masing.

“Bacalah al-Quran yang menunjukkan Nabi-nabi dan Rasul-rasul berdakwah, berpolitik, memimpin umat dan memimpin negara. Ini peranan ulama’, peranan mereka yang mengaji di bidang agama untuk membetulkan doktor, membetulkan ‘engineer’, membetulkan petani, membetulkan peladang dan membetulkan rakyat,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Konvokesyen Kolej Universiti Darul Quran Islamiyyah (Kudqi) Kali ke-10 di Dewan Utama Kudqi, Kubang Lembek, Manir, 9 Julai lalu.

Hadir sama pada majlis tersebut Ketua Dewan Ulama’ PAS Pusat, Dato’ Harun Taib dan Ketua Dewan Ulama’ PAS Terengganu, Dato’ Hussin Awang.

Ustaz Abdul Hadi menyaran agar golongan ilmuan agama boleh menjadi ulama’ yang memimpin ummah dan bukan sekadar mengajar sahaja.

Namun, katanya kebanyakkan parti-parti Islam yang ada di seluruh dunia hari ini dipimpin oleh bukan di kalangan ulama’.

“Pada hari ini, parti-parti Islam dikebanyakkan dunia terpaksa dipimpin oleh di kalangan yang bukan pengajian agama. Allamdulillah, Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dipimpin oleh kalangan yang berpengajian agama.

“Ikhwan, Jameat Islami, parti Islam di Turki dan lain-lain. Dipimpin oleh mereka yang tidak dalam bidang pengajian agama. Tapi mereka orang Arab, mereka tahu bahasa Quran.

“Di mana pergi ulama’-ulama’nya. Kita (PAS) mahu menjadi ulama’-ulama’ yang kuat. Ulama’ yang memimpin dan bukan ulama’ yang mengajar sahaja. Tapi ulama’ yang mengajar dan memimpin masyarakat,” tegasnya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang mendakwa pusat-pusat pengajian agama merupakan benteng yang mempertahankan umat Islam.

Menurutnya, golongan yang berpendidikan agama yang lahir di pondok-pondok pengajian Islam mempunyai jati diri yang kuat.

“Pusat pengajian agama adalah benteng yang mempertahankan umat. Bukan sekadar melahirkan para pelajar sahaja.

“Di zaman belum merdeka, pondok-pondok yang mengajar agama tidak ada syahadah, tidak ada sijil. Jika ada sijil pun tidak diiktiraf . Mereka (pelajar) yang lulus balik bekerja sendiri tetapi mempunyai jati diri (Islam) yang kuat,” ujarnya.

Kata Dato’ Seri Abdul Hadi, negeri-negeri Islam yang dijajah oleh penjajah, Islamnya boleh bertahan apabila ada pusat-pusat pengajian agama.

Pada majlis tersebut seramai 39 pelajar Kudqi menerima sijil serta plak bagi semua Graduan Fakulti Syariah wal-Qanun dan Fakulti Usuluddin Tafsir. Manakala, tiga pelajar terbaik menerima anugerah Amirul Mukminin Abu Bakar, Imam As-Syafie dan Imam Ibnu Kathir.


Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .