Kisah sebenar Rampasan Kuasa
Nama
Abdullah Antong pernah dilanda kontroversi apabila dilihat menjadi
dalang dalam insiden rampasan kuasa kerajaan Pakatan Rakyat pada tahun
2009. Beliau baru-baru ini telah mengisytiharkan diri menyokong PAS dan
Pakatan Rakyat. Tindakan tersebut telah membuatkan BN dalam keadaan
sangat takut kerana beliau banyak mengetahui tentang krisis politik di
Perak itu. Perakite Daily bersama Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz
Misbahul Munir telah mewawancara beliau untuk mengetahui lebih lanjut.
Misbahul Munir/ Perakite Daily :
Baru-baru ini Saudara
telah mengiystiharkan diri menyokong PAS dan Pakatan Rakyat melalui satu
program Hi-Tea yang dianjurkan oleh PAS Perak. Apakah faktor yang
mendorong tindakan tersebut?
Abdullah:
Saya berkhidmat selama 29
tahun dengan kerajaan sebelum bersara November 2010, suasana politik
yang tidak selesa pada saya, menyebabkan saya tidak berminat untuk
menyambung khidmat dan bersara wajib pada umur 56 tahun. Di usia yang
sudah mencecah 58 tahun saya tergerak hati untuk mengisyitiharkan diri sebagai penyokong PAS.
Faktor utama ialah Allah
telah memberi saya hidayah untuk memilih PAS dan tindakan ini bukanlah
disebabkan atas desakan mana-mana pihak dan individu, walaupun saya
kenal rapat dengan beberapa pimpinan PAS.
Faktor lain ialah
berdasarkan pemerhatian dan penilaian selama berkhidmat selama 11 bulan
dengan Pakatan Rakyat, saya ikhlas menyatakan banyak perbezaan antara
Pakatan Rakyat dengan BN terutama ketelusan, kesungguhan, keupayaan dan
juga keperibadian kepimpinan yang tidak dapat ditandingi oleh pimpinan
Umno-BN.
Walau bagaimanapun
seperti kebanyakan rakan-rakan lain yang menyertai PAS adalah kerana
mendapat hidayah dan kesedaran daripada Allah.
Saya menyokong PAS bukan
ada apa-apa kepentingan, juga bukan mendapat imbuhan dan balasan. Saya
tidak berniat langsung untuk menjadi pemimpin PAS atau menjadi calon.
Saya hanya mahu bekerjasama dengan PAS dan Pakatan Rakyat untuk
tumbangkan BN dalam PRU akan datang.
Misbahul Munir/ Perakite Daily:
Saudara pernah dilabel sebagai
konspirator dalam insiden rampasan kuasa yang berlaku di Perak oleh
blogger-blogger dan masyarakat khususnya penyokong Pakatan Rakayat yang
mungkin tidak tahu situasi sebenar. Apakah perasaan Saudara apabila
ditohmah sebegitu rupa, dan di waktu itu apakah kedudukan yang sebenar ?
Abdullah:
Secara peribadi saya
berasa sedih kerana saya tidak boleh menjelaskan perkara sebenar ketika
itu disebabkan tiada platform dan ruang untung menafikan dakwaan-dakwaan
tersebut.
Sehinggakan jiran-jiran
saya berpandangan serong kepada saya yang dianggap telah bersekongkol
dengan BN untuk menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat.
Saya ingin jelaskan dan
tegaskan bahawa saya tidak terlibat langsung dengan apa yang dipanggil
konspirasi apatah lagi sebagai konspiratornya. Saya hanya pegawai
kerajaan yang berjawatan Setiausaha Dewan Negeri, bertanggungjawab ke atas perjalanan sidang
dewan dan juga yang berkaitan dengannya dan juga bertanggungjawab ke
atas perjalanan mesyuarat EXCO kerajaan negeri yang juga diberi tugas
mencatat dan menyediakan kertas dan minit mesyuarat.
Dalam DUN Bos saya ialah
Speaker Dewan Negeri, dalam mesyuarat EXCO bos saya ialah Menteri Besar
dan dalam perkhidmatan kerajaan bos saya pula ialah Setiausaha Kerajaan
Negeri. Ketika kemelut politik yang memuncak, saya menjadi serba salah
antara amanah dengan kepentingan pekerjaan.
Di awal kemelut politik
berlaku, tidak ada yang mengenali saya ketika itu. Nama saya hanya
muncul apabila saya menyanggahi arahan Speaker DUN Perak.
Saya bertegas bahawa
tindakan-tindakan adalah disebabkan tekanan dari pihak atasan, saya
tidak upaya elak berbuat demikian kerana terpaksa menerima arahan pihak
atasan.
Semua kenyataan berkaitan sidang dewan dan sebagainya saya perlu keluarkan dan perlu ditandatangan atas kapasiti saya sebagai
setiausaha DUN sehinggalah saya mengeluarkan satu kenyataan yang
kontrovesi iaitu sidang DUN yang dipanggil oleh Speaker yang sah ketika
itu, YB V Sivakumar sebagai tidak sah.
Atas sebab kenyataan saya
itu, tercatat memori dan sejarah dunia apabila sidang DUN terpaksa
diadakan di bawah pokok kerana Adun Pakatan Rakyat dihalang memasuki
dewan.
Jadi kenyataan itu tidak ada kaitan dengan konspirasi rampasan kuasa oleh BN.
Saya mahu tegaskan sekali
lagi bahawa saya tidak terlibat dengan konspirasi untuk menjatuhkan
kerajaan Pakatan Rakyat termasuklah dalam urusan ‘membeli’ Adun dan
sebagainya.
Dalam kesempatan ini saya
ingin bersihkan nama saya yang dianggap menjadi “conspirator” dalam
insiden rampasan kuasa oleh BN itu.
Misbahul Munir/ Perakite Daily:
Kerajaan Pakatan Rakyat
tumbang apabila Adunnya melompat parti tetapi Dato’ Seri Nizar
Jamaluddin dan Pakatan Rakyat serta disokong oleh beberapa pakar
perundangan bertegas bahawa Nizar tetap sebagai Menteri Besar yang sah.
Jadi apa pandangan saudara ketika itu?
Abdullah:
Harus diingat, mengikut
Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak, jawatan Menteri Besar gugur
dengan tiga perkara iaitu disabitkan dengan salah laku tatatertib atau
hilang kelayakan sebagai Adun, perletakan jawatan, dan apabila
berlakunya pembubaran DUN.
Ahli Dewan juga boleh
membuat usul undi tidak percaya kepada Menteri Besar dan sekiranya
majoritinya mengundi tidak percaya, Menteri Besar ketika itu mempunyai
dua pilihan iaitu meletak jawatan ataupun memohon perkenan Tuanku untuk
membubarkan DUN bagi pilihanraya semula diadakan. Ini tercatit didalam
Perkara 16(6) Undang-undang Tubuh Negeri Perak.
Dato’ Seri Nizar tidak
pernah dijatuhkan undi tidak percaya oleh ahli dewan dan sebab itu saya
tidak terkejut dengan keputusan Mahkamah Tinggi memutuskan beliau tdak
terlucut jawatannnya sebelum Mahkamah Rayuan memutuskan sebaliknya.
Saya lebih chenderong untuk setuju dengan keputusan Mahkamah Tinggi.
Misbahul Munir/ Perakite Daily:
Apa pandangan En Abdullah ketika insiden V Sivakumar diusung keluar yang ketika itu sedang menjalankan tugas sebagai Speaker?
Abdullah:
Apabila kerajaan Pakatan
Rakyat ditumbangkan, BN ketika itu tidak nampak ada satu lagi institusi
ataupun jawatan penting iaitu Speaker yang ketika itu masih lagi dari
kalangan Pakatan Rakyat.
Tidak lengkap mendapat
jawatan Menteri Besar jika belum mendapat menukar Speaker DUN kerana
Speaker berkuasa penuh di dalam dewan bermakna Pakatan Rakyat masih
berkuasa di Dewan Negeri.
Jadi jika inginkan kuasa
sebenar kerajaan dalam sidang DUN, BN ketika itu perlukan kuasa
sepenuhnya di dewan dan ini yang mereka terlepas pandang.
Semasa sidang DUN pada 7
mei 2009 yang berlaku dalam keadaan tegang itu, saya tidak nampak dan
dengar speaker mengarahkan timbalannya mempengerusikan sidang DUN, pada
masa yang sama V Sivakumar masih duduk di kerusinya.
Tiba-tiba Timbalan
Speaker, YB Hee Yit Fong telah adakan satu sidang di hujung dewan untuk
melantik Speaker baru dan saya sebagai Setiausaha DUN berasa pelik, saya
baca buku perintah tetap tentang tindakan Hee itu namun saya tidak
menjumpai satu fasal pun yang membenarkan keadaan itu berlaku, ini
bermakna Peraturan Tetap Dewan telah dilanggar.
Saya tidak pasti siapa
yang mengusung V Sivakumar ke luar dewan dan sudah pasti ianya bukan
staff dewan kerana saya mengenali semua staff-staff tambahan yang
dilantik bagi membantu Bentara Dewan.
Kejadian tersebut telah
menjadi sejarah dunia kerana ianya tidak pernah berlaku di mana-mana
Negara Komanwel mahupun negara lain.
Misbahul Munir/ Perakite Daily:
En Abdullah ada
pengalaman yang lama dengan BN berbanding dengan Paktan Rakyat yang cuma
11 bulan, jadi apakah perbezaan yang ketara antara kerajaan Pakatan
Rakyat dengan BN?
Abdullah:
Semasa mula-mula Pakatan
Rakyat memulakan tugas, kami tertanya-tanya bagaimana corak pemerintahan
dan adakah Pakatan Rakyat mampu memerintah. Saya sendiri tidak berapa
yakin dengan gabungan tiga parti ini ketika itu.
Sebagai pegawai kerajaan,
saya menjalankan tugas seperti biasa. Kami pegawai kerajaan hanya
sebagai pelaksana terhadap dasar dan polisi kerajaan Pakatan Rakyat, apa
yang mereka putuskan, kami wajib melaksanakannya asalkan tidak
bertentangan dengan etika perkhidmatan.
Perbezaan yang sangat
ketara ialah Adun-Adun Pakatan Rakyat terutama EXCO sangat mesra dan
mudah mendampingi pegawai dan kakitangan kerajaan dan tiada kerenah
birokrasi. Tidak pernah sebelum ini seorang Menteri Besar boleh turun
makan tengah hari di kantin bersama pegawai-pegawainya melainkan Dato’
Seri Nizar.
Semua Exco Pakatan Rakyat termasuklah dari kalangan DAP cukup merendah diri dan tidak sombong ataupun egois.
Pemerintahan Pakatan
Rakyat sangat telus sehinggakan Nizar sering menasihatkan kepada
Exco-Exconya supaya tidak mengambil kepentingan parti melainkan
kepentingan rakyat.
Dari segi ketekunan, saya
dapati diperingkat awal mesyuarat EXCO mengambil masa panjang cuma
berhenti untuk makan dan solat. Menteri Besar dan barisan EXCO begitu
teliti terhadap semua kertas mesyuarat sama ada mahu melulus atau
menolak.
Semua EXCO telah diberi peluang untuk memberi pandangan sebelum keputusan dibuat.
Menteri Besar dan Exco
tidak pernah mengarahkan saya mendahulukan mana mana kertas, terserah
kepada saya sebagai setiausaha memilih kertas yang akan dibawa.
Dalam soal penjimatan kos
jamuan keraian anjuran kerajaan negeri juga dikurangkan termasuklah
makanan sewaktu mesyuarat EXCO. Setiap kali mesyuarat EXCO kos makanan
kurang daripada RM45 seorang berbanding dulu hanya untuk minum pagi
sahaja RM 45 seorang.
Waktu solat, surau di
pejabat SUK sangat meriah dan imarah tanpa paksaan untuk berjemaah .
Dato’ Seri Nizar sendiri akan mengimamkan solat berjemaah seterusnya
menyampaikan tazkirah. Ini sangat berbeza dengan pemerintahan BN.
Ketika bulan Ramadhan
dihiasi dengan pelbagai program seperti tazkirah setiap pagi, semua
EXCO, ADUN yang muslim serta beberapa pegawai kerajaan termasuk SUK,
pegawai kewangan dan Mufti diberi peluang menyampaikan tazkirah Ramadhan
selama 10 minit .
Ia sangat mengesankan sekali. Ada EXCO DAP beritahu saya mereka tiada masalah turut berminat mendengar tazkirah pagi.
Pemberian bubur lambuk
yang dibuat sendiri oleh kakitangan SUK dan pimpinan Pakatan Rakyat
serta pelbagai lagi program untuk mengimarahkan bulan Ramadhan.
Ini baru perkara-perkara
kecil, belum sentuh bab lain seperti pemberian air percuma, pengecualian
kompaun, pemberian tanah hak milik kekal kepada Kampung Tersusun dan
Kampung Baru, bantuan RM 1,000 kepada pelajar-pelajar yang ke IPT, dan
sebagainya.
Setiap kali mesyuarat
EXCO, Dato’ Seri Nizar bersama barisan exco sentiasa mencari jalan untuk
mengurangkan beban rakyat dan ini menggambarkan betapa tekun serta
bersungguh-sungguhnya kerajaan PR untuk membantu rakyat.
Misbahul Munir/ Perakite Daily:
Semasa pemerintahan
Pakatan Rakyat selama 11 bulan dahulu, PAS dan Menteri Besar sering
dimomokkan sebagai "boneka" atau "kuda tunggangan" DAP, Dato’ Seri Nizar
pula hanya ikut telunjuk EXCO DAP dalam membuat apa sahaja keputusan.
Jadi apa pandangan Saudara?
Abdullah:
Saya lihat inilah yang
menjadi modal utama BN bagi memberi persepsi buruk masyarakat terhadap
PAS dan ini adalah tidak betul sama sekali.
Dalam mesyuarat Exco
Pakatan Rakyat, mereka tidak langsung membawa kepentingan peribadi
saperti saranan Menteri Besar supaya perkara dielakkan.
Tuduhan BN yang
mengatakan DAP menguasai mesyuarat dan mengikut arahan DAP ternyata
fitnah semata-mata. Semua perkara dibincangkan secara terbuka dan Dato’
Seri Nizar memberi peluang kepada semua ahli mesyuarat menyatakan
pandangan mereka.
Saya mengambil contoh
satu kes menggazetkan tapak surau di Sitiawan, Dato’ Ngeh Koo Ham selaku
Adun kawasan tersebut pergi melihat sendiri keadaan surau tersebut.
Pada mulanya mesyuarat
mewartakan setengah ekar untuk kawasan surau itu, Dato’ Ngeh
mencadangkan untuk meluaskan lagi tapak surau tersebut kepada satu ekar
bagi memudahkan parkir kereta umat Islam yang hendak beribadah. Ini
membuktikan DAP tidak mempunyai sikap anti Islam dan perkauman.
Berlaku lagi satu kes
meluluskan satu tapak tokong Cina di Tambun. Kawasan yang terletak di
tepi gua tersebut sangat bahaya dan tidak sesuai untuk medirikan tokong.
Ulasan dari Jabatan yang berkaitan tidak bersetuju dan menasihatkan
tidak diluluskan.
Mesyuarat menerima
cadangan syor tersebut, lalu menolak permohonan tapak tokong. Saya tidak
lihat Exco dari kalangan DAP yang membantah keputusan itu atau
mempertahan permohonan tersebut dan mereka semua setuju.
Saya lihat persefahaman antara Ecxo sangat baik dan menghormati Dato’ Seri Nizar sebagai Menteri Besar walaupun DAP majoriti.
Misbahul Munir/HARAKAH:
Selepas mengisytiharkan
diri sebagai penyokong perjuangan PAS dan Pakatan Rakyat, adakah
terdapat kekangan-kekangan dan tawaran yang datang dari kerajaan BN
Perak?
Abdullah:
Sahabat-sahabat saya
tiada masalah dengan tindakan saya menyertai PAS, ada juga yang
membantah. Ramai yang terkejut kerana tiba-tiba saya muncul kembali
Mereka fikir, selepas pencen saya berdiam diri dan tidak peka dengan
politik semasa.
Seorang bekas pegawai
tinggi kerajaan ada berjumpa saya menasihatkan saya supaya membatalkan
hasrat untuk menyertai PAS. Saya tidak pastilah, itu kehendak dia ke
atau diminta oleh pemimpin Umno untuk memujuk saya.
Saya hairan kenapa mereka
sangat terkejut dengan tindakan saya, adakah ianya isu hangat, adakah
saya ini terlalu bahaya dan kemunculan saya akan meresahkan BN.
Sedangkan ramainya bekas pegawai tinggi kerajaan menyertai PAS dan
Pakatan Rakyat seumpama satu fenomena masa kini.
Kemungkinan juga kerana
saya banyak mengetahui cerita dan rahsia. Saya tahu ada perkara yang
boleh diceritakan, ada rahsia yang tidak boleh didedahkan.
Perkara-perkara kecil yang tidak menjadi rahsia kerajaan bolehlah saya
kongsikan.
Sampai sekarang ini,
mereka masih memerhatikan saya dan mengikuti perkembangan ini. Saya juga
diminta berjumpa dengan orang politik Umno-BN untuk kononnya ingin
mentarbiah atau “brainwash” saya. Saya ucap terima kasih sahajalah
kerana saya telah memilih halatuju sendiri.
Saya berharap mereka
tidak mengganggu saya sebagai rakyat yang cintakan demokrasi. Saya pasti
saya tidak akan memperolehi apa apa dari kerajaan negeri hatta sebidang
tanah RPT pun selepas ini.
Misbahul Munir/HARAKAH:
Untuk yang terakhir ni, apa seruan En Abdullah kepada seluruh rakyat Perak dalam PRU akan datang.
Abdullah:
Saya nak beritahu,BN
sekarang ini bukanlah kuat sangat, mereka dapat kuasa pun bukan dengan
cara demokrasi. Pakatan Rakyat dapat mandat dari rakyat melalui PRU yang
lalu sekalipun dengan majoriti yang kecil. BN dapat kuasa setelah 3
orang Adun mengkhianati mandat rakyat.
Oleh itu, saya rayu dan
seru seluruh rakyat Perak buat perubahan dengan berani pada PRU akan
datang. Kembalikan semula kuasa Pakatan Rakyat melalui kuasa rakyat.
Saya yakin Insya Allah, Paktan Rakyat akan kembali memerintah Perak
selepas ini. Percayalah saya telah mengalami pengalaman yang manis
selama 11 bulan Pakatan Rakyat memerintah dan saya akan bersama- sama
seluruh rakyat Perak untuk meraikan kemenangan dalam PRU13 akan datang.