Anwar cabar Najib debat Belanjawan 2013
KUALA LUMPUR 28 Sept: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mencabar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berdebat mengenai Belanjawan 2013 yang dibentang hari ini.
“Kalau kamu sanggup untuk kritik, maka kamu perlu sanggup untuk berdebat. Tapi kamu tak sanggup untuk respons cabaran. Kamu (Najib) tidak datang ucapan saya (di Dewan Rakyat) pada Isnin jam 11.30 pagi, tapi saya sanggup duduk dengar kritikan.
“Separuh dari ucapan (penggulungan) Najib kritik Pakatan Rakyat. Ayuh kita berdebat, Pakatan Rakyat lawan Barisan Nasional. Kamu kata kamu demokrat bukan,” kata Anwar kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.
Dalam pada itu, jelas Anwar, belanjawan kali ini tidak meletakkan keutamaan kepada rakyat terbanyak melainkan insentif kepada kroni dan golongan atasan.
“Insentif untuk Tun Razak Exchange (TRX), itu insentif kewangan untuk orang kaya. Tak disentuh tentang IPP (Penjana Tenaga Bebas). Harga gula disentuh, tetapi monopoli gula tak disentuh.
“Perubahan struktur tidak dilakukan.. ini masalah besar. PTPTN diminta untuk bayar balik, tetapi hutang (kroni) berbilion tak disentuh. Tidak ada tindakan dan cadangan (dalam Belanjawan),” tegasnya.
Sementara itu, katanya, tidak ada yang baru dalam belanjawan dibentangkan untuk manfaat golongan berpendapatan sederhana dan pertengahan seperti Skim Rumah Pertamaku.
Mengulas lanjut kata Anwar, syarikat perumahan negara sepatutnya menjadi institusi yang meletakkan kebajikan rakyat lebih utama dari keuntungan.
“Kalau bermotif untung seperti sekarang, tak mungkin berhasil. Mesti ada badan kerajaan yang tak semesetinya rugi besar, tapi mesti menjana projek yang boleh memenuhi permintaan rakyat.
“Sebab itu saya ajak Najib debat tentang belanjawan, tentang isu pentadbiran,” tegas Anwar. -KD
Anwar cabar Najib hadir sesi bahas bajet Isnin ini
KUALA LUMPUR - Datuk Seri Anwar Ibrahim mencabar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mendengar perbahasannya berhubung Bajet 2013 yang dibentangkan beliau, Isnin ini.
Anwar selaku Ketua Pembangkang akan membahaskan cadangan Bajet 2013 Isnin ini.
"Saya cabar najib untuk turut hadir dan mendengar perbahasan Isnin ini.
"Jika selama ini Barisan Nasional (BN) hanya tahu mengkritik apa yang pembangkang lakukan, beliau (Najib) mesti berani juga untuk hadir Isnin ini," tegas beliau ketika ditemui pemberita selepas pembentangan Bajet 2013.