SHAH ALAM: Lelongan barangan kenangan pemimpin Pakatan Rakyat berjaya mengumpul RM182,000 untuk tabung pilihan raya ke 13 Pakatan Rakyat.
Majlis lelongan itu dibuat dalam majlis makan malam perdana Pakatan Rakyat yang diadakan malam ini.
2, 250 orang menyertai majlis yang dianjurkan oleh Pakatan Rakyat di Stadium Melawati dekat sini.
Majlis itu disertai oleh hampir kesemua pemimpin kanan PAS, PKR dan DAP serta para penyokong Pakatan dan dermawan di samping pemimpin pro Pakatan dari Sabah dan Sarawak.
(Datuk Lajim membeli surat cinta dari penjara dengan harga RM50,000)
Antara yang hadir adalah Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.
Harga lelongan tertinggi dibayar kepada surat cinta Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah yang ditulis beliau dari penjara. Ia dibayar dengan RM50,000 oleh Datuk Seri Panglima Lajim Ukin yang membeli surat itu.
Ia diikuti oleh kartun yang dilukis secara 'live' oleh Kartunis Zunar yang bertajuk 'Kuasa Rakyat' yang dibeli dengan harga RM32,000.
Pen yang digunakan Lim Guan Eng ketika dalam penjara dibeli dengan harga RM23,000 oleh Exco Selangor, Ronie Liu.
Gambar santai Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Awang serta terendak nelayannya dibeli dengan harga RM17,000.
Ia dibeli oleh Ketua Pemuda DHPP Selangor, Sri Jalaraman. Jalaraman ketika ditemui berkata, beliau membelinya kerana penghormatan beliau kepada Presiden PAS itu.
(Kartun Zunar telah berjaya dillelong dengan harga RM32,000 untuk tabung pilihan raya Pakatan Rakyat)
Selain itu, barangan dan gambar milik Datuk Fadzil Nor, bekas Presiden PAS berjaya dilelong dengan harga RM11,000, gambar asal graduasi Dr Syed Husin Ali (RM15,000), teddy bear Exco Selangor, Teresa Kok (RM10,000), gambar dan tongkat Tuan Guru Datuk Nik Aziz (RM12,000) dan poster filem Karpal Singh (RM12,000).
Di samping kutipan melalui lelongan itu, majlis itu berjaya mengutip lebih RM22,000 melalui jualan meja,
Sebanyak 255 meja berjaya dijual dalam majlis makan malam ini di mana setiap meja dijual dengan harga RM1,000.
Di samping itu, sebanyak RM20,000 berjaya dikutip dalam bentuk derma yang disumbangkan oleh peserta majlis makan malam ini.
"Ini bermakna, lebih RM200,000 kita berjaya kutip malam ini," kata pengarah majlis ini, Dr Hatta Ramli kepada Harakahdaily. -Hrkh