Ikuti Blog ini

Najib Razak amat sedar jika SPR 'bersih' BN pasti tumbang ke bumi, tulang berkecai...



SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) sebenar baru tersedar dari lena yang panjang. Selama ini, tiada siapa mengejutkan mereka dari tidur yang nyenyak itu tetapi perubahan yang berlaku dalam lanskap politik Malaysia, menjadikan tidur mereka sering terganggu.

Setiap kali ada bantahan mengenai pendaftaran pengundi, boss SPR selalu tampil dengan membawa sindrom menafikan. Sesiapa pun dalam SPR tidak perlu risau jika ada bantahan. Malahan, mereka sepatutnya berterima kasih. Memang ada undang-undang yang membenarkan orang ramai membuat semakan dan batahan.

Jadi, kenapa mahu memberi tahu orang ramai, sesiapa yang membantah seolah-olah memperendah-rendahkan SPR? SPR akan lebih tulin dari biasa jika mereka mendengar bantahan dan menerimanya secara ikhlas. Tidak perlu marah-marah dan tidak perlu mengatakan parti-parti pembangkang sengaja mahu mencari salah SPR.

Sesiapa pun yang ragu-ragu, boleh membantah. Jika SPR mempunyai alasan yang kukuh untuk menjawabnya, silakan. Kalau boleh, bagi saguhati kepada pihak yang membantah. Bukan kerana apa, SPR akan lebih “bersih” jika mereka dapat menyemak setiap bantahan. Memperbetulkan jika ada asas bantahan tersebut.

Jika bantahan itu tidak tepat, beri jawapan dan alasan yang betul. Usah jadikan pihak yang membantah sebagai musuh yang sering diserang, kononnya memang sentiasa mahu mencari salah. SPR  tentulah bukan sebuah badan yang terlalu efisyen hingga tiada pernah melakukan kesalahan. Selama ini, ketika Umno dan BN menang besar setiap kali pilihan raya, memang mereka tidak berminat untuk membuat apa-apa komplen.

Malahan,  sudah lama BN merasakan SPR adalah “hak mereka”. Kalau mereka kalah, baru mereka menyalahkan SPR tetapi jika mereka menang, mereka tidak kisah sama ada SPR itu “bersih” atau pun tidak. Itu dulu. Zaman itu sudah berlalu. Zaman pengundi yang bermati-matian bergantung kepada pondok panas sudah tidak ada lagi. Zaman ini, zaman langit terbuka dengan sms yang banyak membantu.

Malangnya, SPR masih mahu berada di takuk lama. Mereka seolah-olah tidak sedar iklim politik sudah berubah. Lanskap politik sudah berbeza dan yang penting, anak-anak muda yang ada hari ini adalah dari golongan yang berpengetahuan luas.

Jadi, semua yang berada di dalam SPR janganlah masih seperti dulu-dulu. Tentulah ada yang dilihat seperti tidak telus. Lagipun, era kemenangan calon-calon BN dengan majoriti besar juga sudah tidak ada lagi. Itulah sebabnya, setiap satu undi itu, amat berharga.

Pemimpin Umno pula melihat, jika SPR dibersihkan, peluang mereka menang dalam pilihan raya seakan-akan pudar. Yang Pakatan Pembangkang komplen pun, tidak semestinya menyebelahi mereka. Cuma, mereka mahu bertanding dalam satu proses pilihan raya yang bersih dan tidak main semborono sahaja.

Sepatutnya bila ada gerakan audit daftar pemilih di jalankan oleh mana-mana pihak, sama ada dari Selangor, Kelantan atau Kedah, Umno dan BN bangkit sama-sama membuat desakan kepada SPR agar daftar pengundi yang disangsikan dapat dibersihkan.

Mustahil Umno dan BN mahu menang “secara tidak betul”. Atau mereka memasang perangkap, jika kemenangan berpihak kepada mereka, mereka diam. Sebaliknya, jika kemenangan berpihak kepada lawan, mereka akan bangkit membantah. Mereka mahu menggunakan daftar pemilih yang tidak bersih ini sebagai “pelindung”. Ini adalah startegi lapuk yang sudah diketahui umum.

Cara berfikir mereka, kena diubah. Cara berfikir mereka yang berkuasa di dalam SPR juga perlu diubah. Jangan mereka berfikir dan bertindak cara lama, ketika dunia sekarang adalah dunia alaf baru. SPR perlu malu jika ada daftar pemilih yang masih “mempunyai nama sama” yang bertindih-tindih. SPR juga perlu malu jika sebuah pondok meletakkan motosikal menjadi alamat daftar pemilih. SPR juga perlu rasa malu jika satu alamat di satu rumah, berpuluh-puluh nama didaftarkan!

SPR juga perlu menyiasat bagaimana pemindahan pengundi boleh berlaku secata otomatik, ketika tidak ada persempadanan semula kawasan pilihan raya. Nama orang mati, walaupun Jabatan Pendaftaran Negara tidak bekerjasama dengan SPR sepatutnya pelru disingkirkan dari senarai pengundi. Jika “orang mati” pun turut mengundi, itulah yang menimbulkan cerita pengundi hantu.

SPR menafikan wujudnya pengundi hantu. Tetapi apa yang difahami oleh orang ramai mengenai pengundi hantu dengan apa yang difahami oleh SPR, amat berbeza. Itulah sebabnya, SPR perlu sabar dalam mendengar bantahan dan tidak perlu memberi jawapan seolah-olah setiap aduan dan komplen (bantahan) datangnya dari mereka yang suka menyalahkan SPR.

Apakah SPR tidak suka kepada aduan dan bantahan? Apakah SPR sudah menjadi satu badan yang suci hingga tidak boleh disentuh langsung? Atau SPR mahukan semua orang melihat mereka sebagai satu badan yang sempurna.

Satu hal lagi, SPR jangan sampai orang melihatnya sebagai satu daripada biro dalam Barisan Nasional (BN). Ini bahaya walaupun setakat ini, BN memang bermati-matian mempertahankan SPR. Orang-orang Umno dan orang BN tidak ada membuat bantahan bukan kerana mereka setuju tetapi kerana mereka tidak membuat kerja-kerja audit daftar pemilih. Maka, mereka tidak jumpa masalah! Tidak jumpa masalah bukan bermakna SPR bersih.

Pakatan Pembangkang kena terus menjalankan kerja-kerja audit daftar pemilih. Selagi Parlimen tidka dibubarkan, masih ada masa memperbaiki kelemahan yang wujud. Itupun perjuangan Bersih 1.0, 2.0 dan 3.0. Jadi, selagi SPR tidak dilihat bersih, kenapa kerja-kerja audit daftar pemilih mahu dihentikan?

Nanti, bila tidak ada bantahan dan komplen, SPR menganggap mereka sudah betul-betul bersih sedangkan ribuan nama orang-orang mati masih tersenarai. Pakatan Pembangkang kena berlawan di lantai yang sama rata, bukan yang berjongkang-jungkit. Jika SPR merasakan mereka mahu membantu BN dalam pilihan raya, itu sesuatu yang malang di sebuah negara yang mendakwa mengamalkan demokrasi. -sumber
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .