Ikuti Blog ini

Atlet Wanita Arab Saudi Diberi "Standing Ovation" Di Olimpik, London



Kata orang, kemenangan bukanlah perkara utama, namun lebih penting ialah penyertaan dalam sesuatu acara sukan. Dalam hal ini, Sarah Attar diberi penghormatan dan tepukan gemuruh oleh penonton di stadium ketika menyertai acara larian 800 meter di Sukan Olimpik London.

Standing ovation yang diberikan kepada Sarah bukanlah kerana dia menang acara itu, namun dia merupakan atlet wanita pertama yang mewakili Arab Saudi dalam acara di trek di Olimpik.

Penyertaan Sarah merupakan saat bersejarah apabila Jawatankuasa Olimpik Arab Saudi membenarkan atlet wanita negara itu menyertai Sukan Olimpik di London.

Sarah menamatkan larian sebanyak dua pusingan trek itu hampir 45 saat di belakang pemenang acara itu, iaitu atlet Kenya, Janeth Jepkosgei Busienei yang menamatkan larian pada catatan 2 minit 01.04 saat.








Sarah, 19, merupakan pelajar seni di Pepperdine University di Malibu, California. Dia memiliki dua kerakyatan dan memilih untuk mewakili Arab Saudi, negara asal bapanya. 

Bercakap selepas acara larian itu, dia berkata "Peluang mewakili Arab Saudi merupakan suatu penghormatan dan amat membanggakan. Saya harap penyertaan ini dapat memberikan impak yang besar."


Mengikut rekod, catatan yang dibuat oleh Sarah dalam acara yang 800 meter di Olimpik ini 4 saat lebih perlahan daripada catatan peribadinya. Namun begitu, atlet ini diberitakan lebih gemar acara 1500 meter berbanding dengan acara 800 meter. -DCM









Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .