KOTA BHARU : Mursyidul Am PAS Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, meminta mana-mana pihak yang merancang memburukkan maruah Datuk Seri Anwar Ibrahim agar segera menghentikan tindakan itu bagi menghormati perasaan keluarga Ketua Pembangkang itu.
"Sudah lebih 10 tahun maruah Anwar dilanyak, dihentak, dilenyek begitu tanpa ada rasa belas kasihan, isteri mana yang tidak menderita dengan apa yang berlaku,”ujarnya.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Azizah dalam sebuah akhbar harian semalam bahawa beliau begitu terseksa dengan fitnah itu.
Sehubungan itu, Tuan Guru Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan itu memohon pihak perancang yang merakam dan mendedahkan video seks yang dikaitkan dengan Anwar itu dihentikan segera.
Menurutnya, sebagai umat Islam mereka harus sedar tindakan memfitnah dan mengaibkan orang satu dosa yang besar.
Tegasnya, balasan buruk akibat tindakan itu akan diberikan Allah kepada orang yang memfitnah sejak di dunia lagi.
“Kita sebagai anggota masyarakat jangan sekali-kali bersekongkol dengan mereka yang membuat perkara buruk (fitnah) itu kerana dosanya juga akan terpalit pada kita," katanya. -Hrkh