Ikuti Blog ini

Generasi muda pasti bijak menilai Laporan Audit 2011


KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) melahirkan keyakinan bahawa golongan muda pastinya bijak menilai keupayaan pengurusan kewangan negara dan negeri sebagaimana yang telah dilaporkan di dalam Laporan Ketua Audit Negara 2011.

Naib Ketua DPPM, Dr Raja Ahmad Al-Hiss (gambar) berkata, setiap aspek pengurusan kewangan negara pada hari ini akan memberi kesan kepada nasib generasi akan datang.

Justeru, kata beliau ianya menuntut kepada tahap akauntabiliti yang tinggi di pihak kerajaan dan budaya timbang-tara dan hisbah yang sihat di kalangan rakyat, khususnya di kalangan generasi muda.

Beliau mengambil contoh Projek Landasan Berkembar Elektrik Antara Ipoh Ke Padang Besar (Projek Ipoh ke Padang Besar) sepanjang 329 km yang bertujuan untuk meningkatkan keupayaan laluan landasan dan meningkatkan daya saing serta kemajuan perkeretapian di Malaysia.

Kontraktor utama bagi Projek Ipoh ke Padang Besar ialah MMC-Gamuda Joint Venture Sdn Bhd (MGJV) yang dilantik pada 13 Disember 2007 secara rundingan terus dengan pelaksanaan projek secara reka dan bina.

Kos projek (meliputi pakej infrastruktur dan pakej sistem) adalah bernilai RM12.485 bilion dan tempoh menyiapkan projek ialah 60 bulan iaitu mulai 8 Januari 2008 hingga 7 Januari 2013.

Pengauditan yang dijalankan mendapati secara keseluruhannya pelaksanaan projek adalah kurang memuaskan terutama di dalam aspek pelaksanaannya.

Malah pihak Ketua Audit Negara turut mempersoalkan ketelusan pembayaran yuran khidmat nasihat kewangan berjumlah RM1.06 juta kepada CIMB Investment Bank Bhd dan Maybank Investment Bhd sama ada ianya pada kadar yang kompetitif kerana Kementerian Pengangkutan (Kementerian) tidak mengeluarkan tawaran kepada bank-bank lain.

“Apa yang lebih membimbangkan, kos semasa keseluruhan projek dijangka terus meningkat akibat kelewatan dalam pengambilan tanah di antara 82 hingga 1,227 hari,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Beliau melahirkan rasa bimbang terhadap tahap disiplin pengurusan kewangan negara apabila Ketua Audit Negara melaporkan, daripada 250 syor audit pada tahun 2009 dan 297 syor audit pada tahun 2010, semakan susulan yang dilakukan setakat 30 April 2012 mendapati 74 syor bagi tahun 2010 dan 6 syor bagi tahun 2009 masih gagal diambil tindakan pembetulan dan penambahbaikan oleh pihak yang bertanggungjawab.

Beliau mengambil contoh projek-projek yang masih gagal dibaiki sejak Laporan Ketua Audit Negara 2010 seperti Projek Pengurusan Program Pembasmian Kemiskinan yang mendapati terdapat kecuaian di dalam mekanisma serahan bantuan kebajikan kepada rakyat miskin dan termiskin; Projek Pengurusan Skim Insentif Peningkatan Hasil Padi di mana seramai 73,291 pesawah masih belum dibayar insentif sejumlah RM110.67 juta; dan kegagalan projek NFC yang kini terlibat di dalam perbicaraan kes mahkamah yang melibatkan ahli keluarga Ketua Wanita Umno.

Raja Ahmad turut mempersoalkan tiadanya butiran laporan audit terhadap Kementerian Belia dan Sukan di dalam Laporan Aktiviti Kementerian/Jabatan Dan Pengurusan Syarikat Kerajaan Persekutuan bagi tahun 2011, sebagaimana dilaporkan pada tahun-tahun lepas yang mencatatkan pembelian barangan di beberapa institut latihan kemahiran yang terlalu tinggi nilainya berbanding nilai pasaran.

Sehubungan itu, beliau menyeru generasi muda supaya bersikap cakna dan mengambil tanggungjawab bagi memastikan pengurusan kewangan negara dan negeri pada hari ini membawa kebaikan untuk generasi akan datang, dan bangkit membuat perubahan di dalam PRU13 kelak. -Hrkh
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .